Home » » Hilang identiti diri sebagai parti PAS yang zuhud

Hilang identiti diri sebagai parti PAS yang zuhud

Oleh Mohd Sayuti Omar 

Seperti mana dijanjikan di sini saya kemukakan ulasan dan pandangan luaran saya mengenai
kekalahan teruk golongan prolib dalam pemilihan PAS minggu lepas. Alasan yang saya beri ini adalah semata-mata dari sudut pandangan saya dan apa yang saya lihat sendiri.

Sebelum saya menurunkan ulasan atau post mortem kekalahan mereka, saya hendak jelaskan; saya sudah menyebut kepada beberapa pimpinan prolib dan dicadangkan agar mereka jangan bertanding. Mereka hendaklah serahkan jawatan itu kepada golongan "sinu", yang mengakui mereka ulama dan ustaz itu. Saya membuat cadangan itu kerana arus yang berlaku saat itu begitu kencang sekali dan perancangan untuk menumbangkan golongan prolib sangat tersusun.

Saya hendak jelaskan kenapa saya sering menulis dan menyebut "mereka menganggap diri mereka ulama", sebab sesetengah daripada mereka tidak pun layak untuk mendapat gelaran itu, baik daripada segi ilmu, amalan dan juga sahsiahnya. Sebahagian daripada mereka hanya menumpang naungan saja atau pakai name tag ulama atau ustaz. Atau setakat hafal juz amma, seperti juga yang boleh dilakukan puak prolib. Bahkan dalam prolib ada yang ilmu agamanya lebih tinggi dan mendalam.

Berbalik kepada cadangan saya tadi, agar jangan bertanding dan serahkan saja jawatan secara sukarela, mereka tidak setuju. Setengah memberi alasan mereka perlu bertanding kerana hendak pertahankan jawatan. Saya kata kepada mereka kalau hendak bertanding mesti berbuat sesuatu, persiapan melawan serangan mendatang perlu dilakukan.

Jangan bertanding dengan tangan kosong dan bermodalkan air liur sebab ia bakal memberi kesan buruk. Mereka tidak peduli, dan tidak mahu bermain secara jantan bagi mempertahankan kedudukan mereka. Saya percaya dalam firasat mereka, mereka kira penolakan secara segerombolan itu tidak akan berlaku. Ada yang berfirasat, mungkin orang lain kalah tetapi mereka masih dipilih secara tunggal. Ternyata tanggapan mereka itu meleset. Mereka juga turut bungkus.

Saya tahu mereka tidak mahu membuat persiapan melawan serangan, kerana menghormati dan menjaga maruah PAS. Mereka tidak tergamak membawa PAS seperti parti-parti lain, panas semasa pemilihan yang kemudiannya menyebabkan parti jadi "kucar lembel". Dalam erti kata lain mereka berlawan secara beretika. Tetapi soalnya lawan mereka sudah hilang akal?

Justeru saya berhujah, tindakan itu salah dan bakal memakan diri kerana di pihak "sinu" sudah mabuk dan hilang identiti diri sebagai parti PAS yang zuhud dan tawaduk. Mereka sudah kerasukan dan ghairah untuk menguasai PAS. Mereka lupa kepada adab dan peraturan. Lupa kepada sahsiah parti yang mereka dokong. Mereka sudah ratib dan zikir yang golongan sebelah sini sebagai pengkhianat dan jahat. Dan paling bahaya apabila "ghanimah" sudah membayangi mata mereka.

Lihat kepada bentuk mereka berkempen, khasnya melalui media baru yang tidak tergamak untuk disaksikan atau pun dilihat. Kerakusan dan kebuasan puak sinu tergambar dalam pelbagai bentuk kempen. Logistik kempen mengalahkan Umno semasa kempen pemilihan pemimpinnya. Selepas ini mana-mana orang dalam Umno hendak bertanding bolehlah memajak mastermind kempen untuk golongan sinu itu kerana ia ternyata berkesan.

Bukan itu saja, saya mencadangkan agar puak prolib juga sepakat menentang perlawanan daripada puak sinu. Mereka hendaklah membentuk kumpulan secara rasmi dan menyediakan manifesto perjuangan tersendiri dalam PAS. Kemukakan wawasan dan iltizam mereka yang bersesuaian dengan perjuangan parti. Hujah saya kalau di pihak sinu, boleh buat majlis, semata-mata untuk menuba ahli dan perwakilan agar menolak mereka, kenapa tidak dengan puak sini. Tetapi sekali lagi tidak dihiraukan. Mereka tetap mahu bertanding secara bersendirian, pro, bukan berpasukan seperti di sebelah sinu kerana mahu mengawal parti menjadi sebuah parti yang dimuliakan.

Akhirnya tindakan bersendirian dan secara masing-masing itu memakan diri. Mereka ditelan satu persatu oleh sang naga api.

Kesimpulan kekalahan itu ialah:

1. Berlaku perlawanan yang berat sebelah.

2. Kempen yang jahat dan sadis oleh pihak sinu.

3. Sikap sambil lewa puak prolib yang masih menghormati parti dan bacaan politik yang salah.

4. Terlalu bersangka baik dengan apa yang dilakukan kepada mereka.

5. Tidak ada manifesto atau agenda khas seperi mana puak di sebelah sinu yang berniat hendak menguasai PAS bagi menolak puak prolib.

6. Tidak mendapat sokongan moral daripada awam, seperti media kroni PB dan lain-lain.

7. Tidak membuat persediaan, menguasai cawangan dan mesyuarat kawasan.

8. Tidak ada gerakan tersusun (bawah tanah) untuk mempertahankan kedudukan, secara berpuak.

9. Gagal menjelaskan tuduhan (fitnah) yang dilemparkan oleh puak sinu, walaupun ia tidak betul tetapi diterima oleh perwakilan yang cetek pemikiran.

10. Awal-awal lagi puak prolib menjadi inferiority complex kerana apabila mereka dituduh sebagai bukan orang agamawan dan ulama, daripada segi moralnya mereka sudah tewas.

11. Penubuhan PasMa yang berjaya digambarkan sebagai kumpulan PAS baru untuk menentang golongan ulama.

Itulah antara sebab dan faktor mengapa puak prolib kalah dalam pemilihan tempoh hari. Apa yang berlaku proses pemilihan dalam PAS juga sudah berubah menjadi advance, berbanding dengan parti lain, tetapi malang kecanggihan itu gagal ditangkis prolib, kerana itu kejayaan dicapai puak "sinu" hampir 100%. – msomelayu.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.