Home » » Saya tidak akan mencampuri apa jua hal kepimpinan parti- Khalid Samad

Saya tidak akan mencampuri apa jua hal kepimpinan parti- Khalid Samad

Oleh Khalid Samad

Muktamar PAS Ke-61 telahpun selesai dengan segala kehebatan dan keajaibannya. Maka d
ilihat terpilihnya saff pimpinan yang hampir keseluruhannya baru kecuali di jawatan Presiden dan beberapa anggota AJK PAS Pusat. Ianya boleh disifatkan sebagai satu ‘rombakan menyeluruh’ yang sememangnya telah lama diusahakan oleh pimpinan yang mengelar diri mereka sebagai ‘pro-ulama’ di dalam PAS.

Dengan tercapainya ‘pembersihan’ ini, maka rakyat dan ahli menunggu untuk melihat perbezaan, samada dalam pendekatan, kaedah, hala tuju atau apa jua, antara pimpinan baru dan pimpinan lama. Keinginan untuk perbezaan ini merupakan sebab dan justifikasi terhadap usaha gigih yang dilakukan sepanjang beberapa bulan untuk menjatuhkan pimpinan lama dan menaikkan pimpinan baru. Dalam erti-kata lain, pimpinan ditukar demi memungkinkan pembaharuan dalam pendekatan, kaedah, hala tuju atau apa jua yang diinginkan, yang tidak mampu atau tidak sedia dilakukan pimpinan lama.

Amat mengecewakan sekiranya setelah berusaha dengan begitu gigih, DAN MATLAMAT TERCAPAI, akhirnya tiada sebarang perbezaan kecuali retorik semata-mata.

PENDIRIAN SAYA

Saya berpendirian bahawa pimpinan baru wajib diberikan ruang seluas-luasnya untuk melaksanakan pembaharuan pendekatan, kaedah, hala tuju atau apa jua yang diinginkan ke arah mengukuhkan PAS dan Pakatan Rakyat. Oleh itu saya telah membuat pendirian bahawa saya tidak akan mencampuri apa jua hal kepimpinan parti kerana khuatir akan menjadi penghalang kepada apa yang diingini. Ini adalah yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila apa yang diidamkan sebenarnya tidak saya ketahui.

Seperti kata-kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang baru, Dato Dr. Mahfodz dalam temuramahnya,
“...golongan profesional dominan, dia kuat dan boleh beri fakta-fakta menyebabkan keputusan tidak boleh dibuat. Sebab itulah kadang-kadang tok guru terpaksa buat keputusan sendiri. Beliau merujuk kepada Majlis Syura sahaja. Kalau dibawa kepada AJK Pusat memang kalah.”

Seingat saya, tidak pernah ada mana-mana keputusan dibuat, selama saya sebagai anggota AJK PAS Pusat, berdasarkan undi. Maka bagaimana saya dan pimpinan lama yang lain menjadi penghalang tetap merupakan sesuatu tanda tanya pada diri saya. Dan sekiranya pembentangan fakta dilihat sebagai penghalang kepada apa yang diingini, maka sememangnya saya hanya mampu membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukan berdasarkan yang keinginan semata-mata. Oleh itu, cara saya semestinya berbeza dengan cara baru yang mengikut apa yang diinginkan dan dengan itu saya sudah pasti tidak mampu berfungsi dalam keadaan sedemikian.

Saya tidak mahu komen secara berlebihan terhadap apa yang telah dinyatakan oleh Dato Dr. Mahfodz dalam temuramah beliau. Biarlah beliau kata apa yang diinginkannya. Yang penting saya sekadar ingin menyeru pada semua ahli untuk memberikan peluang kepada kepimpinan baru untuk menzahirkan keinginan mereka sebenar dan mendoakan semoga perbezaan yang akan dibawa akan merupakan pembaharuan yang baik untuk PAS, insyaAllah.

USUL DUPP

Namun begitu, saya harap bahawa ‘Usul tergempar Dewan Ulama PAS Pusat’, bukan merupakan petanda berhubung perbezaan yang ingin dibawa pimpinan baru. Usul sedemikian rupa mungkin seronok untuk disyarahkan demi menunjuk sifat ‘hero’ tetapi ia boleh menghancurkan segala yang telah dibina secara begitu teliti oleh pimpinan lama. Takbir mungkin dilaungkan berkali-kali oleh pemerhati dan perwakilan tetapi pimpinan yang bijak akan lebih waras dan tidak emosi, menimbangkan untung ruginya sesuatu tindakan serta maslahahnya.

Akan tetapi, itu cara pimpinan lama. Bagi saya, untuk mengotakan semangat di sebalik usul itu dan supaya PAS tidak dituduh tunduk pada DAP, kemaruk jawatan serta sebagai parti yang tidak bermaruah, hasrat usul tersebut perlu dilaksanakan. Lebih-lebih lagi apabila usul tersebut telah diterima, walaupun tanpa bahas, oleh muktamar PAS. Maka biarlah tindakan tegas dan berani, meletakkan harapan hanya pada Allah. Berani kerana benar dan yakin Allah bersama pihak yang benar.

Jika tidak, dikhuatiri nanti akan dituduh sama sahaja dengan pimpinan lama!

Sebenarnya tindakan Mat Sabu meletak jawatan adalah tepat. Jawatan beliau di Pulau Pinang adalah jawatan yang dilantik. Ramai juga wakil PAS yang dilantik walaupun PAS hanya menang satu kerusi. Dilantik pula oleh kerajaan PR yang hampir kesemuanya DAP. Jahat sungguh DAP kerana melantik begitu ramai wakil PAS! Menyulitkan. Ujian dan dugaan. Sepertimana Mat Sabu dilantik, dia boleh juga dipecat. Tidak perlu tunggu dipecat. Lebih berprinsip letak jawatan. Lebih lebih lagi apabila PAS yang menyerang DAP dan ingin memutuskan hubungan dengan mereka.

KESIMPULAN

Saya berlapang dada dan menerima dengan baik keputusan muktamar PAS Ke-61. Pihak yang berkerja keras telah mencapai kemenangan. Harapan mereka bersama DS Presiden ialah untuk melakukan sepertimana yang dianggap perlu, berbeza dengan pimpinan lama. Maka perlu tunggu dan lihat dan berikan ruang seluas-luasnya kepada mereka.

Pada masa sama, saya yakin bahawa sepertimana saya; rakan-rakan lain yang telah terlibat dalam perjuangan Islam ke arah menegakkan keadilan dan membela nasib rakyat sekian lama akan turut meneruskan perjuangan seperti biasa. Bersama PAS, di peringkat bawahan dan pertengahan, bersama NGO serta parti komponen PR, terus maju ke hadapan dan berusaha menjatuhkan UMNO/BN. Perjuangan ini dilakukan bukan atas sebab jawatan atau pujian; tetapi atas keyakinan dan kefahaman. Oleh itu tidak perlu ada pihak yang khuatir mengenai diri kami ini, insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.