Home » » Pemilihan: 147 kawasan belum bermesyuarat agung

Pemilihan: 147 kawasan belum bermesyuarat agung

Oleh SALMIYAH HARUN 

KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini
akan menjadi tumpuan ramai berikutan akan diadakan pemilihan kepimpinan parti itu bagi sesi 2015 hingga 2017.

Bagaimanapun, setakat ini masih terdapat 147 kawasan yang belum menjalankan mesyuarat agung manakala 44 kawasan masing-masing telah selesai bermesyuarat.


Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kawasan-kawasan yang belum lagi menjalankan mesyuarat dijangka akan melaksanakan tugas mereka pada minggu ini.

"Minggu ini kita jangka kawasan-kawasan semakin rancak menjalankan mesyuarat agung masing-masing," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, di peringkat sekretariat PAS Pusat mereka sentiasa memantau perjalanan mesyuarat agung bukan sahaja di kawasan-kawasan malah dewan-dewan bagi membantu melicinkan perjalanan mesyuarat.

"Manakala Jawatankuasa Pemilihan yang dibentuk di peringkat Pusat akan menguruskan soal pemilihan di semua peringkat," katanya. 

Pencalonan bagi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat termasuk dewan-dewan katanya, ia mestilah sampai ke Pejabat Agung PAS selewat-lewatnya pada 30 April ini sama ada melalui pos ataupun serahan tangan.

Beliau juga mengingatkan calon yang bertanding bahawa borang pencalonan tidak akan diterima sekiranya dihantar melalui emel atau faks atau apa jua selain yang ditetapkan.

"Perlu pastikan borang pencalonan dihantar pada waktu yang ditetapkan. Sekiranya terlewat maka pencalonan akan secara automatik tertolak," katanya.

PAS Pusat telah menetapkan lokasi untuk melaksanakan muktamar di peringkat dewan-dewan iaitu Dewan Ulamak PAS Pusat akan bersidang di Dewan Datuk Fadzil Noor (Kuizm), Dewan Pemuda PAS Pusat pula di Dewan Jubli Perak Shah Alam dan Dewan Muslimat PAS Pusat di Shah Alam Convention Centre (SACC) di Shah Alam.

Muktamar di peringkat dewan ini akan bermula pada 2 dan 3 Jun manakala Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor bermula pada 4 hingga 6 Jun 2015-Harakahdaily

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.