Home » » Husam perlu untuk menerima pencalonan sebagai presiden PAS

Husam perlu untuk menerima pencalonan sebagai presiden PAS

Oleh Muammar Qaddafi

Naib Presiden PAS  Datuk Husam Musa dilaporkan masih berdilema mengenai keputusan beberapa
kawasan yang mencalonkan beliau sebagai presiden PAS yang sekali gus meletakkan dirinya sebagai pencabar kepada presiden sedia ada, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Husam, beliau perlu memikirkan perasaan anggota parti yang mencalonkan beliau sebelum memberi kata putus (sama ada menerima atau menolak pencalonan itu).

Kita percaya walaupun Husam menerima banyak sokongan terutama dari pemimpin dan anggota PAS yang beraliran profesional, namun wujud tekanan dari pimpinan yang beraliran konservatif yang tidak mahu Hadi dicabar.
Sebelum ini, Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata beliau masih belum menemui “orang yang layak” untuk mengantikan Hadi sebagai Presiden PAS namun menurut beliau lagi, oleh kerana PAS mengamalkan dasar demokrasi, maka kita benarkan sesiapa bertanding (jawatan presiden).

Dilihat dari sudut yang positif, jawapan Husam sebenarnya punya maksud yang baik buat penyokong penyokong beliau kerana buat kali pertamanya, beliau memberi respon sedemikian kerana sebelum muktamar kali ini pun,beliau sudah berkali kali dicalonkan untuk jawatan presiden namun beliau menolak dari awal dan menyatakan “kesetiaan” beliau kepada Hadi sebagai presiden.

Sebenarnya, Husam perlu sedar yang perlu lebih beliau utamakan adalah derita rakyat berbanding ‘dilema’ yang beliau hadapi, rakyat percaya, sekiranya berlakunya peralihan terhadap jawatan presiden dalam PAS, hubungan antara Pakatan Rakyat akan boleh diperbaiki sekaligus menjadikan fokus Pakatan Rakyat kembali kepada menurunkan Umno Barisan Nasional sebagai kerajaan dan mengambil alih pentadbiran negara.

Ya,mungkin perjuangan hudud PAS terpaksa ditangguhkan demi tujuan itu namun pimpinan dalam PAS perlu sedar, derita rakyat hari ini bukanlah berpunca dari ketiadaan hukum hudud, ataupun pemimpinnya bukan dalam kalangan ulama, sebaliknya derita rakyat dan umat Islam seluruhnya hari ini adalah kerana kita diperintah oleh kerajaan yang rasuah dan salah guna kuasa, lalu memberi kesan kepada  rakyat dan negara samada dari sudut ekonomi mahupun sosial.

Untuk selesaikan derita rakyat, bukan hanya dengan menggunakan istilah retorik agama sebaliknya perlu berusaha untuk mewujudkan pemerintahan tanpa rasuah,tanpa wang rakyat diseleweng,tanpa kezaliman dan utamakan kebajikan rakyat dengan menghapuskan cukai yang membebankan, dan pada masa yang sama mewujudkan peluang peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat agar ekonomi rakyat boleh dipertingkatkan,pengganguran dapat dikurangkan sekaligus menurunkan kadar jenayah dalam negara.

Diulang-ulang seribu kali untuk menegakkan undang undang Islam, diulang-ulang untuk menghukum menurut Islam,tanpa masyarakat faham dan dalam keadaan masyarakat yang hidup dalam kemiskinan, parti islam itu akan gagal untuk membawa mesej islam itu sebagai rahmat kepada alam.

Harus canangkan bahawa jika Islam menang,hak hak rakyat dijaga oleh syariah, negara tanpa rasuah dan penyelewengan barulah masyarakat dapat menilai islam sebagai agama yang lebih dari sekadar menghukum pesalah.

Menangguhkan perjuangan PAS dalam melaksanakan hudud bukanlah bermaksud mengabaikan syariat islam kerana umat Islam kena jelas syariat Islam itu bukan sekadar hudud, sebaliknya merangkumi setiap  tatacara kehidupan termasuklah  persoalan pentadbiran, hubungan luar,pengurusan ekonomi, hubungan dengan bukan Islam dan banyak lagi.

Setiap satu darinya harus diperjuangkan berdasarkan keadaan setempat.
Kesimpulannya Husam perlu untuk menerima pencalonan sebagai presiden PAS, bukan hanya untuk menghormati anggota dan kawasan yang mencalonkan beliau,bahkan untuk mempastikan harapan rakyat kepada Pakatan untuk memerintah Malaysia dan mewujudkan sebuah negara yang lebih baik, dapat dicapai.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.