Home » » PAS hanya mahu tinggal di Kota Bharu?

PAS hanya mahu tinggal di Kota Bharu?

Oleh Liew Chin Tong

Masalah pemilihan PAS yang akan dijalan esok sangat jelas. Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang meminta ahli partinya memilih di antara penyokongnya dan kelompok yang didakwa mengikut telunjuk DAP.

Menjawab kenyataan terbabit, bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin pula berseloroh bahawa pilihan yang ada sebenarnya adalah antara “pengikut DAP” dan “boneka Umno”.

Sabtu lalu saya menjadi panelis dalam sebuah forum bersama Nik Omar Nik Aziz, anak lelaki sulong Tok Guru Nik Aziz. Saya menyedari bahawa walaupun dalam keluarga mantan Mursyidul-am PAS itu sendiri wujudnya kepelbagaian pendapat.

Nik Abduh mendakwa bahawa arwah ayahnya tidak pernah menentang usaha bekerjasama dengan Umno, sedangkan Nik Omar pula mempunyai pendapat yang langsung berbeza.

Ada garis pemisah antara dua kelompok dalam PAS:

  • Golongan yang bercita-cita menawan Putrajaya dan kelompok yang hanya mahu menetap di Kota Bharu
     
  • Kelompok yang bersedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menumbangkan Umno yang korup dalam pilihan raya akan datang demi perubahan yang lebih besar dan mereka yang mahu bekerjasama dengan Umno untuk melaksanakan hudud dengan segera
     
  • Kumpulan yang melihat Malaysia sebagai sebuah rancangan berbilang kaum dan agama, dengan golongan yang merasakan Malaysia hanyalah sebuah entiti kaum atau agama tunggal.
Pemilihan parti yang bakal berlangsung nampaknya tidak akan menamatkan konflik yang sudah terlalu lama ini, sekurang-kurangnya mengakar ke peristiwa yang terjadi sejak 1998. Khamis ini akan membawa permulaan baru bagi PAS, ke arah kebaikan ataupun sebaliknya.

Kelahiran PAS

PAS ditubuhkan pada tahun 1951 oleh kumpulan ulama dalam Umno termasuklah bapa dan datuk kepada bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Kebanyakan ahli Umno memutuskan hubungan mereka dengan PAS pada tahun 1954 apabila Umno mengharamkan keahlian berganda.

Waktu itu, pilihan raya persekutuan yang pertama pada bulan Julai 1955 menyaksikan Umno memenangi 51 daripada 52 kerusi, manakala baki satu kerusi itu dimenangi PAS.

Pilihanraya pertama selepas Merdeka pada tahun 1959 mengejutkan Umno apabila PAS memenangi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

Umno berjaya merampas kembali Terengganu apabila ada wakil rakyat PAS yang melompat parti pada tahun 1961. PAS hanya berjaya menawan semula Terengganu pada tahun 1999.

Pentadbiran Kerajaan Kelantan, yang berkekalan sehingga krisis pada tahun 1977 jauh lebih penting bagi PAS. Pemimpin di Kelantan, Datuk Asri Muda merupakan individu paling berkuasa di dalam PAS sejak 1959 sehinggalah 1982.

Beliau dilengser dalam sebuah rampasan kuasa dalam parti walaupun beliau hanya rasmi menjadi presiden pada tahun 1971. Sepanjang kepimpinan Asri, pertandingan antara PAS dan Umno hanyalah mengenai siapa yang lebih berkesan menjuarai isu Melayu.

PAS kemudiannya menjadi rakan gabungan Umno pada tahun 1973 dan menyertai koalisi pemerintah BN pada tahun 1974 apabila ia dilancarkan sebelum pilihan raya umum. PAS ditendang keluar dari BN pada November 1977 selepas parti tersebut membantah rang undang-undang Parlimen bagi mengisytiharkan darurat di Kelantan.

PAS ditipu

Ia tercetus apabila Kerajaan Persekutuan mengeksploitasi krisis kepemimpinan yang berpanjangan di Kelantan, apabila ADUN PAS Kelantan melakukan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Mohamad Nasir yang mendapat sokongan Umno.

PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya negeri yang menyusul pada Mac 1978. Dengan kata lain, PAS telah ditipu oleh Umno.

Ketika PAS bekerjasama dengan Umno pada tahun 70-an, terdapat lompang dalam kepimpinan di kalangan orang Melayu, terutamanya generasi muda. Anwar Ibrahim dan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilihat sebagai alternatif kepada Umno.

Anwar telah berkempen untuk PAS dalam pilihan raya umum 1978 dan ditawarkan untuk memimpin PAS oleh Asri beberapa kali. Namun beliau akhirnya menyertai Umno satu minggu sebelum pilihan raya April 1982 dan menjadi wajah Islam Umno selama 16 tahun sehinggalah beliau dipecat pada bulan September 1998.

Pada bulan Oktober 1982, sebagai tindakan balas kepada Umno yang telah menemukan wajah Islamnya daripada Anwar dan sebagai usaha meremajakan parti, pemimpin muda PAS melengser Asri Muda dari kerusi presiden dalam muktamar yang tidak berlangsung pemilihan.

Akhirnya, separuh kepimpinan utama PAS dipecat pada Januari 1983 oleh kepimpinan baru, termasuk empat daripada lima ahli Parlimennya pada waktu itu. Satu-satunya MP PAS yang tidak dipecat ialah Nik Aziz.

Bagi membezakan antara kepimpinan lama dan baru, PAS mengangkat tema kepimpinan ulama. Maksud sebenar label tersebut terus menjadi topik perdebatan sehingga ke hari ini.

Antara tahun 1982 dan 1998, sementara PAS melalui proses peremajaannya, ia merupakan sebuah parti pembangkang kecil dengan tapak sokongan di negeri-negeri Melayu Utara iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Kepimpinan ini terdiri daripada para ulama dan aktivis, manakala ahlinya pula terdiri daripada para petani dan peniaga yang sama ada menyokong PAS atas dasar identiti Kelantan, atau kerana benar-benar mahu melihat sebuah masyarakat yang lebih taat beragama.

Mereka tidak berfikir tentang mendapatkan kuasa di peringkat Persekutuan kerana ia sememangnya mustahil.

Idealisme reformasi

Pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 telah membawa perubahan kekal kepada PAS. Setahun selepas September bersejarah itu, PAS mendakwa keahliannya meningkat dua kali ganda daripada 450,000 menjadi 800,000 ahli.

Ramai yang menyertainya adalah dari kalangan orang kaya baru dan para profesional dari generasi DEB, dan secara geografinya tertumpu di bandar-bandar Pantai Barat. Mereka membenci Mahathir dan Umno, namun barangkali juga tidak percaya Anwar; maka mereka memilih PAS.

Dalam pilihan raya umum 1999, dengan penolakan kuat orang Melayu terhadap Umno, PAS memenangi 27 kerusi Parlimen serta menguasai negeri Terengganu selain Kelantan yang telah ditadbirnya sejak 1990.

Dengan kemasukan beramai-ramai ahli baru dan kemunculan pimpinan baru yang tidak terlatih sebagai ulama, cakap-cakap tentang pertembungan ulama melawan profesional menjadi tema setiap pemilihan parti sejak Reformasi. Pendeknya, latar belakang pendidikan sudah tidak sepenting sikap politik.

Presidennya, Fadzil Noor pada waktu itu begitu bersemangat untuk membawa PAS melampaui tapak-tapak sokongannya dan menjangkau lebih jauh kepada audien Melayu yang lebih luas, serta para pengundi bukan-Melayu. Katanya, PAS harus menjadi parti arus perdana.

Pertembungan seterusnya pula adalah antara kumpulan yang menyokong usaha menjadikan PAS sebagai parti arus perdana dengan para pendukung tradisi.

Kematian Datuk Fadzil Noor pada bulan Jun 2002 memberi ruang kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil alih kemudi.

Hadi membawa PAS ke kedudukan asal – memperkukuh tapak sokongannya dengan agenda yang tegas dan enggan bertolak ansur. Hasilnya, PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum tahun 2004 dan kehilangan kerajaan negeri Terengganu.

Antara tahun 2004 dan 2008, para pendukung dasar ini dijinakkan ekoran kekalahan besar dan anasir moderat yang berjaya mengemudi parti mengikuti arah Partai Keadilan Sejahtera Indonesia dan AK Party Turki, justeru timbullah istilah ‘Erdogan’.

Puak konservatif muncul semula

Tsunami 2008 membawa kejutan besar. PAS memperolehi tambahan daripada enam kerusi pada 2004 menjadi 23 kerusi pada tahun 2008. Namun ramai yang tidak senang hati kerana PKR memenangi 31 kerusi, manakala DAP 28.

Apabila Umno beserta juak-juak dan medianya terus membawa agenda politik 3R –‘Race, Religion and Royalty’ (kaum, agama dan raja-raja) – ramai dari kalangan PAS mula berhati-hati dengan politik baru antiperkauman yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Selain daripada golongan pengekal tradisi dan penyokong usaha arus-perdana, satu lagi generasi baru yang dewasa sepanjang proses peremajaan 1982 kini sudah cukup usia. Sebahagian dari mereka ada yang merupakan anak pemimpin.

Kelompok yang keras era 1982 melatih anak-anak mereka dalam persekitaran tertutup politik PAS sejak zaman prasekolah sehinggalah ke universiti, tanpa banyak interaksi dengan masyarakat luar. Merekalah yang membentuk kumpulan baru dalam pertarungan hari ini.

Jurang perbezaan ini terlalu luas dan tidak mungkin pertembungannya selesai selepas pemilihan. Hasil pemilihan kali ini akan membawa kesan besar bagi PAS, Pakatan Rakyat dan Malaysia. Penyusunan semula pasukan-pasukan mungkin menjadi langkah seterusnya.


LIEW CHIN TONG ahli parlimen Kluang.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.