Home » » Mereka inilah suatu masa dulu dilihat mengangkat imej Pas

Mereka inilah suatu masa dulu dilihat mengangkat imej Pas



RUANG media sosial masih hangat membincangkan mengenai pemilihan Muktamar Pas kali ke-61 yang berakhir Sabtu lalu. Mereka yang dikatakan pro ulama telah menang besar pada pemilihan kali ini bagi mewakili kepimpinan di peringkat Pusat. Datuk Seri Hadi Awang masih berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Pas bagi penggal 2015/2017.

Manakala mereka yang tidak sehaluan dengan ulama atau lebih dikenali dengan kumpulan profesional, Erdogan, Anwariyyun, dan liberal telah tersingkir dan kalah teruk pada pemilihan ini. Malah, bekas Timbalan Presiden Pas sendiri yang dilihat bukan dari golongan pro-ulama iaitu Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatannya dengan hanya memperoleh 279 undi berbanding pencabarnya daripada Tuan Ibrahim yang menang dengan majoriti 602 undi.

Kebanyakan nama-nama besar yang dulunya dilihat gah mewakili kelompok profesional dalam Pas seperti Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Husam Musa, Mohammad Nizar Jamaluddin, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dzulkefly Ahmad, Mohd Hatta Ramli, Suhaizan Kayat, Mujahid Rawa, kesemuanya kalah teruk dalam pemilihan kali ini.

Mereka inilah suatu masa dulu dilihat mengangkat imej Pas yang sebelumnya hanya dikatakan sebagai “lebai kampung” kerana dikuasai oleh golongan ustaz dan ulama. Setelah ramai golongan pro profesional dibawa masuk ke dalam Pas, golongan inilah yang dilihat mampu menyaingi imej Umno yang lebih berlatar belakangkan profesional.

Penulis tidaklah berhajat hendak menganalisis keputusan pemilihan yang menyaksikan tampuk kepimpinan Pas kembali didominasi golongan agamawan hingga menyingkirkan puak-puak yang dianggap petualang kepada perjuangan asal Pas.

Cuma penulis agak tergamam dengan fenomena label-melabel dan tohmah-menohmah yang begitu hebat berlaku secara terbuka sepanjang tempoh kempen pemilihan Pas lalu.

Sebelum muktamar berlangsung, pelbagai label, gelaran dan tohmahan yang diberikan kepada golongan-golongan yang terdapat dalam Pas. Antara yang menjadi viral di media-media masa seperti jebon, munafik, geng juhala, liberal, pengkhianat dan sebagainya.

Kalau suatu masa dulu, label-melabel ini adalah suatu perkara yang biasa dilemparkan kepada Umno seperti munafik, tolak hukum ALLAH, sekular, barua, ulama terompah dan sebagainya. Hari ini, amalan ini telah menular dalam kalangan mereka sendiri.

Perkara label-melabel dan fitnah-memfitnah sesama ahli, pimpinan dan penyokong Pas ini bukanlah rekaan pihak luar, bahkan ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sendiri, yang merupakan seorang yang bukan beragama Islam mengakui perkara ini dalam ucapan penggulungannya pada muktamar kali ini.

Beliau juga berasa hairan dan terkejut dengan gejala yang berlaku dalam Pas ini. Beliau sendiri mengingatkan para hadirin jika ada ayat-ayat al-Quran yang melarang amalan fitnah-memfitnah dan label-melabel ini. Bukan itu sahaja, beliau juga mempersoalkan kenapa para ulama dalam Pas hanya berdiam diri dan tidak menegur perkara ini?

Penulis sendiri walaupun bukan daripada parti Pas tentunya berasa tercabar apabila seorang bukan Islam boleh menegur perbuatan yang hakikatnya langsung tidak mencerminkan akhlak dan prinsip Islam. Apatah lagi dilakukan oleh golongan yang sering mendabik dada mendakwa pejuang Islam dan berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah.

Bila bercakap soal berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, serta berpegang kepada hukum ALLAH, bukankah larangan fitnah-memfitnah, label-melabel, memperlekeh dan merendah-rendahkan orang lain sesama Muslim juga termasuk dalam hukum ALLAH dan termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah? Di manakah kedudukan firman ALLAH ini?

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”. Surah al-Hujurat, ayat 11.

Justeru, wabak yang menular dalam Pas ini perlu diberi perhatian serius supaya ia tidak menjadi fitnah kepada mereka yang menganggap bahawa semua yang membawa label “Islam” adalah mewakili agama Islam yang suci.

Adalah amat malang sebuah organisasi yang berlabel Islam tetapi tidak tampil dengan watak dan cerminan agama Islam yang sejati. Budaya sebegini jika tidak ditangani dengan baik, tentu sekali akan menjadi fitnah kepada Islam, bahkan menjauhkan orang bukan Islam terhadap agama yang suci ini.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.