Oleh Dr Afif Bahardin
Saya menyambut baik saranan kumpulan aktivis Anak Muda yang menggesa seluruh parti politik pembangkang untuk kembali ke meja rundingan dan membentuk satu pakatan politik baru yang lebih kuat dan inklusif untuk berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional.
Gesaan mereka ini pastinya mewakili sebahagian besar suara anak muda yang mahu melihat satu barisan pembangkang yang benar - benar jitu dan kukuh, berdiri di atas prinsip-prinsip keadilan, keterbukaan dan dengan harapan membentuk masa depan Malaysia yang lebih cerah. Kewujudan barisan pembangkang yang kuat bukan sahaja mampu mengimbangi kekuasaan Barisan Nasional, tetapi juga mampu menjadi suara yang mewakili rakyat Malaysia menghadapi tempoh yang mencabar ini.
Harapan yang diletakkan anak muda kepada parti pembangkang untuk menjadi alternatif yang lebih baik kepada Barisan Nasional tidak harus dipersia-siakan. Saya memandang keperluan untuk semua parti politik pembangkang, baik di peringkat sayap dan juga organisasi induk kembali ke meja rundingan dan mengariskan ketetapan dan dasar bersama untuk membentuk pakatan politik yang jitu sebelum Pilihan Raya Umum ke 14.
Saya yakin Parti Keadilan Rakyat mampu untuk menyediakan wadah bagi setiap parti politik pembangkang untuk duduk di meja rundingan dan memacu pembentukan satu kerjasama politik baru yang dibina atas prinsip dasar bersama yang boleh dipersetujui. Saya juga ingin mencadangkan agar usaha ini dimulakan segera, dengan memulakan rundingan untuk membentuk satu pakatan politik yang kukuh di Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak. Diharap dengan bermulanya kerjasama ini di Sarawak di antara ke semua parti, akan mampu memberi tentangan yang sengit dan menawarkan alternatif kepada rakyat negeri itu untuk menolak Barisan Nasional.
Dr Afif Bahardin
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN
0 comments:
Post a Comment