Oleh Ahmad Awang
Ramai sahabat-sahabat yang menyatakan perasaan
kecewa dan sedih mereka kepada saya, melihat gelagat beberapa pimpinan
PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan
Pakatan Rakyat. Samaada mereka mempunyai wawasan masa depan politik
yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan
hanya Allah yang Mengentahui.
Kata-kata seperti “PAS mampu
bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam
tak penting” dan sebagainya adalah sangat-sangat bercanggah dengan
wawasan pimpinan terdahulu.
Kenangan zaman dahulu
Saya
masih ingat pada tahun-tahun 80an semasa PAS mempunyai kekuatan hanya di
pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, pada ketika itu,
semua pimpinan berusaha memikirkan kaedah untuk memperluaskan pengaruh
PAS supaya melangkaui kawasan pantai timur ini.
Pada ketika itu
PAS sebagai parti yang tersisih dari politik arus perdana negara dan
dianggap parti yang mempunyai sokongan hanya di kawasan Pantai Timur dan
kawasan terhad di Kedah dan Perak. Maka pimpinan dan keseluruhan
ahli-ahli PAS berusaha sambil berdoa agar ruang pengaruh PAS dapat
diperluaskan.
Didoakan semoga Allah bantu PAS supaya dapat maju
ke depan, memperluaskan ruang pengaruh dan sokongannya, bukan sekadar di
Pantai Timur sahaja tetapi juga di Pantai Barat. Begitu juga, bukan
sekdar di kampung-kampung tetapi juga di bandar raya dan bukan sekadar
di kalangan orang Islam sahaja tetapi juga di kalangan yang bukan Islam.
Pada ketika itu, pimpinan di semua peringkat bertungkus lumus
berusaha mengatasi prejudis dan gambaran negatif yang tersebar luas
terhadap PAS di kalangan masyarakat, khususnya yang bukan Islam. Maka
diusahakan pembentukan "Chinese Consultative Council" atau "CCC".
Nak cari orang Cina yang sanggup hadir program PAS pada ketika itu
cukup sukar walau pun bersama CCC. Pada masa itu beberapa orang suadara
baru dari kaum Cina ikut mendekatkan PAS dengan masyarakat Cina. Di
antara mereka yang saya masih ingat ialah Kamal Koh, Ridzuan Daniel Onn
dan Ali Abdullah.
Kemudian semasa PAS menubuhkan lajnah antara
kaum pada tahun 90an seorang saudara baru yang sangat kuat membantu saya
di Perak semasa menjadi PJ ialah Faizal Tan(Allahyarham) dan kemudian
datang lagi seorang saudara baru membantu saya di pusat semasa saya
menjadi ketua penerangan ialah saudara Ann Wang Seng Abdullah.
Datangnya pertolongan Allah?
Saya yakin, dengan doa dan usaha ahli dan pimpinan, yang merupakan
gandingan ulama, profesional dan aktivis, Allah hasilkan perpecahan Umno
pada 1987 dan Semangat 46 terbentuk. Pimpinan PAS bertindak bijaksana,
menyedari ianya bantuan dari Allah, mengadakan Tahaluf dengan S46 dalam
Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pada pilihan raya 1990, Kelantan
dimenangi kembali selepas 14 tahun di bawah Barisan Nasional.
Sepuluh tahun kemudian, pada 1998 Allah memberi pertolongan kepada PAS
sekali lagi dengan perpecahan Umno buat kali kedua. Barisan Alternatif
(BA ) terbentuk dan Terengganu pula dimenangi PAS sambil Kelantan tetap
berjaya dipertahankan pada PRU 1999. Pada ketika itu, imej PAS yang
bekerjasama rapat dengan DAP dan Keadilan mula berjaya diperbaiki di
kalangan "mayarakat selain dari ahli PAS". PAS dilihat adil membela
semua golongan yang dizalimi.
Malangnya pada 2004, atas sebab
Umno/BN bersatu kembali melalui kepimpinan barunya ia itu Tun Abdullah
Ahmad Badawi dan DAP meninggalkan BA maka Terengganu terlepas kembali
kepada BN dan PAS hilang kembali kerusi-kerusi yang dimenangi di
Selangor dan Perak. PAS pun dapat bertahan di Kelantan dengan majoriti
kerusi yang minima. Namun, kemenangan cemerlang Umno/BN yang dicapai
pada 2004 hanya sementara.
Perpecahan Umno diteruskan
Hasil perpecahan Umno yang berterusan, dan pendekatan serta strategi
bijaksana PAS, dengan diperkenalkan cogan-kata “PAS for all”, dan
kegagalan Pak Lah untuk melaksanakan apa yang dijanjikannya melalui
slogan Islam Hadharinya maka PAS, PKR dan DAP terus mara di arena
politik tanah air. PR terbentuk selepas PRU 2008 hasil pencapaian
cemerlang dalam pilihan raya tersebut dan Kedah, Selangor, Perak, Pulau
Pinang dapat dirampas dari BN sambil Kelantan terus berjaya
dipertahankan dengan cemerlangnya.
Kejayaan demi kejayaan yang
diperolehi PAS, melalui pilihan raya yang disertainya selama ini, adalah
hasil dari doa dan usaha gigih pimpinan dan ahlinya, serta kemampuan
mereka untuk mengenali dan memanfaatkan bantuan yang Allah berikan
sepanjang perjuangan mereka.
Maka PAS mencapai apa yang
diinginkan dan diusahakan selama ini. PAS menjadi sebuah parti politik
yang dilihat releven semua kaum, berada di tengah-tengah arus perdana
politik negara, membicarakan masalah rakyat dan ummah sambil membela
semua yang teraniaya, samada Islam atau bukan Islam.
PAS menjadi
parti yang punyai daya penarik terhadap seluruh rakyat dan tidak lagi
dilihat sebagai parti terpencil dan tidak releven. Kebersamaan PAS
dengan rakyat dalam usaha menangani masalah rakyat semakin menonjol
tanpa mengabaikan persoalan-persoalan Islam dan ummah yang menjadi dasar
perjuangannya.
Justeru itu, bagi saya, pembentukan PR adalah
sebenarnya satu pertolongan dari Allah yang jelas dan nyata. Ianya
terhasil dari perpecahan yang Allah cetuskan di kalangan pimpinan Umno
dan BN.
Ianya satu gabungan yang suatu ketika dahulu dianggap tidak
masuk akal tetapi tetap dijayakan Allah juga hasil kebijaksanaan dan
usaha gigih serta doa pimpinan dan ahli-ahli PAS. Ianya juga hasil dari
doa rakyat jelata yang ingin terlepas dari kesempitan yang dihasilkan
kezaliman Umno.
Perubahan sikap secara mengejut
Malangnya secara tiba-tiba saya dan ramai pendokong PAS melihat ada
pihak yang tidak menghargai dan mensyukuri pertolongan yang Allah
berikan ini walaupun kebaikannya dizahirkan Allah melalui keputusan PRU,
penerimaan orang bukan Islam terhadap PAS, pembentukan dan pengukuhan
DHPP, pembentukan kerajaan PR di beberapa negeri dan bermacam-macam
lagi.
Mereka bagaikan tidak mengenalinya sebagai pertolongan
dari Allah dan sebaliknya mendakwa ianya pengkhianatan terhadap
perjuangan Islam! Segala pencapaian yang disasarkan dan dicapai melalui
PR tiba-tiba dilihat sebagai tidak berharga dan bernilai dan dianggap
sebagai kelemahan yang membawa kerosakan aqidah.
Perlu wahyu mengesahkan?
Tiada wahyu yang akan turun untuk menyelamatkan PAS dari kesimpulan
yang negatif ini sepertimana turunnya wahyu membetulkan sikap beberapa
sahabat selepas ditanda-tangani perjanjian Hudaibiyyah. Dan sebenarnya
wahyu baru tidak diperlukan lagi kerana Al-Quran lengkap dan sempurna.
Hanya yang diperlukan adalah untuk dibuka mata untuk melihat dan dibuka
minda untuk berfikir dan dibuka hati untuk bersikap adil dan ikhlas.
Jangan ada di antara kita yang menjadi seperti golongan Bani Israel yang
diturunkan Al-manna was-Salwa kepada mereka tetapi mereka meminta pula
diberikan kepada mereka tumbuhan-tumbuhan dari bumi seperti bawang,
gandum, sayur-sayuran dan sebagainya!
Jangan kita bersikap
seperti kaum Bani Israel yang Allah kisahkan itu yang inginkan bantuan
dalam bentuk yang mereka inginkan sahaja, sambil kufur dan engkar
terhadap cara yang Allah berikan.
Amat meleset sekali kalau kita
bersikap, PR adalah satu kesilapan dan penyelewengan dari dasar PAS.
Ini membawa erti kita menafikan usaha-usaha serta ijtihad pimpinan
terdahulu. Sambil itu kita tidak bersyukur ke atas pertolongan yang
Allah berikan sehingga PAS mencapai status sepertimana yang tercapai
hari ini. Sebaliknya kita wajar teruskan dan bina di atas apa yang
dibina mereka yang terdahulu dari kita.
PAS mula diterima semua
Kepercayaan rakyat jelata termasuk yang bukan Islam terhadap PAS
bertambah tahun demi tahun sejak 1998 dan memuncak pada 2012. Imej
almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin untuk seluruh
rakyat semakin kukuh dan beliau dipuji semua kecuali BN (yang hanya
memberi pujian setelah beliau kembali mengadap Allah). Adakah ianya
kerana TGNA "tunduk pada DAP"? Sudah pasti tidak!
Pada masa yang
sama, hubungan di antara PAS dan DAP menjadi begitu rapat sehingga DAP
sanggup menggunakan lambang PAS sekiranya perlu pada PRU 2013 ia itu
sekiranya parti DAP digantung atau dibatalkan pendaftarannya sebelum PRU
ke 13.
Ke mana perginya hubungan yang sebegitu rapat pada masa
ini? Adakah PAS pernah menggugurkan dasar perjuangannya demi mencapai
hubungan sebegitu akrab? Sudah pasti tidak pernah! Namun kepercayaan dan
hubungan itu dibina dengan pendekatan yang berhemah dan bijaksana
pimpinan terdahulu.
Retak menunggu belah
Tiada siapa
yang menjangka, dalam tempoh hanya 2 tahun hubungan PAS dan DAP menjadi
bagaikan "retak menunggu belah". Lebih-lebih lagi setelah mencapai
keputusan yang agak cemerlang semasa PRU 13. Keputusan cemerlang ini
sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan ini dan bukan sebaliknya. Tetapi
anehnya, sekarang PR seperti berada di ambang perpecahan dan
berantakkan. Di mana silapnya?
Imej PAS turut tercalar,
menyebabkan kepercayaan bukan Islam terhadapnya semakin terhakis.
Dituduh khianat dan tidak amanah rakan segabungannya. Dilihat PAS
membawa perjuangan yang eksklusif hanya untuk orang Islam sambil
bagaikan kurang berminat terhadap penderitaan rakyat.
Isu 1MDB,
GST dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lainnya
seolah-olah tenggelam di bawah perbahasan mengenai perlaksanaan Enakman
Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang di kenal dengan Undang-Undang Hudud
negeri Kelantan.
Saya melihat isu hudud ini menjadi besar
setelah ianya diwar-warkan kerajaan pusat yang di ketuai Umno memberi
sokongan untuk melaksanakan undang-undang hudud negeri Kelantan dengan
syarat ianya dibawa ke Parlimen untuk di luluskan.
Namun apa
yang sebenarnya yang terkandung dalam Rang Undang-undang Persendirian
yang di bawa TGHH (MP Marang) adalah hanya mengenai Pindaan kepada Akta
Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah 1965) yang dikenali dengan Akta 355
.
Pindaan itu bertujuan bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh
dijatuhkan Mahkamah Syariah dalam kes-kes jenayah dalam bidangkuasa
Mahkamah Syariah iaitu kesalahan zina, minum arak, menuduh zina yang
selama ini hukuman sebatan hanya boleh dilaksanakan sebanyak tidak lebih
dari enam sebatan sahaja. Maka dengan kelulusan Rang Undang-undang
Persendirian itu Mahkamah Syariah bolehlah melaksanakan hukuman sebatan
mengikut yang dituntut syariah.
Ada pun hukuman rejam sampai
mati, hukuman potong tangan, hukuman potong tangan dan kaki dan hukuman
bunuh atas jenayah murtad dan jenayah qisas seperti yang terkandung
dalam EKJS Kelantan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak termasuk
dalam Pindaan Akta 355.
Perkara seperti ini tidak difahami
masyarakat umum termasuk sebahagian pimpinan PAS sendiri.
Sebagai contoh
ketika menulis artikel ini saya terbaca kenyataan PJ Perak yang dengan
tegas menyebutkan, Private Bill yang dibawa PAS ke Parliman ialah EKJS
yang diluluskan DUN Kelantan baru-baru ini. Hal ini bertambah menjadi
perbahasan apabila digambarkan, PAS amat bergatung dengan pihak Umno
yang diwar-warkan bersetuju dengan perlaksanaan undang-undang hudud
Kelantan.
Perkara ini bertambah merancakkan perbahasan apabila
ada beberapa pemimpin PAS Kelantan membangkitkan kononya TGNA
(Allahyarham) memberi amanat supaya berbaik-baik dengan Umno bagi
melaksanakan undang-undang hudud.
Campur tangan Umno?
Sedih, namun itulah keadaan yang berjaya diwujudkan sekarang ini.
Semestinya mereka yang terlibat dalam merencanakan perkembangan ini amat
di sukai Umno/BN. Sudah pasti ini semua terhasil bukan secara kebetulan
tetapi diusahakan pihak-pihak tertentu mengikut perancangan mereka.
Melalui berbagai usaha, termasuk permainan Umno yang menggunakan isu
hudud sebagai wasilah mereka yang berjaya menghasilkan suasana ini. PAS
dan DAP lebih sibuk bergaduh sesama sendiri dari menyentuh Umno. Malahan
ada di kalangan ahli PAS yang beranggapan, menyerang DAP dan PKR adalah
“lebih afdhal” dari menyerang Umno. Dan itulah yang golongan ini
lakukan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Kesimpulan
Keadaan ini semua adalah hasil kepimpinan yang dilihat kurang berkesan
dengan wawasan yang bercelaru. Sebelah kakinya di dalam perahu PR dan
sebelah lagi bagaikan di luar perahu . Walaupun disebut berkali-kali
“kukuhkan PR”, “PAS terus bersama PR”, “PAS tidak akan keluar PR”, namun
tindakan bercanggah dengan kata-kata. Tambahan pula terdapat golongan
ulama pelapis muda yang baru dapat amanat kepimpinan sering membuat
kenyataan, PAS lebih senang berjuang bersendirian.
Sudah tiba
masanya kita kembalikan PAS kepada landasan yang dipersetujui dan
diputuskan bersama, dengan kepimpinan yang jelas wawasan serta manhaj
dan uslubnya. Sama sama kita kembalikan keyakinan rakyat, yang Islam dan
bukan Islam, terhadap PAS.
Kita ingin ke Putrajaya dengan PR
dan tidak redha Umno/BN terus bertakhta lebih lama. PRU 14 tumpuan kita,
dengan gandingan yang kukuh dan mantap bersama PR. PAS sebagai rakan
setia yang jujur dan boleh diyakini kata-kata dan janji nya. –
* Penulis ialah bekas pesuruhjaya PAS Perak.
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment