Home » » Husam tolak pencalonan presiden, timbalan dan pertahan jawatan naib presiden

Husam tolak pencalonan presiden, timbalan dan pertahan jawatan naib presiden

Oleh Husam Musa

Saya telah menerima pencalonan untuk pelbagai jawatan bagi Muktamar PAS yang akan berlangsung
Jun nanti.

Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua kawasan yang terlibat yang telah memberikan kepercayaan dan harapan yang begitu tinggi kepada saya, termasuk untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Saya memahami hasrat dan keprihatinan mereka, terutama terhadap hala tuju perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dalam konteks Malaysia bagi dekad-dekad akan datang.

Dengan memohon berbanyak maaf kepada semua kawasan dan ahli yang meletakkan harapan besar itu, saya hanya berhasrat menerima pencalonan jawatan Naib Presiden PAS yang saya sandang sekarang.

Saya fahami pergolakan yang berlaku di dalam PAS sekarang.

Selaku generasi yang dilahirkan oleh Kepimpinan Ulama' pada hari pertamanya iaitu Muktamar 1982 dan terpesona dengan gagasan Mengulama'kan Profesional dan Memprofesionalkan Ulama', saya tetap percaya tonggak kepimpinan PAS adalah Kepimpinan Ulama'.

Kepimpinan Ulama' yang soleh, mukhlisin dan muttaqin yang menjadi teraju utama digandingkan dengan semua amilin yang lain dalam ikatan semangat syura, ukhuwah dan saling lengkap melengkapi.

Pada masa yang sama, memandu parti secara berhati-hati dari terperangkap dengan tipu daya politik pihak lawan dalam semua keadaan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Perlembagaan PAS Fasal 5 Tujuan PAS ialah :(1) Memperjuangakan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum menuju keredhaan Allah. (2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Apa yang telah dicapai oleh perjuangan PAS pada hari ini adalah kesinambungan dari pendekatan, strategi dan kaedah yang telah diputuskan oleh pendahulu kita secara syura pada semua peringkat.

Roadmap Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dan pendekatan PAS For All bagi memenangi hati masyarakat bukan Islam umpamanya adalah diputuskan oleh jamaah peringkat demi peringkat dan bukan lahir hanya oleh keputusan mana-mana individu.

Jika matlamat itu difikirkan tidak syar'ie, jamaah perlu membuat keputusan yang baru dan tidak boleh mana-mana pihak dalam jamaah mengambil sikap untuk menidakkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

Politik Islam yang mengatasi sempadan kaum sehingga membuahkan kepercayaan penyokong bukan tradisi adalah sebahagian dari buah kejayaan dalam rangka jangka panjang dakwah dan siasah Islami. Ia kejayaan dan keberkatan dari apa yang telah disyurakan sebelum ini.

Dengan bertawakkal kepada Allah, saya menerima pencalonan sebagai Naib Presiden PAS.

Sekian, terima kasih.
Husam Musa
11:30 am
29 Rejab 1436
18 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.