Home » » Pencalonan tinggi Husam mesej tidak baik kepada Hadi

Pencalonan tinggi Husam mesej tidak baik kepada Hadi

Akar umbi PAS menghantar mesej jelas kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mereka tidak senang dengan kepimpinannya apabila memberikan hampir 30% pencalonan kepada Datuk Husam Musa untuk jawatan tertinggi itu, kata penganalisis politik Ibrahim Sufian.

"Ini belum pernah berlaku dalam PAS apabila calon lain mendapat tujuh pencalonan daripada 24 kawasan yang membuat pencalonan sehingga kini," kata pengarah Merdeka Center


"Saya rasa pencalonan kepada Husam untuk presiden adalah satu yang luar biasa, sebelum ini satu je dan nak dua pun susah. Ini signal daripada ahli tentang rasa tidak puas hati mereka.”

Bagaimanapun menurut Ibrahim, kumpulan konservatif masih mempunyai kelebihan dalam pemilihan yang akan berlangsung pada Jun kerana mereka lebih rajin turun ke bawah untuk menjelaskan isu-isu dan merapati akar umbi. 

Husam yang juga naib presiden PAS mencipta sejarah apabila sehingga kini mendapat 7 pencalonan termasuk 4 dari Johor iaitu Kota Tinggi, Segamat, Batu Pahat dan Seri Gading manakala 2 dari Negeri Sembilan iaitu Seremban dan Teluk Kemang dan 1 dari Batu Sapi, Sabah.

Sementara Hadi menerima 4 pencalonan dari Pahang, 3 di Johor, 3 di Selangor, 2 dari Wilayah Persekutuan dan masing-masing 1 dari Terengganu, Kedah dan Melaka.

Dua lagi calon yang turut mendapat pencalonan untuk jawatan presiden PAS adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Awang.

Terdapat 150 kawasan PAS di seluruh negara yang masih belum mengadakan mesyuarat dan membuat pencalonan sehingga akhir bulan depan.

Pada Ahad, Husam mengakui berada dalam dilema berikutan pencalonan kawasan-kawasan untuk membolehkannya bertanding jawatan presiden PAS.

"Husam memberikan jawapan yang tepat," kata Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang memulakan usaha mencalonkan selain Hadi untuk jawatan presiden.
Seorang pemerhati politik PAS melihat perkembangan baru ini sebagai kemungkinan Hadi terpaksa menggantikan Datuk Haron Din sebagai mursyidul am selepas muktamar pada Jun.

"Ia menimbulkan persoalan kepada saya, apakah ini juga membuka peluang kepada Ustaz Hadi ke kerusi mursyidul am," kata beliau yang enggan namanya dinyatakan kerana hubungannya yang agak rapat dengan Hadi.

Majlis syura ulama boleh melantik pengerusi mereka yang baharu selepas wakil-wakil dari Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat dilantik semula selepas muktamar Jun nanti.

Bagi Ibrahim, apa yang berlaku dalam PAS kini adalah desakan akar umbi agar hala tuju parti sekarang diubah.

"Dalam mereka hendak menang, mereka juga mahu jelas menang dengan siapa. Nampaknya mereka mahu PAS kekal dengan Pakatan Rakyat (PR) dan bukan dengan Umno," kata Ibrahim yang membuat banyak kajian sokongan di kalangan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, kepimpinan tidak jelas Hadi menyebabkan ahli parti keliru dengan hala tuju parti dan kesetiaan, kata Ibrahim.
Katanya, ekoran kegawatan dalam Umno sekarang, dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang Datuk Seri Najib Razak, ahli PAS tahu betapa teruknya keadaan Umno kini.
"Tetapi pimpinan khasnya presiden tidak mahu ambil kesempatan daripada kelemahan Umno sebaliknya dilihat macam nak bekerjasama dengan Umno pula. Dari situlah timbulnya kekaburan itu," katanya.

Menurut Ibrahim, berdasarkan kajiannya, tiada siapa dalam PAS menyangkal cita-cita perjuangan Islam termasuk hudud tetapi pimpinan tidak menjawab banyak persoalan bagaimana ia boleh membawa kepada kemenangan.

Ibrahim memberikan tiga punca utama kenapa Husam mendapat banyak pencalonan dalam pemilihan kali ini; sikap PAS seperti tidak berminat terus bersama PR, kelemahan dalam pengurusan konflik dan polemik negatif dan tuduh menuduh sesama kumpulan bertelagah.

Menurut Ibrahim, ahli PAS juga mahukan pemimpin yang boleh membawa kemenangan dalam pilihan raya, mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno dan Barisan Nasional dengan pelbagai isu termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembunuhan Altantuya Shariibuu dan sebagainya.

"Tidak berbangkit soal geng Erdorgan (profesional dalam PAS) tak nak bawa hudud, cuma persoalan yang timbul macamana kita nak menang Putrajaya, boleh ke kita menang kembali Selangor dan Perak. Semua orang nak menang," kata Ibrahim.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.