Home » » Mendukung gagasan untuk PAS kekal relevan

Mendukung gagasan untuk PAS kekal relevan

Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF 

TIADA dalam perencanaan kehadiran saya dan sahabat-sahabat ke Parlimen 8 April lalu untuk bertemu Tuan Guru Presiden. Namun, sebaik memasuki bilik rehat di tingkat 14 menara utama, saya dijemput untuk duduk bersebelahan dengan Tuan Guru Presiden.

Kesempatan yang ada tidak saya dan sahabat-sahabat biarkan begitu saja. Apatah lagi kelihatan Tuan Guru sedia untuk berbual dan melayan kami


 Perbualan kami hampir saja berlarutan selama satu jam. Dapat saya rasakan di sebalik kata-kata penuh ilmiah dan gurau senda dari Tuan Guru, beliau cukup tabah dan penuh sedia berhadapan dengan cabaran semasa.

Saya mula menanyakan isu-isu semasa umat Islam di peringkat antarabangsa. Tuan Guru seperti biasa memang menyukai topik tersebut. Bermula dengan bagaimana musuh-musuh Islam menjadikan umat Islam umpama buat catur, pertikaian dan pelbagai hikmah di Yaman menjadi perhatian utama Tuan Guru.

Perbualan kami seterusnya menyentuh perihal rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan di Palrimen bagi membolehkan undang-undang jenayah Islam lebih sempurna dilaksanakan di Malaysia. Saya cuba menduga beberapa pendirian Tuan Guru dalam isu tersebut. Nyatanya Tuan Guru yakin dengan apa yang sedang dilakukan dan harapannya begitu berpaut pada Allah SWT.

Jelas Tuan Guru hasrat Parti Islam Se-malaysia PAS dalam perlaksanaan Islam di Malaysia termasuklah hudud bukan suatu yang baru. Bahkan ia telah sebati dengan perjuangan PAS itu sendiri. Bahkan Tuan Guru turut menyorot kembali bagaimana peranan PAS sekitar 1974 semasa berada dalam kerajaan. Ada juga disebut Tuan Guru bagaimana telah ada persetujuan peringkat tertinggi pada ketika itu untuk meletakkan hudud sebagai perundangan Malaysia.

Dalam kesempatan itu juga, saya menarik perhatian Tuan Guru tentang gagasan negara berkebajikan yang telah PAS gagaskan mulai 2011. Tuan Guru berpendirian bahawa gagasan negara berkebajikan akan diteruskan.

Sebelum saya meneruskan perbincangan berkaitan hasrat Tuan Guru dalam gagasan negara berkebajikan ini, saya perturunkan beberapa perenggan dari ucapan beliau pada 2011 buat perhatian pembaca.

“...Inilah yang kita sentiasa pertegaskan, bahawa PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bercirikan tarbiyah dan dakwah, yang mempunyai perkiraan dengan ibadah dan amanah dari Allah SWT.

...Kita percaya bahawa penglibatan kita dengan PAS adalah bagi mengisi hidup kita dengan amal yang soleh, penuh kebajikan yang berpanjangan dan mengharapkan keampunan Allah dan pertolongan-Nya, kerana menyahut seruan Allah SWT dan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan al-salaf al-soleh, yang dinyatakan oleh firman Allah : Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (di dunia). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman”.

...Setiap ahli PAS mestilah berpegang teguh dengan Islam, beriman, melaksanakan kebajikan secara berterusan, dan kita berpolitik pula mestilah mengikut panduan al-Quran, kerana itulah perintah dalam al-Quran yang menjadi pedoman kita semua. Kita tetapkan dalam undang-undang tubuh PAS, bahawa yang memandu kita ialah al-Quran, al-Sunnah, Ijmak para ulamak dan Qiyas yang nyata. Bagi menjamin kewibawaan PAS dengan Islam yang bersumberkan perkara tersebut, maka diwujudkan Majlis Syura Ulamak bagi mengawal perjalanan PAS, supaya sentiasa di atas landasannya dengan istiqamah.

...Peranan kita ialah membawa mesej Islam secara praktikal kepada seluruh manusia, berdakwah dan berpolitik bagi menterjemahkan keadilan syariat Allah kepada seluruh alam dan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan asal usul mereka, dengan berwawasan dunia hingga akhirat. Inilah yang dinyatakan oleh firman Allah SWT :

“Dan tidaklah kami utuskan mu melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam”

...Negara berkebajikan yang ingin kita capai ialah bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan di sana-sini tetapi jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

...Negara yang kita mahu ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ia mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

...Setiap Lajnah dalam PAS berperanan melaksanakan agenda parti yang berteras, berjiwa dan bermatlamat Islam. Melaksanakan apa yang dapat dilaksanakan tanpa tangguh dan menjadi jentera menuju ke arah memperkenalkan Islam kepada masyarakat mengikut bidang masing-masing, serta melengkapkan parti walau pun tidak menjadi kerajaan dan mengisi kemenangan apabila tiba masanya menjadi kerajaan.

...Peranan tenaga kalangan pakar dalam berbagai bidang dalam PAS sentiasa bersama perjuangan kita sejak penubuhan PAS, menunjukkan kita tidak sekali-kali memisahkan kalangan ulamak dengan mereka. Inilah sejarah PAS bersama sejarah Islam di zaman keemasan dan mempunyai ketahanan di zaman penjajahan dan kezaliman.

...Ada Lajnah yang lebih bersifat dalaman seperti Lajnah Tarbiyyah, bagi meningkatkan ketahanan ahli menghadapi cabaran, meningkatkan daya juang dan ilmu yang diamalkan sehingga PAS menjadi parti contoh terbaik. Lajnah Tarbiyah juga perlulah merangka modul-modul baru yang boleh mendidik ahli dalam uslub mendekati masyarakat berbagai agama dan kaum di luar sana.

...Ada Lajnah yang bersifat terbuka bagi melaksanakan agenda PAS ke dalam masyarakat bagi memasyarakatkan PAS seperti Lajnah Penerangan, Kebajikan, Guaman, Pekerja, Kebudayaan, Tanah dan Peneroka dan lain-lain, sehinggalah ke peringkat antara bangsa. Semua Lajnah hendaklah mengambil segala kepakaran yang ada di kalangan ahli PAS yang ramai jumlahnya sekarang. Mereka laksana batu bata yang perlu disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh. Firman Allah: Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang dijalan-Nya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh (daripada bata yang disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh)”

...Saya juga mahu Lajnah-lajnah dalam PAS, melalui aktivis parti untuk turun ke gelanggang, memahami budaya setempat, perihatin terhadap masalah rakyat, menjadi penggerak sebenar di medan, dan seterusnya menyelesaikan konflik dan masalah yang membarah dalam masyarakat. Sekiranya kita mahukan perubahan ke arah politik yang lebih bermaklumat, maka semua di antara kita adalah bertanggungjawab untuk bertindak sebagai agen perubahan yang menyampaikan maklumat ke dalam masyarakat.

...Demi mencapai tujuan ini, maka setiap Lajnah di peringkat Pusat hinggalah ke peringkat negeri dan kawasan perlulah menetapkan matlamat yang ingin dicapai, melaksanakan perancangan strategik dan memantau pencapaian dari masa ke semasa. Semua ini direncanakan di awal sesi, dibentang kepada semua jawatankuasa untuk penyelarasan gerakerja supaya kita tidak hanya mewujudkan program ad-hoc yang bertujuan untuk mengisi laporan tahunan apabila hampir tiba mesyuarat agung masing-masing...”

Dalam perbualan tersebutlah, saya menyelitkan hasrat saya dan sahabat-sahabat melalui Sekretariat Prihatin OKU Malaysia bagi menggiatkan usaha pengupayaan OKU di Malaysia. Sungguh teruja dan bersyukur saya apabila Tuan Guru memahami apa yang kamiimpikan dan usahakan.

Pada penulisan ini, suka saya kongsikan beberapa kesimpulan dalam usaha kita menggarap dan mencapai gagasan yang dicita-citakan tersebut:

1. Gerak kerja bagi membentuk negara berkebajikan haruslah dimulai sekarang dan bukannya sewaktu PAS diberi kuasa pemerintahan.

2. Gerak kerja ini perlu didokong secara sistematik antara lajnah-lajnah dan entiti dalam PAS agar ia mampu menghasilkan satu natijah yang jauh lebih baik dari apa yang ada pada hari ini.

3. Setiap ahli dalam PAS mampu menyumbang dengan pelbagai cara mengikut kemampuan masing-masing dalam menjayakan gagasan yang cukup besar ini.

4. Setiap kepakaran yang ada di kalangan ahli-ahli dan penyokong PAS perlu digembeling secara tersusun agar gerak kerja hari ini telah cukup mantap untuk digunapakai dalam masyarakat. Lebih dari itu, ia mampu disesuaikan dengan sistem pemerintahan sebaik PAS dikurniakan kemenangan kelak.

5. PAS perlu bergerak secara lebih komprehensif dan menyeluruh. Dengan perkataan lain, PAS tidak harus dilihat hanya relevan pada musim pilihan raya atau situasi tertentu sahaja. PAS harus ada dalam setiap denyut nadi masyarakat demi membawa obor-obor Islam.

6. Keberadaan PAS pada masa sekarang apatah lagi pada waktu memerintah perlu lebih dari sekadar ganti fizikal parti United Malay National Organisation, Umno. Setiap pendokong dan penggiat PAS perlu mampu tampil dengan aspirasi berkebajikan dalam menyempurnakan gagasan ini.

7. Hanya iltizam yang kuat dan niat yang ikhlas mampu melonjakkan PAS dengan gagasan ini pada masa-masa mendatang bagi membolehkan kita relevan dalam sistem kenegaraan yang telah pun punah ini.

Sokongan kepada Tuan Guru bukan sekadar laungan atau teriakan. Beliau amat memerlukan dokongan yang sebenar-benarnya dalam bentuk usaha dan gerak kerja dari setiap penggiat dan pendokong PAS.

Dalam mengharungi cabaran semasa, terpulanglah kepada kita untuk sama ada melihat gagasan ini berjaya pada masa hadapan atau sekadar membiarkan ia menjadi sebut-sebutan sebagai satu kenangan semata-mata. Medan telah sedia terbentang di hadapan kita untuk kita penuhi dengan tugasan yang telah digagaskan.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.