Home » » Fahami luahan ahli, jangan tuding jari

Fahami luahan ahli, jangan tuding jari

Oleh Mohd Syafiq Abd Aziz 

Sekali lagi PAS dikejutkan dengan kenyataan pimpinan PAS Kawasan Batu yang bertindak untuk meletakkan jawatan secara berkumpulan. Apa sudah jadi pada pucuk pimpinan sehinggakan PAS Kawasan Batu membuat tindakan yang digelar "Mufarakah"?

Tak sampai 24 jam juga peristiwa yang berlaku terhadap PAS Kawasan Batu disambut Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Ustaz Mokhtar Senik yang menafikan tindakan PAS Batu itu suatu tindakan yang bernas. Sekali lagi pertanyaan yang timbul adalah "apa sudah jadi"?

Saya selaku ahli parti merasakan, perkara ini sudah di tahap yang kritikal atau merbahaya. Sesuatu tindakan perlu dilakukan dengan segera agar perkara ini tidak berulang dan hanya mati atau berhenti setakat ini sahaja.


Setiap perkara yang berlaku dan masalah yang ditimbulkan ahli perlu diberi perhatian yang serius pucuk pimpinan tertinggi parti. Jika benar tindakan meletakkan jawatan yang dilakukan pucuk pimpinan PAS Kawasan Batu itu suatu tindakan yang kurang bijak, sekurang-kurangnya pimpinan PAS Batu tidak bertindak keluar PAS.

Jadi sebagai ahli PAS yang bijak janganlah kita menuding jari tanpa mengambil perhatian terhadap luahan dan suara yang dizahirkan PAS Batu. Jangan ada yang menuding jari dengan menyalahkan tindakan PAS Batu tanpa mengambil kira soal luahan ahli.

Saya berharap isu ini tidak akan berlarutan dan berpanjangan agar mengurangkan keruh yang sedang melanda dalam perjuangan Islam di Malaysia. Saya juga berharap agar Tuan Guru Presiden turun bertemu dengan bekas pucuk pimpinan PAS Batu untuk mendengar luahan sebenar mereka.

Sejarah buruk yang pernah melanda PAS diharap tidak akan berulang lagi. Tuan Guru Presiden perlu membuat tindakan dalam kadar segera bagi membendung peristiwa ketidakpuasan hati ahli terhadap kepimpinan parti.

Tidak ada yang sempurna melainkan Allah Yang Maha Pencipta, maka kita sebagai hambaNya pasti akan ada kelemahan. Justeru selaku ahli PAS, saya berharap seluruh kepimpinan dan ahli PAS mengambil ikhtibar serta segera muhasabah diri agar kita dapat mendaulatkan semula agama Allah di bumi Malaysia.

Berbeza pendapat sentiasa ada dalam setiap organisasi. Maka kita sebagai ahli dalam setiap organisasi perlu bijak menguruskan perbezaan pendapat dan bukan dengan menuding jari. Perlu fahami luahan ahli.

Menentang kezaliman adalah antara matlamat perjuangan parti. Justeru eloklah kita menghalakan senjata kita kepada musuh yang sebenar Umno dan Barisan Nasional. – 17 Mac, 2015.

* Penulis merupakan Ketua Pemuda PAS Pulai.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.