Home » » PAS Memerlukan Ketua Yang Tegas Pada Prinsip

PAS Memerlukan Ketua Yang Tegas Pada Prinsip

Oleh : Ahmad Ulwan Hassim

Sebenarnya, tiada siapa boleh halang Ustaz Ahmad Awang untuk bertanding sebagai calon Presiden
PAS. Sebab itulah persepakatan bersama yang telah kita capai di dalam peruntukan perlembagaan; Kaedah 4.8.6, Peraturan-peraturan Pemilihan PAS 2013 (Pindaan 2013).

Walaupun ia jelas mencalarkan sedikit konsep jemaah yang menekankan syura dalam pemilihan, itulah realiti yang perlu kita terima bersama.

Walaubagaimanapun, ahli PAS tetap bebas untuk terus menyatakan pendirian mereka siapakah yang akan terus memimpin gerakan Islam tertua di Tanah Air ini.

Pun begitu, secara jujurnya setelah saya meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Ahmad Awang berkenaan beberapa point penting yang menyebabkan beliau bertanding Presiden, ia seakan-akan hanya akan 'menghasilkan perkara yang telah terasil'. Kaedah menyebut:
تحصيل الحاصل باطل
(Menghasilkan perkara yang telah dihasilkan adalah perkara yang batil)

PAS Terus Menjadi Alternatif

Setelah lebih 60 tahun PAS berpencak di arena nasional, terlalu banyak ijtihad-ijtihad politik yang dilakukan oleh PAS terutamanya setelah era Kepimpinan Ulamak 1982 menjadikan PAS terus maju.
Walaupun 'hearsay' dan media sering memomokkan bahawa era kepimpinan TGHH menjadikan PAS semakin lemah, tetapi hakikat dan faktanya keahlian PAS terutamanya pada tiga bulan pertama tahun 2015 iaitu peningkatan 15, 807 orang berbanding tahun 2014 yang hanya 19, 764 orang menyertai PAS.

Ia membuktikan bahawa akar umbi PAS yang semakin bertambah dan membayangkan sokongan kepada PAS semakin bertambah. Kekuatan akar umbi inilah yang akan menentukan jatuh bangun PAS.

Begitu juga dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dinaiktaraf daripada Kelab Penyokong PAS (KPP) pada 23 Mei 2010 membuktikan PAS era sekarang mampu untuk menempatkan dirinya di dalam sebuah negara yang majmuk.

PAS Terus Gah Di Persada Antarabangsa

Menjadikan PAS sebagai aktor penting di persada Antarabangsa juga telah diperanankan sebaiknya ketika era TGHH. Bahkan, sebelum TGHH dilantik sebagai Presiden PAS lagi, beliau yang merupakan antara anak didik kepada sosok tubuh ulamak Haraki, Syeikh Said Hawa telah diberi penghormatan untuk menyelesaikan beberapa krisis di peringkat Antarabangsa.

Masih ingat ketika beliau menceritakan pengalaman beliau menyelesaikan sedikit salah faham Ikhwan Muslimin Mesir berkenaan penubuhan Ikhwan Alami. Beliau telah diberi penghormatan oleh Syeikh Said Hawa untuk mewakili gerakan Islam berbincang dengan Mursyidul Am IM ketika itu.
Begitu juga dengan kepercayaan Syeikh Qaradhawi kepada TGHH bagi menyelesaikan krisis yang berlaku di Yaman. Maka tidak mustahil, baru-baru ini TGHH diberi penghormatan oleh Syeikh Qaradhawi dan ulamak dunia bagi memegang jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Dunia.
Terlalu banyak peranan dan tugas yang dimainkan oleh TGHH di peringkat Antarabangsa yang tidak mampu untuk dicoretkan disini terutamanya selepas kematian rakan karib beliau Najmuddin Erbakan.

Memahami Konteks Sejarah

Oleh itu, beberapa sebab yang dinyatakan oleh Ustaz Ahmad Awang bagi bertanding sebagai calon Presiden PAS sebenarnya telah terhasil di era TGHH. Cuma ada satu perkara yang disebut oleh beliau yang agak menarik juga untuk diulas di dalam tulisan yang ringkas ini. Iaitu berkenaan sejarah pertandingan jawatan YDP PAS era Dr Burhanuddin al-Helmy.

Memang jika diselak di dalam lakaran sejarah PAS, memang berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden pada zaman Dr Burhanuddin al-Helmi dan juga Dr Zulkifli Muhammad. Pun begitu, ramai yang hanya memetik sejarah ini secara teks tanpa memahami secara tepat konteks di sebalik sejarah ini yang tersimpan seribu hikmah.

Dr Burhanuddin al-Helmi berjaya menyandang jawatan sebagai YDP PAS yang ketiga pada ketika itu dalam satu persidangan muktamar yang begitu hangat pada 25 Disember 1956. Beliau telah berjaya menewaskan Dr Zulkifli Muhammad yang ketika itu mendapat pencalonan yang agak banyak daripada kawasan-kawasan.

Ia adalah sebagai satu isyarat daripada perwakilan kepada Dr Burhanuddin al-Helmy bahawa perwakilan mahukan kepimpinan yang mampu menjaga dasar perjuangan dan agar parti tidak tergelincir daripada perjuangan yang sebenar.

Kerana perwakilan ketika itu sedikit meragui latarbelakang politik Dr Burhanuddin al-Hemy yang sebelum ini pernah bersama jalur kiri 'Marhanisme' yang dibimbangi akan mengheret PAS lari daripada perjuangan asal.

Walaupun begitu, peringatan tegas perwakilan tersebut mampu memberi ingatan awal kepada Dr Burhanuddin sehingga PAS ketika legasi beliau mampu melebarkan sayap yang selesa terutamanya di Pantai Timur dalam keadaan masih berjaya di atas dasar yang asal.

PAS Memerlukan Ketua Yang Tegas Pada Prinsip 

Maka inilah konteks sebenar kepada sejarah tersebut. Dalam keadaan realiti PAS sekarang mengambil methode tahaaluf siyasi dengan PKR dan DAP, sudah pasti ahli memerlukan bukan sahaja yang mampu membawa PAS menjadi pengganti kepada UMNO, akan tetapi yang mampu menjaga dasar parti dan tidak mudah untuk dicucuk hidung hatta dengan parti kawan sendiri.

Dan perkara ini jelas telah ditunjukkan oleh Tuan Guru Presiden yang menegaskan bahawa kita akan terus tetap bersama Pakatan Rakyat bagi menggantikan kerajaan UMNO yang ada sekarang. Tetapi perkara yang lebih penting adalah PAS mampu menjaga dasar perjuangan parti agar tidak pudar dek kerana tahaaluf yang sedang kita sepakati. Sebagaimana sabda nabi:
المسلمون على شروطهم الا شرطا حرم حلالا او احل ما حراما
(Muslim itu diatas syarat yang terlah dipersetujui. Melainkan syarat yang mengharamkan yang halal. Atau menghalalkan yang haram)

Perkara ini jelas di dalam beberapa penegasan yang dilakukan oleh TGHH terutamanya dalam isu Langkah Kajang, Hudud dan beberapa isu lain yang menggambarkan PAS ada dasar dan prinsipnya yang tidak ada kompromi. Apa guna seekor ayam jantan tetapi tidak mampu untuk berkokok.
Walaupun ia diterjemahkan oleh media sebagai 'keras kepala', 'u-turn' dan sebagainya, ia jugalah sebenarnya yang telah disuarakan oleh golongan yang terdahulu terutamanya zaman Dr Burhanuddin al-Helmy agar ketua parti dapat menjaga dasar dan prinsip perjuangan parti. Dan boleh bertolak ansur dalam perkara yang bersifat cabang.

Walhasil, inilah sisi pandang yang perlu dinilai oleh ahli akar umbi dalam kita menyuburkan konsep demokrasi di dalam PAS. Dan pada masa yang sama tidak menggadaikan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.