Home » » Surat terbuka kepada presiden PAS

Surat terbuka kepada presiden PAS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Datuk Seri;

Rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965


Perkara di atas adalah dirujuk di mana saya adalah seorang ahli seumur hidup Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bernombor keahlian 0922968. Saya ingin bertanyakan dan mendapatkan penjelasan daripada Datuk Seri berkaitan beberapa persoalan yang timbul daripada tindakan Datuk Seri memasukkan usul ke Dewan Rakyat untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUUP) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa jenayah) 1965 pada 19 MAC 2015 yang lalu.

Saya memohon Datuk Seri menjelaskan perkara-perkara berikut :-

a) Siapakah yang menyediakan Rang Undang-Undang Persendirian tersebut ?

Untuk makluman Datuk Seri, setelah dikaji dengan teliti RUUP tersebut, saya merasakan jelas terdapat beberapa kesalahan yang begitu ketara yang amat tidak wajar dilakukan dan boleh menyebabkan RUUP tersebut ditolak begitu sahaja apabila dibacakan dan dibahaskan.

Kesalahan pertama :

Cadangan untuk meminda Seksyen 2 Akta Ibu kepada Seksyen 2 yang baru iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Senarai 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Untuk makluman Datuk Seri, Senarai 1 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah Senarai Persekutuan bukan Senarai Negeri seperti yang disebutkan di dalam cadangan tersebut.
Kesalahan kedua :

Cadangan memasukkan Seksyen 2A seperti berikut :

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, sesuai dengan kehendak syariah Islam.”

Di dalam cadangan pindaan Seksyen 2A yang diusulkan Datuk Seri, dicadangkan supaya Mahkamah Syariah diberikan kuasa menjatuhkan hukuman sesuai dengan kehendak syariah Islam. Apabila Datuk Seri mencadangkan Mahkamah Syariah dibenarkan menjatuhkan hukuman sesuai dengan kehendak syariah Islam, maka Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa untuk menghukum bunuh bagi kesalahan hudud murtad dan hukuman qisas, menghukum potong tangan bagi kesalahan hudud mencuri, rejam bagi kesalahan zina kepada pesalah yang sudah berkahwin dan juga hukuman sebat 100 sebatan bagi kesalahan zina yang bukan berkahwin.

Perkara 1 Senarai II Jadual Kesembilan membenarkan Badan Perundangan Negeri (DUN) menggubal perundangan yang melibatkan pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Perkara 4 Senarai I Jadual Kesembilan iaitu Senarai Persekutuan menyatakan, hanya Persekutuan yang boleh mentadbir perihal perundangan berkaitan Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan. Ini menjelaskan kuasa membicarakan perkara-perkara membabitkan jenayah adalah di bawah kuasa Persekutuan yang dilaksanakan melalui perundangan Persekutuan seperti Kanun Keseksaan.

Apa sahaja kesalahan yang diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan tidak boleh dibicarakan di mahkamah lain selain mahkamah yang di bawah Persekutuan. Maka kesalahan mencuri, merompak, rogol, bunuh tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah dan jika ada perundangan sedemikian, ianya adalah ultra-vires dengan Perlembagaan dan terbatal mengikut Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Maka apabila Datuk Seri membuat usul memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang sesuai mengikut syariah yang termasuk hukuman bunuh, potong tangan dan sebatan, maka ianya jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan hendaklah terbatal.

Apabila cadangan meminda Akta itu akan menyebabkan Akta tersebut bercanggah dengan Perlembagaan, ianya tidak perlu dibahaskan dan perlu ditolak di peringkat awal lagi.

Untuk makluman Datuk Seri, saya bertanyakan kepada Ahli Jawatankuasa Teknikal Bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, siapakah yang menyediakan Rang Undang-Undang Persendirian ini dan dimaklumkan mereka tiada maklumat.

Saya juga bertanya kepada Hanipa Maiden, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat siapa yang menyediakan Rang Undang-Undang ini dan jawapannya juga tiada maklumat.

Justeru saya memohon Datuk Seri mendedahkan siapakah yang bertanggungjawab menyediakan Rang Undang-Undang Persendirian ini.

b) Kenapa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 dibawa Datuk Seri melalui Rang Undang-Undang Persendirian .?

Saya dimaklumkan di dalam Seminar Hudud Peguam PAS yang diadakan pada 11 April 2015 Jawatankuasa Teknikal Bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bersetuju mengikut “road map” Jawatankuasa Teknikal, pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 ini akan dibawa Kerajaan Pusat.

Kenapa Datuk Seri pula yang membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta tersebut?

c) Kenapa Rang Undang-Undang Persendirian ini dimasukkan secara tergesa-gesa?
Saya juga mendapat maklum semasa Seminar Hudud Peguam Pas, RUUP ini dihantar serah kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Whip Parlimen PAS.

Hanipa semasa ditanya di dalam Seminar tersebut memaklumkan, PAS Pusat tidak tahu RUUP ini dimasukkan. Begitu juga daripada laporan-laporan akhbar menyatakan, timbalan presiden malah setiausaha Agung juga tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Lebih memeranjatkan ialah apabila Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Datuk Hj Mahfuz Omar yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat juga tidak tahu mengenai perkara tersebut sedangkan kebiasaannya setiap apa yang hendak dilakukan setiap Ahli Parlimen PAS perlu melalui Ketua Whip Ahli Parlimen Pas.

Justeru saya memohon penjelasan Datuk Seri, kenapa perkara tersebut berlaku. Kenapa perlu dilakukan secara tergesa-gesa sehingga Jawatankuasa PAS Pusat dan Whip Ahli Parlimen PAS juga tidak dimaklumkan. Kenapa Datuk Seri membelakangkan organisasi dan bertindak secara bersendiri?

Saya rasa cukup setakat ini dulu dan insyaAllah saya akan memberikan respon lanjut sekiranya persoalan-persoalan di atas dijawab dengan lapang dada dan hati terbuka Datuk Seri.

Sesungguhnya saya sebagai ahli biasa PAS amat mengharapkan penjelasan daripada Datuk Seri kerana isu RUUP ini adalah isu penting yang menimbulkan pelbagai persepsi negatif kepada parti secara keseluruhannya.

Saya memohon maaf jika surat ini mengganggu Datuk Seri yang padat dengan jadual program-program rasmi parti.
Sekian.

Zulhazmi Shariff

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.