Home » » Ahli PAS mahu perubahan

Ahli PAS mahu perubahan

Oleh A Shukur Harun 


Tidak syak lagi daripada keputusan awal pemilihan di beberapa mesyuarat agung PAS kawasan seperti di Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan dan beberapa negeri lagi menunjukkan isyarat kalangan akar umbi PAS mahukan perubahan pucuk pimpinan peringkat tinggi.

Walaupun hanya baru beberapa kawasan mengadakan mesyuarat agungnya hingga setakat minggu lalu dan tidak boleh diramalkan lebih daripada keputusan yang ada, tetapi sudah ada sedikit gerakan perubahan pemikiran perwakilan PAS yang bermesyuarat agung itu.

Ertinya, mereka mahukan perubahan pucuk pimpinan peringkat tinggi yang mampu mendepani cabaran masa depan yang demikian sengit.

Ini kerana suasana masa lalu sangat jauh berbeza dengan masa kini, lebih-lebih lagi masa depan.

Maka itu pimpinan yang akan dipilih dalam Muktamar PAS Jun depan mestilah pimpinan yang mampu menggerakkan PAS sebagai parti politik Islam yang bersifat kontemporari, mampu berubah, tanpa mengorbankan asas perjuangan Islamnya.

Ia tidak boleh lagi berlegar dan berfikir di sekitar kampung halamannya saja seperti pemain sepak raga jaring masa lalu. Tidak boleh lagi berfikir PAS adalah parti yang hanya untuk orang Melayu/Islam dengan membaca demografi politik berasaskan premis tersebut.

Pemimpin PAS yang akan dipilih dalam muktamar nanti mestilah tokoh yang boleh berfikir dan merancang untuk menjadikan PAS terus kukuh dan unggul bukan sekadar di kawasan Melayu/Islam, tetapi juga mampu mengembangkan dan mengekalkan pengaruhnya di kawasan yang pengundinya pelbagai kaum.

Dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu - 2008 dan 2013 - ternyata PAS sudah dapat bertapak di kawasan pengundi pelbagai kaum seperti di Selangor, Johor dan Perak hasil dari tahaluf siyasi.

Oleh itu, dalam PRU akan datang, sewajarnya, pemimpin dan ahli biasa PAS memikirkan dan merancang bukan saja untuk mengekalkan pengaruh yang ada di kawasan tersebut, tetapi melebar luaskan lagi pengaruhnya di kawasan lain.

Dengan sifat Islam yang syumul, anjal serta keluasan tasawurnya, saya kira, tidak ada halangan sama sekali bagi pendukung PAS yang berjuang atas asas Islam untuk melakukan dimensi baru.
Malah jika saf pimpinan mempunyai kekuatan daya fikir, bacaan politik yang tepat, dinamik, mengatur strategi sebaik-baiknya dan mampu menggerakkan kekuatan parti sepenuhnya yang ahlinya sudah berjumlah 1.3 juta orang itu, saya kira PAS boleh menjadi pemimpin utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Dengan sifat PAS yang tidak perkauman dan perjuangannya untuk menegakkan keadilan, menentang segala bentuk rasuah dan penyelewengan serta segala kemungkaran, ia mempunyai kemampuan menjadi parti yang dominan dan menjadi harapan rakyat Malaysia.

Syaratnya ia mesti dipimpin tokoh yang dinamik, terbuka dan memandang jauh ke depan. Sebab itu, sifat dinamik ini mesti wujud di kalangan semua warga PAS.

Ahli yang dinamik di peringkat cawangan dan kawasan akan memilih pemimpin yang dinamik di peringkat pusat di muktamar dan ini proses biasa. Oleh itu kesilapan memilih pemimpin akan melumpuhkan usaha parti untuk melakukan perubahan.

Seperti yang saya sebutkan, beberapa kawasan bermesyuarat agung sejak 2 minggu lalu menunjukkan isyarat awal kalangan akar umbi PAS di peringkat kawasan tersebut mahukan perubahan pucuk pimpinan peringkat tinggi.

Jangan sekali-kali disalah mengertikan trend perubahan yang dikehendaki akar umbi PAS kerana mereka hanya mahukan pemimpin yang dilihat mampu membuat perubahan yang menguntungkan masa depan PAS, bukan mahu menjatuhkan mana-mana pemimpin.

Isyarat mahukan perubahan ini perlulah difahami dan diterima dengan fikiran terbuka oleh para pemimpin. Tanpa memahaminya atau disalah mengertikan maka perwakilan bukan saja akan kecewa, tetapi PAS itu sendiri akan mengalami kebekuan.

Ingatlah pesan allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor, ahli PAS mestilah sentiasa memikirkan keperluan melakukan perubahan supaya PAS terus relevan, daripada sebuah parti Islam yang eksklusif (tertutup) kepada parti yang inklusif (terbuka).

PAS tidak boleh statik, tidak melakukan perubahan, kata allahyarham Fadzil, kerana "Seperti air yang tidak mengalir, tidak berubah, maka air itu kotor dan tidak boleh digunakan. Tetapi air yang mengalir, ia berubah, tidak kotor dan boleh dimanfaatkan".

Saya yakin dengan trend perubahan yang sudah ditunjukkan perwakilan di peringkat kawasan yang bermesyuarat agung itu diharapkan akan diikuti kawasan lain yang akan bermesyuarat sebelum muktamar Jun ini.

Bukan masalah golongan mana yang menang dan golongan mana tewas dalam pemilihan di muktamar nanti, tetapi yang penting difikirkan perwakilan ialah tokoh mana mampu melakukan perubahan.

Kesilapan membuat pilihan nanti maka parti akan menerima akibatnya seperti air yang bertakung tidak mengalir itu. Tidak ada siapa pun yang boleh menghalang akan perubahan ini dan ia tidak juga boleh dilihat secara sinis atau negatif. Ini kerana Islam itu sendiri sangat dinamik sifatnya. Ia mampu menangani perubahan, malah Islam itu sendiri telah mempelopori perubahan seperti apa yang terpancar dalam sirah Nabawi.

Minggu-minggu mendatang, PAS kawasan akan meneruskan mesyuarat agungnya dan saya yakin, pemilihan peringkat kawasan, secara demokrasi itu nanti, akan berjalan lancar dikawal akhlak Islam.

Rakyat sedang memerhatikan pergerakan PAS hingga ke muktamar Jun ini, di mana mereka kemudiannya akan menilai hasilnya sama ada PAS mampu mendukung harapan rakyat atau sebaliknya.

Oleh itu pemilihan peringkat kawasan dan seterusnya ke peringkat pusat sangat crucial. Pemilihan pucuk pimpinan dalam muktamar bulan Jun ini akan menentukan sama ada PAS bergerak ke depan atau berundur ke belakang, menjadi parti politik moden yang inklusif atau menjadi parti yang tertutup, iaitu kembali berlegar di kampung halaman sendiri saja dengan melayani emosi dan terus bernostalgia. Semuanya terserah kepada para perwakilan menentukan.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.