Home » » GHB Bukan Parti Serpihan PAS - Asmuni

GHB Bukan Parti Serpihan PAS - Asmuni

Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah satu parti baru dan bukan parti serpihan PAS yang ditubuhkan individu kecewa dengan kekalahan pemilihan parti PAS.

Penyelaras Sementara, GHB Perak, Asmuni Awi menegaskan GHB adalah satu parti politik baru yang diwujudkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan PAS dalam Pakatan Pembangkang dengan tujuan meneruskan agenda Pakatan sebelum ini.

Menurut beliau GHB mempunyai visi yang berlainan dan bertujuan untuk mewujudkan sebuah pakatan pembangkang yang baharu selepas PAS menamatkan hubungannya dengan DAP.

“Kita mempunyai visi kita tersendiri, di mana atas kegagalan Pakatan Rakyat (PR) ekoran kemelut DAP dan PAS, kita melihat perlunya parti politik Islam baharu untuk memenuhi salah satu kekosongan di dalam PR.

“Kalau nak cakap GHB merupakan ahli PAS yang kecewa itu tidak benar, saya merupakan pengerusi pemilihan PAS tetapi memilih untuk meninggalkan PAS. Saya ambil keputusan memilih GHB, ada juga beberapa ahli PAS berjawatan memilih GHB,” katanya ketika ditemui Peraknews pada Jumaat di Ipoh.

Tambah beliau, penubuhan GHB turut mengambil pandangan beberapa pihak termasuk parti politik lain yang bersependapat perlunya diwujdukan parti politik Islam baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan PAS bagi meneruskan agenda Pakatan Rakyat sebelum ini.

Justeru itu, kata beliau dakwaan GHB hanya akan menjadi kuda tunggangan terbaru DAP dalam pentas politik negara adalah tidak berasas.

“Visi GHB adalah untuk ke pangkal perjuangan PAS iaitu menjadi sebuah parti insklusif dan parti yang boleh diterima masyrakat bukan Islam supaya kita dapat kembangkan dakwah Islamiah dan bukan berjauhan dengan mereka.

“Buat masa ini parti yang saya (PAS) sertai lebih 20 tahun lalu sudah jauh tersasar daripada perjuangan asal. Apa sekalipun tomahan yang dilemparkan kita tak kisah, kita hanya akan menfokuskan kepada visi yang ditetapkan,” ujarnya.

Asmuni yang juga merupakan bekas Bendahari PAS Pusat turut mempersoalkan tindakan beberapa kepimpinan PAS baru-baru ini yang tidak jemu menghentam parti GHB.

“Itu yang kita kesalkan sepatutnya selepas mereka berjaya menyingkirkan orang-orang yang mereka tidak kehendaki, sepatutnya mereka bergembira.

“Dahulu diistilahkan sebagai “Babi Hutan”, “Semak Samun” dan “Sekular” sudah tidak ada lagi di dalam PAS jadi apa yang mereka hendak bimbangkan? Biarkan kami teruskan agenda kami dan mereka boleh teruskan agenda mereka,” tegasnya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.