Home » » Sekiranya ada miracle dan wahyu baru .....

Sekiranya ada miracle dan wahyu baru .....

Oleh Mohd Sayuti Omar 

Keputusan perebutan jawatan dalam Dewan Pemuda dan Muslimat sudah pun selesai. Pencabar Suhaizan Kaiat, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz menang dengan majoriti 162 undi. Kemenangan Nik Abduh bersama dengan timbalan dan naib ketua serta AJK kesemuanya "satu mazhab" menjelaskan pemilihan dalam dewan itu menurut "chai mazhab" dan bukan secara individul seperti sebelum ini.

Pemilihan ini memberi gambaran apa yang berlaku dalam pemilihan presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja Pas sessi 2015 - 2017 yang akan berlangsung esok. Bentuk yang sama juga dijangka akan berlaku dan keputusan sama juga diduga terjadi.

Hanya sekiranya ada miracle dan wahyu baru sahaja keputusan esok akan berubah. Perubahan itu juga akan bergantung kepada sejauh mana sikap profesionalisme  para perwakilan. Namun jika ditengok kepada suasana dalam muktamar Pemuda itu, ia akan terjadi, seperti seperti mana, bagaimana bayang begitulah objeknya. Pemuda boleh dianggap sebagai bayang, manakala muktamar penuh esok laksana objek.

Situsi ini akan membawa padah kepada penyandang jawatan timbalan sekarang ini, Mohamad Sabu, naib presiden, Salahuddin Ayub dan Husam Musa. Serentak itu juga kedudukan Abdul Hadi Awang sudah pasti akan selamat dan beliau akan mendapat timbalan baru, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengajakkan kedudukannya ke atas untuk berada dalam satu mazhab. Adapun Ahmad Awang hanya akan terjadi seperti orang terbangkit dari tidur yang ditemani mimpi indah sahaja!

Menarik dan dramatik barang kali muktamar Pas esok kalau apa yang diramalkan itu berlaku. Ia memberi implikasi besar kepada Pas, mengejutkan pemerhati politik, yang 'menganyakkan' orang yang baru berjinak dengan Pas, sekiranya perwakilan ikut sama memilih secara mazhab seperti apa yang dilakukan pemuda.

Apa yang kita hendak perhitung sekarang ini ialah apa akan jadi dengan Pas selepas ini sekiranya yang dibayang dan dibimbangi itu berlaku. Macam mana Pas selepas Jun (bulan) ini? Saya membuat congakan ringkas kepada Pas selepas Jun ini, seperti mana berikut untuk direnungi dan diinsafi dengan tulus dan ikhlas.

1. Apabila Pas telah dikuasai golongan yang menganggap mereka agamawan (al Din) sepenuhnya, maka tidak akan ada check and balance lagi di dalam Pas. Selepas ini tidak akan berlaku pertembungan aliran pemikiran dan idea lagi dalam jawatan kuasa kerja Pas. Mesyuarat jawatankuasa kerja Pas akan berjalan "selayar" sahaja tanpa ada agumentasi. Sikap dan budaya wala' yang dianjurkan itu membunuh demokrasi bebas dalam Pas.

Ertinya kerja yang dibuat oleh golongan ini untuk menguasai jawatankuasa kerja Pas sejak setahun lalu menerusi berbagai program bersifat asobiyah, berjaya. Sudah pasti dengan kejayaan ini mereka akan membawa Pas mengikut acuan dan hala tuju yang mereka kehendaki yang dihajati kesekian lama.

Tanggapan bahawa Allayharham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi benteng yang mempertahankan kekukuhan hubungan Pas dalam politik majmuknya, mengadakan pakatan dengan PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat, adalah benar. Kerana selepas ketiadaan Tokguru sahaja Pas sudah bercemperaian.

Apakah yang mereka (golongan al Din) ini kehendak? Daripada apa yang didakwa oleh golongan profesional dan liberal (prolib) selama ini, selepas ini Pas tidak lagi akan bersama Pakatan Rakyat. Sama ada Pas masih mahu kekal dalam Pakatan Rakyat atau sebaliknya, yang jelas hubungan dan persepakatan itu tidak akan ikhlas. Ikatan pakatan itu tidak menjadi seerat dulu lagi.

Kandati pun Pas seperti mahu untuk bersama PKR, tetapi ia tetap akan relai kerana PKR sendiri intim dengan DAP berbanding dengan Pas. Tidak mungkin dalam hal ini PKR sedia untuk meninggalkan DAP dan hanya bersama dengan Pas. Kejelasan bahawa Pas tidak akan bersama DAP sangat nyata dan sahih.

Apa yang berlaku dalam Dewan Ulama, yang telah meluluskan usul supaya Pas memutuskan hubungan dengan DAP, adalah cermin kepada hasrat Pas yang baru ini. Usul Dewan Ulama itu akan menjadi agenda utama Pas. Dan agenda itu sejajar dan selari dengan aspirasi Mursyidul Am Pas kini yang jinak dan berjinak jenaka dengan Umno.

Mungkin usul itu dibentangkan pun apabila menyedari yang DAP tidak akan keluar meninggalkan Pakatan Rakyat, khasnya memutuskan perhubungan dengan PKR. Sebelum ini sudah ada lontaran cadangan meminta DAP keluar daripada Pakatan Rakyat. Tetapi DAP berkeras mereka akan tetap bersama Pakatan Rakyat sebaliknya menghalau Pas keluar daripada pakatan itu. Bahkan Lim Guan Eng secara arrogant telah menyatakan dia menolak Abdul Hadi Awang.

Gara-gara itulah mungkin menyebabkan Dewan Ulama menjadi lebih tegas dan celupar lagi mendesak jawatankuasa kerja Pas dan Majlis Syura memutuskan hubungan dengan DAP. Usul memutuskan itu adalah sebagai balasan dendam kepada apa yang pemimpin DAP lakukan.

Pokoknya di sini hubungan antara Pas dengan DAP sudah khalas. Kerja untuk memulihnya samalah dengan kerja untuk menyambung nyawa kepada mayat. Titik.

2. Yang menjadi tanda tanya ke manakah pemimpin yang digolong dalam mazhab profesional selepas ini. Apakah mereka akan diterima pakai lagi oleh golongan al Din, dan jika iya, apakah mereka bersedia? Logiknya sukar untuk mereka bekerjasama. Ada beberapa nama yang dominan bertentangan dengan pimpinan Abdul Hadi Awang selama ini dimana mereka dikategorikan dalam golongan prolib.

Mereka seperti Mohamad Sabu, Dr Mujahid Yusuf, Abdul Khalid Samad, Dzulkifli Ahmad, Kamaruddin Jaaffar, Hanifa Maidin, Dr Mohd Hatta Ramli, Syed Azman Syed Muhammad, Mohd Nizar Jamaluddin, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Husam Musa, Ahmad Awang dan beberapa nama lain. Ke manakah mereka selepas ini sekiranya mereka tidak ditawar atau mahu diguna pakai oleh penguasa Pas kini. Atau mereka keberatan untuk menerimanya? Nama-nama itu tidak disambung lagi dengan segugus nama dalam Pemuda dan Muslimat, kalau disambung ia jadi makin panjang dan lebat.

Apakah mereka akan mengambil sikap mendiamkan diri, melihat dan memerhati Pas dibawah pimpinan baru itu? Atau pun mereka akan bertindak dengan lebih drastik lagi akan menyertai kumpulan lain atau menubuhkan harakah sendiri sama berupa parti politik atau NGO? Atau mereka ini berkolobrasi dengan third force. 

Sekiranya ini berlaku maka Pas akan mengalami kerugian besar. Apa yang ditakuti, iaitu perpecahan tidak dapat dielakkan kerana mereka ini ada pengikut tersendiri. Sebagai pemimpin mereka juga harus mendengar suara dan pandangan dari pengikut mereka. Dan sebagai manusia mereka juga ada hati dan perasaan yang pasti terkilan dan tersinggung dengan pelbagai cercaan yang dilemparkan kepada mereka. Mungkin mereka menerima dengan suci hati kekalahan mereka, tetapi teknik mengalahkan mereka itu membuatkan mereka sakit dan pedih.

Kalau itu berlaku Pas akan kerugian. Kerugian bukan sahaja dari segi manpower mereka, tetapi dari segi pengikut juga. Sumbangan mereka kepada parti walaupun tidak sebesar Hadi,  tetapi ia tetap ada. Tidak boleh dinafikan pencapaian Pas di bekalangan ini adalah atas bantuan dan komitmen mereka yang membawa politik baru, mendekati dan meluaskan Pas kepada politik melewati sempadan ethnik dan agama.

Paling merugikan mereka ada pengikut dan pengkagum tersendiri, khususnya dari kalangan anak muda dan bukan Islam, yang menyokong Pas kerana meminati mereka dan suka kepada pendekatan dan uslub yang mereka bawa. Mereka adalah aset bersama menumbang kepada kemenangan Pas.

Mereka juga tidak boleh ditolak bukan pemimpin berfahaman Islam atau jahil, lebih dari itu apa dimiliki mereka ialah sifat prolib dan mereka dibawa masuk ataupun diberi ruang pada zaman Almarhum Fadil Noor menjadi presiden Pas. Mereka sebenarnya bukan masuk pintu belakang apa lagi dianggap penceroboh kepada Pas seperti mana dirasai oleh sesetengah golongan al Din kitab kuning. Tidak...

3. Apabila Pas kini dikuasai oleh satu golongan yang sekapala dan seputar serban, mereka akan mengerakan tahalul syiasi dengan musuh tradisi Pas, Umno? Perkara ini tidak disyaki lagi kerana ia merupakan agenda tertangguh yang terlipat dalam hati golongan ini. Gagasan atau agenda Unitiy Government (UG) merupakan satu agenda yang tersirat dan membengkak dalam hati. Ia tergendala apabila Pas dikuasai oleh golongan prolib yang membawa politik baru menerusi Pakatan Rakyat yang mengekangnya. Walaupun ia dinafi berkali-kali, tetapi sifatnya sepertilah kentut dikain palikat, ia tetap melekat dan berbau hampak.

Kini setelah menguasai Pas sepenuh, agenda itu pasti akan dilaksanakan. Apabila agenda itu ditimbulkan semula ia mudah akan diterima oleh Jawatankuasa kerja Pas tanpa dibahas. Apa lagi serpihan engin yang menggerak tahalu syiasi dengan Umno itu masih ada, dan ia akan bersatu semula menjadi sebuah agen yang lengkap untuk dihidupkan kembali. Tengoklah....

Apakah begitu? Dan sekiranya berlaku begitu apakah ahli Pas peringkat akar umbi akan akur dengan agenda berkenaan. Situasi ini akan menjadi masalah, kerana tidak semua mereka akan bersetuju dengan agenda berkenaan. Apa lagi kalau agenda itu dibuat secara  ad hoc oleh Jawatankuasa kerja Pas, setelah menerima arahan autokrasi Majlis Syura Ulama yang dipanggung tinggi itu, tanpa dibawa ke muktamr, maka saat ini Pas akan berpecah. Perpecahan ini tidak dapat dielakkan lagi.

Perpecahan Pas ini, sama ada dalam nisbah 70:30 atau 60:40, maksudkan 70 peratus atau 60 peratus menyokong glongan al Din, dan 30 peratus atau 40 peratus menyokong prolib, namun pepecahan itu cukup untuk memilu dan memusnahkan Pas. Pas akan tewas dalam pilihan raya, kecuali Pas berkolobrasi dengan Umno maka mungkin ada sisa kemenangan.

Dan apakah kalau Pas berkolobrasi dengan Umno Pas akan mendapat kuasa sebesar hari ini? Ia tidak ada jaminan pasti kerana Umno memang cekap dan licit dalam memperdayakan Pas. Dalam keadaan apapun Umno adalah abang yang berkuasa. Bukti nyata lihat kepada janji Umno untuk menyokong pelaksanaan Hudud di Kelantan. Kata Tuhan sudah cukup buktinya bagi yang mahu memerhatikannya. Apakah kamu tidak memerhatinya?

Kalau ada nawaitu itu, bukan mudah untuk Pas berkolobrasi dengan Umno menerusi BN. Rakan-rakan Umno dalam BN sepeti Gerakan, MCA, MIC, PBS, SUPP, PPP dan sebagainya tidak mudah menerima Pas. Phobia mereka kepada cita-cita Pas untuk melaksanakan Hudud menjadi penyebab mereka menolak Pas secara mentah-mentah. Mungkin akan memberi syarat kepada Pas mengugurkan cita-cita Islam kalau ingin menyertai BN. Apakah Pas bersedia? Mungkin...

Pas jangan mengharap Umno akan memilihnya berbanding parti lain. Saya mengumpamakan Umno kini dengan segala macam yang ada dalam BN, bagaikan suami yang sudah berpoligami dan kuota untuk berbininya sudah mencukupi. Apakah Umno akan menceraikan mana-mana "isteri"nya untuk berkahwin dengan Pas seperti dilakukan ustaz munafik? Tidak.

Kegagalan untuk berkolobrasi dengan Umno nanti menyebabkan agenda itu membawa Pas akan bersedirian. Pas akan melalui pilihan raya umum ke-14 nanti secara solo. Apabila Pas menyertai pilihan raya secara solo, tidak perlu dihuraikan disini bagaimana nasib dan natijah diterima Pas. Pas pasti kalah dan hanya akan menang dengan slogan; mendapat keredhaan Allah sahaja. Kalau itu yang Pas mahu, silakan sahaja.

Demikian jangkaan saya mengenai nasib Pas selepas Jun ini sekiranya keputusan dalam muktamar esok sebiji persis keputusan dalam Dewan Pemuda. Kini terserah kepada muktamirin, dan apa yang menjadi harapan saya, semoga "kuala", Kuala Selangor itu bukan pengkalan yang akan menghanyutkan iltizam suci Pas selama ini dan biarlah ia menjadi pengkalan mempersatukan orang-orang Pas selepas usai muktamar. Berdoalah. Jangan ucap selamat tinggal kepada Pas.

3 comments:

  1. Sebelum undi molek juga kupasan yg baik dibawa oleh perwakilan yg nak undi n silap hari bulan pas akan seolah olah berada 30tahun kebelakang dan Sepatut nya inilah peluang untuk pimpinan ulama membri kefahaman dan lama bergaul bolih mengislam merwka

    ReplyDelete
  2. Kalau andaian yg diperkatakan oleh sayuti ada benarnya maka elok pimpinan yg tak dipilih tubuh parti baru dan disana ada ngo abim dan ikram akan bersama termasuk saya yg jadi ahli sejak 30thn akan bersama.Saya dah muak dan malu lihat sikap pimpinan pas yg ada

    ReplyDelete
  3. Pas patut rugi Kalau mereka ini tak dipilih kerana mereka ini bersama rakyat samada waktu demo atau sebalik nya dan ada tak ulama krluar masuk lokap. Ulama yg ada berkuliah penuh poket dgn duit dan ceramah sana sini dapat pulus.

    ReplyDelete

My Blog List

Blog Archive

.