Home » » Kumpulan progresif wajar bentuk parti baru ?

Kumpulan progresif wajar bentuk parti baru ?

Dalam tempoh lima tahun terakhir, jelas kelihatan kepimpinan Pas berpecah secara total kepada dua kumpulan, konservatif dan progresif. Konservatif adalah kumpulan yang cenderung untuk mengekalkan wajah, identiti dan keabsahan perjuangan Pas yang asal.

Kumpulan progresif pula ingin membuat modifikasi terhadap kaedah dan tatacara perjuangan mengikut keperluan semasa, tanpa meninggalkan fokus utama Pas iaitu dakwah dan siasah.

Menjelang muktamar tahun ini, blok pemecahan ini semakin ketara. Kepemimpinan di pelbagai peringkat seolah-olah hanya diberi dua pilihan, menyokong kami atau dilabel menentang kami.

Tiada indikator yang konkrit untuk menjustifikasikan kumpulan mana yang betul dan kumpulan mana yang salah, masing-masing ada ijtihad dan hujah masing-masing.

Perbahasan untuk menentukan siapa yang betul dan salah tidak akan berkesudahan, umpama perbahasan menentukan mana yang dulu antara telur dan ayam, tidak akan berkesudahan sehinggalah tiupan sangkakala.
Dalam pemilihan semalam, 75 peratus syura muktamirin telah membuat keputusan untuk memberi amanah kepimpinan Pas sesi 2015-2017 kepada kumpulan ultra konservatif, pengundian secara blok dan berpakej.

Kumpulan progresif modenis telah ditolak secara total, hanya sekitar 25 peratus perwakilan daripada 192 kawasan Pas yang memberi undi kepada mereka. Pola yang sama ditunjukkan oleh dewan-dewan pemuda dan muslimat, dewan ulamak apatah lagi.

Saya terdetik untuk membuat catatan ini apabila melihat personel dan pihak-pihak yang menyokong kumpulan progresif ini masih lagi merengek-rengek, mengungkit-ungkit dan mengomel-ngomel tentang keputusan tersebut, khususnya dalam media maya.

Bagi saya mudah, perwakilan telah bersuara dan membuat keputusan. Walaupun tidak bersetuju dengan kaedah kempen dan sebagainya, kamu perlu menerima keputusan ini secara anak jantan, tidak perlu merengek-rengek seperti anak manja yang dimarahi ibu.

Bagi saya, kumpulan progresif yang ditolak dalam pemilihan kali ini hanya ada dua pilihan;
Pilihan pertama ialah kekal dalam tanzim Pas sekarang di bawah kepimpinan baru, dengar dan taat, sambil mengharap dan percaya ada keberkatan dan rahmat dengan keputusan syura muktamirin ini.

Jika tidak berminat dengan pilihan pertama, pilihan kedua ialah mufarakah daripada Pas dan menubuhkan parti baru. Tiada guna kekal dalam Pas jika tidak beriltizam dengan kepimpinan yang diberikan kepercayaan majoriti oleh akar umbi.

Kumpulan progresif ada kekuatan sendiri iaitu sokongan 25 peratus akar umbi Pas, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang tidak berparti, serta parti-parti dalam PR iaitu PKR dan DAP.

Parti Refah di Turki pernah menghadapi isu yang sama iaitu pemecahan blok konservatif dan progresif. Setelah Refah diharamkan oleh regim tentera pada tahun 1998, parti Fazilet ditubuhkan sebagai platform sementara untuk mengantikan parti Refah tersebut.

Selepas itu parti tersebut berpecah secara total kepada dua kumpulan. Kumpulan konservatif yang dipimpin oleh Necmetin Erbakan menubuhkan parti Saadat, manakala kumpulan progresif yang dipimpin oleh Erdogan dan Abdullah Gul menubuhkan parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Sekarang AKP adalah parti pemerintah Turki, manakala Saadat hanya memperolehi sekitar 5 peratus undi dalam pilihanraya Turki.

Jika kumpulan progresif dalam Pas yang kalah dalam pemilihan semalam percaya bahawa pemikiran mereka tidak boleh dikembangkan dalam parti itu, mereka tidak perlu terus berada di situ untuk mengganggu halatuju Pas yang ditentukan oleh perwakilan dan kepimpinan baru.

Jika mereka ingin kekal dalam Pas, mereka perlu dengar dan taat. Jika tidak, mereka mempunyai pilihan untuk berpisah dan membentuk ketumbukan baru.

Jika mahu membentuk parti baru, kumpulan progresif perlu bersatu dan membuat anjakan secara menyeluruh, bukan hanya dua tiga orang sahaja.

Pemisahan mesti diasaskan atas gagasan idealisme dan pemikiran, bukan kerana merajuk, kecil hati, kecewa, sedih dan sebagainya.

Jika penubuhan parti baru kerana kecewa, dendam, merajuk, kecil hati, sakit hati dan sebagainya, parti itu akan berkubur seperti Hamim, Berjasa dan Akim yang berpisah daripada Pas sebelum-sebelum ini.

Dengan situasi politik hari ini, serta pengharapan rakyat terhadap sistem dua parti yang berkesan, saya percaya parti baru yang (jika) ditubuhkan oleh kumpulan progresif Pas mempunyai peluang yang cerah dalam lanskap politik tanah air.

Kepada kumpulan progresif Pas, saya ulangi; kekal dalam Pas sambil dengar dan taat, atau keluar membentuk parti baru.

Pandangan seorg pensyarah dan juga Penggerak PAS di UMT. Beliau menjadi YDP PIBG SRI Irsyad Balok Kuantan

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.