Home » » Populariti awam Ahmad 64%, Hadi 36%

Populariti awam Ahmad 64%, Hadi 36%

Ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan terus mendapat dukungan kuat anggota PAS, sentimen orang awam, khususnya pembaca di Internet menunjukkan keadaan sebaliknya.

Dalam tinjauan 24 jam Malaysiakini bermula kira-kira jam 1 petang semalam, Hadi hanya mendapat sokongan 35.6 peratus (3,005 undi).

Beliau tertinggal jauh di belakang pencabarnya Ahmad Awang, bekas naib presiden dan pemimpin 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), yang mendapat 64.4 peratus (5,440 undi).

Seramai 8,445 orang mengambil bahagian dalam tinjauan atas talian kelolaan portal berita ini menggunakan perkhidmatan Opinion Stage.

Keputusan ini menggambarkan kecenderungan netizen atau masyarakat maya menyokong pemimpin yang dilihat pro-Pakatan Rakyat ketika hala tuju Hadi mula dipertikaikan setelah 13 tahun menerajui PAS.

Bagaimanapun keputusan ini tidak semestinya menggambarkan keputusan dalam pengundian sebenar yang akan bermula esok memandangkan sebahagian besar pengundi tinjauan ini bukan perwakilan.

Keputusan ini juga berbeza sama sekali dengan pandangan penganalisis yang melihat Hadi masih memegang sokongan kuat daripada akar umbi PAS, yang akan diterjemahkan di peti undi.

Lebih 1,000 perwakilan daripada 192 kawasan akan memilih pemimpin kanan parti itu dalam muktamar di Kuala Selangor mulai esok.

Sentimen pro-Pakatan

Sementara itu, bagi jawatan timbalan dan naib presiden PAS pula, pembaca turut mempunyai kecenderungan sama untuk memilih calon yang dilihat mempunyai lebih komitmen untuk menguatkan barisan pembangkang.

Daripada 5,270 orang yang mengambil bahagian, Mohamad Sabu sebagai penyandang disokong oleh 62.8 peratus (3,307 undi) berbanding pencabarnya Tuan Ibrahim Tuan Man (37.2 peratus atau 1,963 undi.

Bagi jawatan naib presiden, pembaca Malaysiakini memilih mengekalkan dua penyandang iaitu Datuk Husam Musa (32.8 peratus atau 2,970 undi), Salahuddin Ayub (24.5 peratus atau 2,225 undi) serta ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar (22.4 peratus atau 2,028 undi).

Ketiga-tiga mereka dilihat mewakili kumpulan pro-Pakatan.

Tiga lagi calon proulama gagal mencuri hati pembaca dan masing-masing tidak mendapat sokongan lebih 9 peratus.

Mereka ialah wakil rakyat PAS Datuk Iskandar Samad (5.9 peratus atau 535 undi), Idris Ahmad (7.1 peratus atau 647 undi) serta Timbalan menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah (7.3 peratus / 661 undi).

Seramai 9,066 orang terlibat dalam tinjauan populariti naib presiden PAS ini.

 

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.