Oleh KHALID SAMAD
Semenjak berita berhubung mesyuarat agung tahunan
PAS Kawasan Shah Alam tersebar di alam maya, ramai telah menghubungi
saya untuk mendapatkan penjelasan mengenai proses pemilihan pi
mpinan
pusat yang telah berlaku
Mereka hairan dengan keputusan
pencalonan Presiden di mana TGHH telah dipilih tetapi dengan majoriti
hanya 6 undi. Mereka yang berhubung dan bertanya boleh dikatakan
berakhlak berbanding dengan yang tidak berhubung untuk bertanya tetapi
tetap menyerang saya mengenainya!
Bermacam macam andaian telah
dikemukakan dalam alam maya mengenainya dan hampir kesemuanya adalah
tidak benar. Kadang-kadang saya rasakan mereka yang berani membuat
andaian dan menyebar luas andaian-andaian ini, tanpa mengetahui hujung
pangkal, bagaikan manusia yang tidak takut pada dosa. Walaupun nama
mereka disangkutkan gelaran ‘ustaz’ di depannya.
Itulah bezanya
di antara orang berilmu dan orang yang menghayati ilmunya. Sekadar tahu
dosa memfitnah, tidak bererti tidak menaburkan fitnah. Kerana mereka
sekadar tahu, tetapi tidak menghayatinya. Jauh berbeza sifat mereka
dengan golongan ustaz tahun 80an yang menyebabkan saya tertarik untuk
menyertai PAS.
STATUS SAYA DAN PAS KAWASAN SHAH ALAM
Pada mulanya, perlu saya sebutkan, saya tidak lagi merupakan YDP PAS
Kawasan Shah Alam. Pada pemilihan 2013 saya tidak bertanding kerana saya
telah menjawat jawatan YDP Shah Alam sejak 1997, iaitu selama 16 tahun!
Sudah tiba masa saya beri laluan kepada mereka yang telah saya pimpin
selama ini untuk mengambil alih.
Pada 2011, jawatan kuasa PAS
Kawasan dianggotai 3 mantan Ketua Pemuda Kawasan. Giliran mereka pula
untuk menggalas cabaran sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam. Lagi pun saya
telah dipilih kembali sebagai AJK PAS Pusat pada tahun 2011 setelah
meninggalkan PAS Pusat pada 1993. Saya telah huraikan sebelum ini dengan
lanjut di dalam tulisan saya yang bertajuk YDP Shah Alam: Mengapa Tidak
Dipertahankan?
Saya pernah mengisi jawatan AJK PAS Pusat pada
1987 hingga 1993. Saya tidak bertanding pada pemilihan 1993 atas sebab
ingin memberi tumpuan kepada anak saya yang OKU dan prestasi syarikat
kejuruteraan milik saya yang agak merudum kerana tiada tumpuan. Tetapi
itu cerita lain yang akan saya ceritakan pada satu masa kelak, bukan
sekarang.
Maka sejak 2013, setelah saya tidak lagi memikul
amanah sebagai YDP PAS Kawasan Shah Alam, saya hanya hadir mesyuarat
bulanan PAS Kawasan atas tiket ex-officio selaku Ahli Parlimen Shah
Alam. Ada kalanya saya hadir dan banyak juga ketikanya saya tidak. Oleh
itu saya tidak begitu mengambil tahu apa yang berlaku menjelang
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam tahun ini.
Semasa
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam, saya telah dijemput hadir
sebagai salah seorang VIP. Saya hadir untuk program perasmiannya dan
telah meninggalkan dewan di IDCC Shah Alam selepas itu. Saya bukan
perwakilan. Saya tidak hadir semasa agenda pemilihan/pencalonan pimpinan
Pusat diadakan dan keputusannya memeranjatkan saya sepertimana ianya
memeranjatkan ramai di seluruh Negara.
SAYA MERANCANG MENJATUHKAN DS PRESIDEN?
Ada yang menuduh saya merancang untuk menjatuhkan DS Presiden dan
perancangan saya telah berjaya digagalkan. Kalau saya ingin merancang
sesuatu dalam pemilihan AJK PAS Pusat pada muktamar akan datang,
tidakkah dilihat pelik bahawa saya melepaskan jawatan sebagai YDP PAS
Kawasan?
Biasanya yang ingin merancang sesuatu ‘pengambil alihan
kuasa’ akan tentukan dirinya berjawatan sepertimana juga rakan-rakan
dan penyokong-penyokongnya. Ini kita lihat sedang diusahakan oleh
beberapa orang tertentu yang menyusun strategi di peringkat cawangan dan
Kawasan.
Alhamdulillah saya tidak seperti mereka.
Maka
selepas selesainya mesyuarat agung tahunan PAS Kawasan Shah Alam dan
diketahui keputusan pencalonannya, saya telah bertemu dengan beberapa
perwakilan veteran dan bertanya mereka mengenai pilihan yang mereka
buat. Apabila diberitahu mereka menyokong pencalonan Ustaz Ahmad Awang
dan tidak TGHH, saya bertanya kepada mereka mengapa?
Di sini
saya kemukakan jawapan mereka kepada soalan saya dan penghujjahan balas
saya. Perbualan saya seperti di bawah adalah secara ringkasan dan bukan
secara verbatim.
Tuan-tuan pembaca yang budiman sekalian, nilaikan sendiri.
PERBUALAN ANTARA SAYA DAN SALAH SEORANG VETERAN PAS DI SHAH ALAM
KS: Salaam Tuan Haji. Tuan Haji calonkan siapa? TGHH atau Ahmad Awang?
Tuan Haji: Saya calonkan Ahmad Awang.
KS: Kenapa tidak dicadangkan sahaja TGHH sebagai Presiden? Tidakkah
Tuan Haji iktiraf ketokohannya beliau sebagai seorang ulama’ bertaraf
dunia?
Tuan Haji: Saya akui ketokohannya sebagai ulama’ bertaraf
dunia tetapi jawatan Presiden bukan memerlukan seorang yang fakeh.
Fakeh adalah keperluan untuk jawatan MSU khususnya mursyidul ‘am.
Jawatan Presiden memerlukan seorang yang pakar dalam bidang strategi dan
perlaksanaan, tajam bacaan politik. Oleh itu saya lebih setuju TGHH
menjadi Mursyidul ‘Am dan Ust Ahmad Awang sebagai Presiden.
KS:
Eh, kenapa pula? TGHH juga mempunyai kepakaran dalam soal strategi dan
perlaksanaan. Lagi pun, TGHH lebih berpengalaman berbanding Ust Ahmad
Awang. Di mana kegagalan TGHH mengikut pandangan Tuan Haji?
Tuan
Haji: Kebelakangan ini saya lihat banyak kelemahan TGHH dari sudut
kepimpinannya sebagai seorang Presiden. Ini ingin ditutup oleh golongan
asatizah tertentu dengan dijaja konsep wala’. Saya orang lama, YB. Tidak
payahlah cuba menipu saya dengan menutup kelemahan melalui pendekatan
sebegitu. Dulu tiada pun dijaja konsep wala’ sebegini, tetapi semua ahli
bersatu dan berdisiplin menyokong Presiden.
KS: Apa dia sebenarnya kelemahan TGHH yang Tuan Haji maksudkan?
Tuan Haji: Perbalahan dalaman PAS. Perbalahan dalaman PR. Ini semua
hasil dari ketidak berkesanan kepimpinan TGHH. YB sendiri tahu kan, PAS
bagaikan berpecah dua dengan budaya fitnah memfitnah, label melabel.
TGHH tidak dilihat membuat apa-apa. Seolah-olahnya TGHH mahukan
perpecahan berlaku. Malang sangatlah kalau TGHH dipengaruhi si Zuhdi tu.
Pemimpin mesti mampu menyatukan ahli-ahli di bawah kepimpinannya, bukan
redha supaya ahli berpecah macam sikap Zuhdi. Di sini saya berani
sebut, kalau zaman Almarhum Ust Fadhil, sudah pasti beliau akan
bertindak memintas perpecahan ini dan menyatukan kembali; dan itulah
bukti kepimpinan bagi saya.
KS: Ya lah Tuan Haji, tetapi itu
bukan mudah. Ahli-ahli PAS pun bukan semua ikut sahaja arahan TGHH.
Sudah lama TGHH minta agar diberhentikan kerja fitnah dan melabel ini,
tetapi ada ahli yang tidak mahu ikut.
Tuan Haji: Ya ke TGHH
suruh berhenti? Tak dengar pun. Yang saya nampak kerja ini dibuat oleh
asatizah muda, datang ke Surau pun depa masih tabur fitnah. YB pun kena!
Malu saya dengan orang UMNO yang ada di Surau bersama. Tersengih sahaja
mereka, mendengar kata-kata para ustaz ini. Sepatutnya TGHH sedar apa
yang sedang berlaku di peringkat akar umbi dan menangani masalah ini
sebelum menjadi parah seperti sekarang.
KS: Tidak mengapalah Tuan Haji. Jika benar mereka fitnah saya, pahala bagi saya. Maka tidak patut disalahkan TGHH pula.
Tuan Haji: Saya tidak kata TGHH yang buat atau suruh buat. Saya sebut TGHH tidak berkesan dalam menangani masalah ini.
KS: Oklah Haji. Selain tu? Yang Tuan Haji sebut bab PR. Takkan mahu TGHH ikut sahaja kehendak PKR dan DAP?
Tuan Haji: Dalam soal PR, TGHH bagi saya telah tersilap langkah semasa
isu MB Selangor. Saya tidak faham mengapa TGHH sanggup pertahankan TSKI
habis-habisan. Sehingga sanggup memberi kesempatan untuk UMNO memasuki
perbalahan itu dan turut memberi sokongan tanpa syarat kepada TSKI. Dan
untuk beberapa hari, PAS dan UMNO bersama dengan TSKI. Mahu jadi seperti
senario 1 si Zuhdi kah? Bertegang kita dengan PR kerana TSKI! Apa punya
strategi ini? Sepatutnya kukuhkan PR tetapi tidak. TSKI tu pun bukan
bagus mana. Dulu pun PAS Selangor pun sudah minta tukar.
TGHH
tidak hadir mesyuarat majlis Presiden, tidak dengar penjelasan dari DAP
dan PKR, tetapi boleh batalkan keputusan dan persetujuan bersama begitu
sahaja. Susah kalau bersikap sebegini. Mahu ikut kehendaknya semata-mata
tanpa mendengar penjelasan dari 9 wakil PAS yang hadir apabila
keputusan dibuat. Maaf YB, bagi saya, terbayang-bayang cara Dato’ Asri.
Oleh kerana kita sudah dalam satu Pakatan, walau pun kapal asing-asing,
perlu koordinasi supaya tidak belaga di tengah laut. Lebih-lebih lagi
pada waktu malam dan laut bergelora. Tidak boleh buat ikut suka.
Pentingkan syura. Inilah sifat kepimpinan yang baik. Saya tidak nampak
TGHH berbuat sedemikian.
Dan malang lagi ianya berakhir dengan
TGHH mengkritik secara terbuka DSWA. Orang kritik TGHH kita marah. Tapi
TGHH kritik DSWA sebegitu rupa kita boleh terima? Maaflah YB. Sebenarnya
ramai sependapat macam saya tetapi apa boleh kata, ‘terpaksa’ wala’?
Kalau tidak akan dikutuk.
KS: Alaa Tuan Haji, perkara begitu,
biasalah. Dalam perkahwinan pun suami isteri bergaduh. Apa perpatah
Melayu...“sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri”.
Tuan Haji: Huh, awak ni asyik bela TGHH sahaja. Tetapi saya tahu, YB
pun boleh nampak kelemahan yang sama. YB kena lebih berani bercakap
benar. Adakah YB boleh terima ungkapan “barua dan broker” yang
dilemparkan kepada ahli dan pimpinan PAS lain? Saya minta maaf lagi,
saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak
ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula. Bila saya balik dari
muktamar, kawan saya dari UMNO tanya saya, kamu ni barua ke broker?
Geramnya saya. Ni yang membuatkan saya lebih tidak yakin TGHH inginkan
masalah dalaman PAS diselesaikan dengan baik. Malahan dia sendiri
puncanya dengan kata-kata begitu.
KS: Ok lah Tuan Haji, cukuplah
dengan isu TGHH. Yang Ust Ahmad Awang pula bagaimana? Kenapa Tuan Haji
anggap beliau mampu membawa kepimpinan yang lebih berkesan?
Tuan
Haji: Dia menyelamatkan PAS semasa PRU 2008 dahulu. Kalau tidak kerana
ketegasan Ust Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan UMNO
di Perak untuk membentuk kerajaan. Dia mampu menyatu padukan ahli dan
PAS bersama PR. Kita patut berikan dia peluang.
KS: Tapi Tuan
Haji, tu cerita lama. Tidak bererti TGHH bersetuju untuk membenarkan PAS
bersama UMNO pada ketika itu. Tidak boleh lah Tuan mengandaikan bahawa
TGHH bersetuju penyatuan UMNO dan PAS. TGHH dah sebut berkali-kali ianya
tidak boleh.
Tuan Haji: Tidak apalah YB, mesyuarat agung
tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS
perlukan Presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi,
pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.
Tapi yang lebih
penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang Presiden mesti bersedia
untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap ‘berdosa’ menyanggah
pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya
tersilap. Ini bila kita sudah hilang Terengganu dan Kedah, tetapi tiada
yang sanggup mengakui kelemahan yang menyebabkan kekalahan itu. Semua
mahu disalahkan orang lain. Kalau kata, “oh, kita pun tersilap,
sepatutnya Presiden buat ini dan itu”, kita akan diserang bagaikan
melakukan dosa besar!
Saya lihat ada para ustaz yang beranggapan
kita kena pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahan Nabi
(SAW). Ini tidak betul!
Ini seolah sudah seperti mendewa-dewakan
pemimpin. Perumpamaan yang digunakan adalah silap dan salah. Kalau ya
pun, biarlah kita katakan kita perlu pertahankan Presiden sepertimana
para sahabat pertahankan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali (Radhi
Allahu anhum). Itu pun dah lebih dari yang patut. Mereka siapa, kita
siapa? YB tahukan, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali tetap ditegur dan
dikritik dan berhujjah untuk pertahankan tindakan mereka. Bukan sekadar
dijaja dengan wala’ semata.
Macam seperti perang terhadap
golongan murtaddiin, Abu Bakar bukan sekadar kata “perang” dan semua
ikut. Tidak. Berhujjah dan berbahas sehingga Abu Bakar bacakan ayat 5
dan 11 surah At-Taubah baru sahabat lain akur. Kerana ada dalil dan nas,
bukan sekadar wala’ sahaja.
Kes Umar dengan Jubahnya pun begitu
masyhur. Kes Uthman dan pengkritiknya yang begitu ramai yang mengkritik
perlantikan ahli keluarganya ke jawatan penting. Semua ditanganinya
dengan cara sebaik mungkin, berhujjah dan menjelaskan. Termasuk juga
kisah Ali dengan Muawiyyah serta golongan Khawarij. Semua terpaksa
ditangani dengan berhujjah. Bukan dituduh tidak wala’ dan khianat dan
sebagainya.
Dan inilah suasana dan pemikiran yang wujud di
kalangan golongan lama di Shah Alam. Yang muda-muda memang mudah untuk
menerima konsep wala’ tetapi veteran yang sudah lama dalam PAS tidak
begitu. Mereka menganggap ianya hak mereka untuk memilih Presiden dan
menukar Presiden sekiranya tidak puas hati dengan prestasinya. Veteran
sebegini bukan mudah sesiapa ‘peralatkan’, termasuk saya.
Konsep
kepimpinan Ulama’ bagi mereka tercapai dengan pembentukan MSU yang
memantau perjalanan PAS supaya tidak menyeleweng dari dasar Islamnya.
Presiden tidak semestinya seorang ulama’ tetapi semestinya berilmu dan
kommitted dengan perjuangan Islam serta bijak berstrategi dan menyusun
gerak kerja politik untuk mencapai matlamat parti.
Maka, DS
Presiden sebagai seorang ulama tersohor semestinya mempunyai kelebihan
dan di atas sebab itulah beliau telah dipilih oleh perwakilan pada
setiap muktamar tahun demi tahun. Oleh itu, saya memohon agar mereka
yang menuduh saya ingin menjatuhkan DS Presiden agar tidak menuduh
sebarangan tetapi membantu saya menjawab golongan seperti Tuan Haji ini
dengan hujjah balas dan bukan sekadar meminta beliau agar terus wala’.
WaLlahu 'Alam
http://www.khalidsamad.com/
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment