Home » » 'Lupakah, PAS teruk kalah jika sendirian?'

'Lupakah, PAS teruk kalah jika sendirian?'

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata sekiranya parti Islam itu keluar dari Pakatan Rakyat,
kemungkinan sejarah kekalahan teruk pada pilihan raya umum 1986 akan berulang.

Walaupun terdapat pihak berpandangan bahawa PAS mampu berjuang sendiri, Suhaizan menegaskan namun ia bukan jalan terbaik.

"Amat penting kita pertahankan Pakatan daripada dirosakkan dari dalam. Mungkin ada dalam kalangan kita percaya bahawa berjuang sendirian adalah jalan terbaik.

"Tetapi lupakah kita dengan pencapaian sewaktu kita sendirian dulu? Lupakah kita waktu PAS hanya menang 1 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 1986 walaupun bertanding 98 kerusi Parlimen?," kata Suhaizan.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar dalam Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam ucapannya juga, Suhaizan meminta supaya semua perwakilan bertegas terhadap pihak yang dilihat cuba untuk memecahbelahkan Pakatan.

Katanya, muafakat antara PAS bersama gabungan pembangkang yang dibina bekas mursyidul am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas presiden Allahyarham Datuk Fadzil Noor tidak wajar dimusnahkan.

"Adakah kita mahu mengulangi saat kita lemah dan tertindas dahulu? Marilah Pemuda untuk mempertahankan muafakat yang telah bina.

"Marilah bertegas dengan suara-suara yang berpotensi untuk membawa kepada perpecahan Pakatan.

"Jangan sesekali membenarkan muafakat yang dibina oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Fadzil Noor ini dimusnahkan oleh nafsu amarah dan kecuaian kita semata-mata," katanya lagi.
 

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.