Home » » Hentikan tindakan melabel, membeza antara ahli PAS

Hentikan tindakan melabel, membeza antara ahli PAS

Oleh AZIZ MUDA 


KUALA LUMPUR: Hentikan tindakan label melabel, beza membezakan antara sesama ahli PAS serta jangan ambil maklumat tepi jalan dan mudah percaya pada hantu-hantu di laman sosial yang tidak dikenali kerana tindakan itu telah membuka pintu kepada musuh memporak perandakan parti.

Sebaliknya, ruang tersebut perlu ditutup rapat dan semua ahli PAS di semua peringkat wajib memikul amanah dalam menjaga rahsia jemaah, di samping sentiasa ingat bahawa Allah melihat setiap perbuatan kita, termasuklah maklumat yang kita sebarkan.

Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap ahli PAS perlu bersama-sama perteguhkan saf dan ukhuwah antara ahli-ahli parti serta thiqah kepada kepimpinan parti.

Menurut beliau, setiap ahli parti perlu berusaha memulihkan dan menambahbaikkan segera ekosistem PAS sebagai rumah yang semua ahli berasa selesa untuk bergerak dalam satu suara dan tindakan tanpa buruk wasangka.

Katanya, di dalam politik, PAS wajib bersikap tegas dengan dasar parti dan bersifat anjal dengan strategi dan pendekatannya, manakala pendekatan itu juga akan menjadi teras sikap parti dalam kerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan musuh bersama iaitu Umno-BN di peluang terbaik pada PRU14 nanti.

“Namun begitu, matlamat tidak menghalalkan cara. Kita boleh berunding,  berbeza pandangan dengan rakan mahupun lawan tapi kita tidak akan melayan sebarang desakan untuk mengorbankan cita-cita dan dasar perjuangan parti selama ini iaitu Islam,” katanya dalam kenyataannya 15 Mei lalu.

Sesungguhnya, menurut Ustaz Tuan Ibrahim, muafakat membawa berkat sebagaimana yang ditonjolkan di PRK Rompin dan Permatang Pauh dan di kedua-dua PRK itu, kita telah menunjukkan secara tidak sedar bahawa perbezaan antara kita bukan penghalang bagi ketiga-tiga komponen parti untuk terus bekerjasama.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, setiap komponen parti wajib saling menghormati dan tidak mencabuli hak setiap parti untuk memperjuangkan dasar parti masing- masing di luar medan Pakatan Rakyat yang tidak termasuk dalam Dasar Bersama.

Dalam kenyataannya itu, Ustaz Tuan Ibrahim menyatakan beliau amat terharu dan menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan beliau untuk bertanding di Muktamar Pemilihan Jun ini.

Setelah meneliti jumlah pencalonan yang diterima dan demi merai PAS kawasan yang mencalonkannya, beliau akur dan dengan rendah diri menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS ke-61.

“Atas dokongan kalian, saya bersedia menggalas amanah yang berat ini bersama- sama kalian sekiranya diberi peluang oleh perwakilan di Muktamar PAS ke-61 untuk membawa PAS ke persada yang lebih tinggi.

“Muktamar adalah medan menentukan hala tuju parti. Tapi sebelum itu, kita perlu bermuhasabah diri dan jujur terhadap masalah yang sedang dihadapi parti.

Kita perlu tahu di mana kita berada, sebelum kita dapat menentukan hala tuju kita seterusnya, sebagaimana kita perlu sedar matlamat kehidupan dan perjuangan kita dalam PAS,” ujarnya.
PAS hari ini, menurut beliau, semakin membesar dan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS mencapai zaman kegemilangannya dan tidak berhenti berkembang sehingga kita berjaya meningkatkan keahlian lebih sejuta ahli.

Beliau menegaskan, namun begitu, PAS mesti meneruskan usaha memenangi hati rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, kawan dan lawan dengan istiqamah kita dalam perjuangan.
“Sikap Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang berjaya menawan hati semua lapisan rakyat Malaysia dengan sikap tegas dan tidak berganjak beliau dengan Islam, tetapi lembut daripada sudut pendekatan dan dakwahnya perlu kita ikuti.

“Jangan melenting apabila ada mereka berbicara Islam dengan cara yang salah kerana ia adalah ruang dakwah untuk kita menerangkan perkara yang betul dan tepat,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, setiap ahli parti harus menerima hakikat bahawa PAS juga berdepan dengan masalah dalaman dan sekiranya ia tidak dapat ditangani dengan baik, ia akan mengakibatkan perpecahan dan melemahkan parti.

“Sebagai pendukung jamaah Islam, mari kita perkasakan akidah perjuangan yang menjadi teras dalam perjuangan PAS. Tanpa kemantapan akidah, perjalanan jamaah kita akan tergelincir dari landasan sebenar. Kekuatan jemaah berdiri atas wehdatul (kesatuan) fikr dan wehdatul amal. Amal Lillah – Amal kerana Allah,” katanya.

Kepada yang akan bertanding di Muktamar PAS ke-61 nanti, beliau mengharapkan agar kesemua mereka yang terbabit memelihara akhlak jamaah, memelihara ukhuwah dan jangan melampau dalam keghairahan untuk memenangi apa juga jawatan.

“Kita hanya berlumbalumba dalam melakukan kebaikan dan kita sedar semua kita mesti berusaha perteguhkan jamaah sehingga Allah mengurniakan kemenangan di dunia dalam pilihanraya. Tapi itu bukan yang terpenting kerana yang dihajatkan kita ialah kemenangan sewaktu kita semua bertemu dengan Allah nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam kenyataannya sebelum ini turut memaklumkan penerimaan pencalonan ke atasnya untuk jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS ke-61 Jun nanti.

Dalam kenyataannya itu, Mohamad Sabu berkata, beliau amat terharu dan menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan beliau untuk bertanding di Muktamar Pemilihan Jun ini dan dengan rendah diri menerima pencalonan tersebut.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.