Home » » Jagalah adab dan akhlak kita!

Jagalah adab dan akhlak kita!

Oleh Adib Azman

Saya ingat sewaktu zaman sekolah dahulu, saya rajin membaca akhbar Utusan Melayu kerana saya suka membaca ruangan wacana dan tulisan penulis mingguan, saya belajar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu saya melalui membaca akhbar tersebut.

Saya masih ingat, kalau PAS menganjurkan muktamar, Utusan Melayu juga akan menyiarkan berita dan ulasan tetapi hanya dalam satu muka atau dua muka, itu sahaja. Di atas artikel logo PAS secara kecil, di bawahnya dimuatkan ulasan dan tulisan wartawan yang mengikuti sidang muktamar. Mudah kata masyarakat dahulu kurang memberi perhatian kepada muktamar PAS walaupun ia disiarkan oleh akhbar perdana.

Tetapi berbeza dengan muktamar kali ini, semua pihak baik yang tidak terlibat dengan PAS apatah lagi para amilin memerhati dengan cermat setiap perkara apatah lagi pertentangan yang sedang berlaku dalam pemilihan kali ini.

Ditambah pula dengan ledakan teknologi, orang yang duduk sejauh kota London pun boleh mengetahui isu pemilihan muktamar PAS kali ini. Kewujudan dua blok yang digembar-gemburkan kini semakin nyata dan kelihatan. Adab dan akhlak berjemaah juga semakin pudar apatah lagi mereka yang "darah muda" seperti saya juga turut hanyut terbuai bercakaran antara satu sama lain. Slogan “Ruhama” yang dilaungkan oleh Pemuda Pusat juga dilanggar.

Sangat sedih dan sayang sekali. Malah ada yang menjadi golongan mubarriun (berlepas diri) mencontohi tindakan para sahabat yang berlepas diri sewaktu pertembungan kelompok Sayidina Ali dan Sayidina Al Zubair, Sayidina Muawiyah dan Sayidatina Aisyah.

Pertembungan kelompok sahabat ini akhirnya menjadi episod luka umat Islam melahirkan golongan Syiah dan Sunni. Hidup dalam permusuhan dan kesedihan. Seharusnya pertembungan para sahabat pada zaman lampau menjadi pengajaran kepada mereka yang terlalu ketara bercakaran pada hari ini.
Semua orang ingin bercakap tentang PAS dan kepimpinannya, tapi sebelum pergi lebih jauh hendaklah kita kembali kepada firman Allah di dalam Surah An Nisa' ayat 58 dan ayat 59.

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat".

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Amanah dan jawatan merupakan satu tanggungjawab yang berat di dunia. Ia bukanlah satu kemegahan dan kemuliaan yang dapat digunakan untuk mengumpul harta kekayaan dan kemewahan hidup, tetapi ia menjadi wasilah atau cara untuk seseorang memberikan khidmat dan bantuan dalam membangunkan masyarakat dan agama.

Kerana itulah Hujjatul Islam Imam Al Ghazali menyebut, "Iqamatud din wa siyasatud dunya bihi" yang bermaksud, "bangunkanlah agama dan tadbirlah dunia dengannya".

Malah dalam ayat 59 Surah An Nisa, Allah sedia memberi tuntunan kepada orang-orang yang beriman iaitu seandainya berlaku pertentangan dan masalah dalam kalangan mereka, maka kembalilah kepada petunjuk kitab Allah (al-Quran) dan sunnah baginda Rasulullah.
Secara sepintas lalu, Allah memberi pelajaran kepada kita supaya beradab, tenang dan berakhlak dalam menghadapi sesebuah kemelut atau kekusutan dalam melaksanakan urusan hidup, apatah lagi urusan pentadbiran umat Islam.

Alangkah baiknya seandainya pihak yang bertelagah hari ini sehingga hilang adab dan akhlak dalam berjemaah menilai semula tindakan mereka pada hari ini, adakah ia selari dengan petunjuk al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah yang menyuruh mereka kembali kepada akhlak Islam dalam menangani kemelut.

Tidak ada makna memakai serban dan berjubah, tidak ada makna bertaraf profesional tetapi pantas tangan dan mulut melancarkan serangan dan permainan saraf yang mengundang pandangan jelik para amilin jemaah dan mereka yang menyokong perjuangan Islam.

Di manakah hilangnya akhlak dan adab kita dalam berbeza pendapat? Di manakah kefahaman aqidah yang dilumat selumat-lumatnya dalam pengisian usrah dan liqa sebagai teras perjuangan diletakkan? Adakah intima' kita sekadar syakhsi atau aqdi?
Tepuk dada tanya iman. –

* Penulis Pemuda PAS Kawasan Subang.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.