Oleh Faisal Tehrani
Ada seorang Pemuda PAS bertanya kepadaku,
mengapakah aku kelihatannya rimas dengan Abdul Hadi Awang, memandangkan
Hadi banyak membela Syiah dalam kuliah-kuliahnya. Aku menjawab, “Kerana
dia meruntuhkan apa yang dibina arwah ustaz Fadzil.”
Sebagai orang muda yang tidak pernah merasai kenikmatan menemui dan
belajar daripada arwah Fadzil Noor, dia memang terpinga-pinga. Dia tidak
pernah bertemu Ustaz Fadzil.
Untuk penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah
'Akidah dan Perjuangan' oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor (13 Mac 1937 –
23 Jun 2002) yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda PAS adalah satu
monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.
Almarhum Ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937
di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah
Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris
Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama terkenal di Kedah asal Patani.
Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia
(1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan
Presiden ABIM (1974-1978). Pada tahun 1974 ustaz Fadzil turut terlibat
dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah.
Beliau menonjol dalam bidang kepimpinan ketika Anwar Ibrahim ditahan di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting dari tahun 1974 hingga
1976, ketika itu Ustaz Fadzil Noor diamanah menjadi pemangku presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak
silap aku, pada hujung tahun 1970-an, ketika beliau sedang berucap dalam
suatu majlis ceramah di Kampung Seberang Takir, Terengganu, pihak polis
telah mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.
Turut hadir dalam ceramah itu adalah arwah Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa
menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya.
Oleh kerana kedegilan ustaz itu polis telah menahannya berserta
penceramah lain. Mereka bermalam di lokap.
Penangkapan itu telah meledakkan kemarahan orang di Kuala Terengganu.
Kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar
kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka
dibebaskan segera.
Hasil perundingan dengan pihak polis, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin
yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.
Kemudian, beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di
Jerlun, Kedah.
Seingatku ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS
dan Umno mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan
semasa berceramah bersama-sama yang dipertua (YDP) PAS kawasan Jerlun
pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin.
Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan.
Apakah yang telah dibina oleh almarhum Fadzil Noor dan diruntuhkan oleh
Hadi Awang? Ada empat tunjang yang ditegakkan oleh gemulah ustaz Fadzil
dan kini menjadi tebusan.
Dahulukan rakyat semua kaum
Pertama, tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan
jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban PAS
paling besar. Beliau perlu mara ke hadapan untuk mengambil alih
kepimpinan di tengah-tengah tragedi Memali.
Sebagai antara pembantu Profesor Zulkifli Muhammad beliau sudah pun
secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan bukan Islam. Profesor
Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima
kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.
Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzillah maka beliau menggerakkan pakatan
Majlis Perundingan Cina (CCC), di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan
kaum bukan Islam.
Politik melampaui zaman
Kedua, idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik
yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan
contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku
Razaleigh Hamzah dalam Angkatan Perpaduan Ummah.
Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS
memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan terus menguasainya sehingga hari
ini. Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala
reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan.
Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat “membantu” Anwar
Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus
ditunggangnya sehingga 2008.
Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang,
dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz
Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks
tempatan.
Beliau adalah orang yang menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia
(GERAK), dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan
Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru.
Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara. Ketika Wan Azizah Wan
Ismail 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin
merosot menjelang turunnya Mahathir Mohamad, ustaz Fadzil merintis
kerjasama ini.
Pendek kata Ustaz Fadzil menyelamatkan Parti Keadilan Nasional dari
hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK
dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar.
Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.
Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:
"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan
yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup
untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat
di negara ini".
Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada
PAS dalam pilihan raya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS
mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di
Terengganu.
Lain daripada itu, kebijaksanaan ustaz Fadzil telah melunakkan imej
Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi
Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di
Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA
dalam sebuah negara Islam.
Ia sekali gus menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya
dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita,
kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.
Tak lupa sejarah
Ketiga, kepintaran almarhum bermain dengan tahaluf siyasi itu
sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka
dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.
Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang
bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan
'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini.
Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.
Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung
sejarah dengan tekun di mana beliau tahu bahawa PAS adalah berakar umbi
daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol.
Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Ustaz Fadzil tahu
keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang
bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya mampu dijadikan model baharu bagi perjuangan PAS.
Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr Burhanuddin
Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan
Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha
menuntut kemerdekaan daripada penjajah.
Aku berpandangan idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz
Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan
NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang
warisan penjajah, iaitu ISA.
Poros Islam
Empat, kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi
luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengetengahkan Islam itu
terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.
Menyedari itu, PAS bawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk
menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islamlah
yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan
sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.
Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara
Islam legalitas yang gila syariah. Beliau, dengan penuh bijak bangkit
menjuarai Islam aktual yang berteraskan waqi atau keadaan setempat.
Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju dengan Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.
Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana:
(a) Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; (b) Tidak boleh
memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; (c) Dalam komposisi
rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian;
dan (d) PAS perlu bekerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara-
perkara yang sudah dipersetujui.
PAS dengan itu telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang
membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa,
rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan
Barisan Alternatif.
Kesimpulan; tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor
yang dapat ditandingi oleh pemimpin PAS hari ini. Beliau telah melihat
dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi'
yang menjadi keutamaan.
Hari ini PAS bergelut untuk menentukan sikap dan kedudukan politiknya.
Syariah telah mengatasi keadilan. Dan fikah mengatasi akhlak. Peri
perjuangan Rasulullah SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak telah
berakhir.
Adalah menyedihkan, apa yang pernah dibina oleh arwah Fadzil Noor itu
diruntuhkan sekelip mata oleh Hadi Awang (seorang alumni Saudi).
Hari ini PAS mendahulukan hudud dari rakyat Malaysia berbilang kaum. PAS
mengundur zaman. Bahkan PAS sama sekali mengenepikan sejarah penubuhan
dan kebijaksanaan pimpinan terdahulu.
PAS malah tidak lagi komited dengan idea-idea murni dalam Manifesto
Bersama Barisan Alternatif seperti dikemukakan ketika pilihan raya tahun
1999.
Lebih menyayat hati PAS kini dikenal orang bukan Islam bukan lagi
sebagai parti Islam, tetapi sebagai parti khianat dan lebai mungkir
janji.
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment