Home » » Hadi dan Najib sama-sama terdesak pagar diri

Hadi dan Najib sama-sama terdesak pagar diri

Oleh  Mohd Sayuti Omar
Serupa tetapi tidak sama bagi Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam usaha mengekalkan kedudukan serta menjaga wibawa parti mereka mengambil tindakan tergesa-gesa yang tidak popular. Najib yang terhimpit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah terdesak sehingga sanggup menggunakan beberapa akta termasuk Akta Hasutan 1948 untuk menutup kebusukannya daripada terus berwap.

Dua akhbar The Edge dan The Edge Financial digantung permit penerbitan selama 3 bulan. Sebelum itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak menyekat portal Sarawak Report dan memberi ugutan kepada mana-mana pihak yang menyiarkan maklumat mengenai 1MDB akan dikenakan tindakan.

Beberapa orang (yang sebenarnya) dijadikan kambing hitam di sebalik pendedahan penyalahgunaan wang 1MDB juga ditangkap dan disiasat di bawah akta hasutan. Mereka juga dihalang untuk bergerak bebas ke dalam negeri dan luar negara. Antara yang disekat perjalanan ke luar negeri ialah Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih awal disekat dengan cara lebih kejam lagi menerusi penjara selama 5 tahun.

Najib sudah mengguna semua para hulubalangnya bagi melindungi beliau dan menutup kebusukannya. Sebelum ini para hulubalangnya sekadar membela Najib menerusi air liur, tetapi kini sudah membuat tindakan fizikal apabila tindakan menerusi air liur tidak berkesan.

Datuk Ahmad Sabery Chik menerusi kuasa SKMM yang ada kepadanya manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kedua mereka ini bolehlah dianggap sebagai “Malik Zabaniah” dan “Riduan” yang menjaga pintu-pintu kekuasaan Najib.

Zahid pula kelihatan lebih serius membela Najib. Ini berikutan ada ura-ura yang beliau akan diletak di bawah kementerian lain dalam satu rombakan Kabinet yang bakal dilakukan Najib. Mungkin bagi menyelamatkan kedudukannya, Zahid mula menunjukkan taring dan pembelaan kepada Najib. Ertinya, perang saraf Najib untuk menukar Zahid ke portfolio lain dalam satu rombakan Kabinet berjaya.

Bagi mempamerkan lagi kesungguhan membela Najib, tidak mustahil Zahid bertindak lebih jauh lagi dengan mengarah polis atau badan-badan keselamatan di bawah kawalannya bertindak lebih rakus, seperti tangkapan dan sebagainya.

Mengenai persamaan Najib dengan Hadi tadi, kalau Najib menggunakan beberapa akta untuk mengukuhkan kedudukannya, maka berlain pula dengan Hadi yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, petikan hadis dan sebagainya untuk mengekang ahli PAS agar tidak meninggalkan parti itu daripada berhijrah kepada Gerakan Harapan Baru (GHB).

Isu baiah yakni ikrar politik dilakukan sesetengah calon PAS dijadikan modal mengekang ahlinya daripada meninggal parti berkenaan. GHB rupanya menyerabutkan Hadi.

Ada seorang pemimpin tertinggi PAS mengeluarkan fatwa haram bagi wakil rakyat PAS menerima dan menikmati elaun dan gaji sekiranya wakil rakyat itu menyertai GHB. Entah berdasarkan nas mana pemimpin berkenaan membuat fatwa berkenaan. Saya sudah katakan, dalam politik sekular, ayat-ayat al-Quran dan hadis tidak terpakai.

Ia hanya terpakai kepada politik jemaah sahaja.

Fatwa yang dikeluarkan itu hanya untuk mengekang wakil rakyat berkenaan daripada meninggalkan PAS dan sikap pemimpin itu menunjukkan beliau sudah terdesak dan panas dengan sambutan yang diberikan kepada GHB.

Berhubung baiah itu ingin juga ditanya, macam mana dengan calon PAS bertanding dan angkat ikrar tetapi tewas, apakah talak mereka juga jatuh apabila mereka meninggalkan PAS? Kalau mengikut fatwa pemimpin tertinggi PAS itu yang ingin sangat dikenal sebagai spiritual leader bekas calon itu juga tertakluk dengan ikrar berkenaan. Jika ia tidak jatuh dan hanya jatuh kepada yang menang maka jelas ikrar baiah suatu bidaah besar.

Bukankah perbuatan baiah itu hanya berlaku pada 2004 dan terbatas di beberapa buah negeri sahaja. Macam mana dengan keadaan PAS pada tahun-tahun sebelumnya termasuk di Kelantan. Apakah waktu itu sudah ada ikrar berkenaan atau hanya baru terfikir pada 2004?

Kalau begitu ertinya soal baiah jatuh talak itu bukan perkara yang wajib dalam PAS melainkan ia hanya satu teknik sahaja bagi menyelamatkan PAS apabila ahli yang mungkir. Tidakkah ini adalah helah politik dan bukan hukum mutlak daripada Allah?

Dan kalaulah benar baiah itu menyebabkan talak itu jatuh bererti PAS menjadi agen tidak rasmi di negara ini menggalakkan berlakunya perceraian dan talak itu bertantangan dengan sunah Rasulullah sendiri yang membenci kepada perceraian. Talak itu juga tidak pernah dibuat pada zamannya dan hanya direka oleh agamawan yang lebih termakan palet agama di zaman muasir ini sahaja.

Kesimpulannya, baik Najib dan Hadi, kedua-dua terdesak dengan apa yang menimpa diri mereka dan parti mereka, sehingga terpaksa menggunakan akta dan al-Quran untuk dijadikan pagar melindungi mereka. Ayat-ayat jampi tidak akan menambah undi. –

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.