Home » » Pertembungan ulama dan profesional bakal selesai dalam muktamar nanti.

Pertembungan ulama dan profesional bakal selesai dalam muktamar nanti.

Oleh Abdul Rahim Sabri

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, ulama dalam parti itu mendapat penghormatan
tinggi di kalangan ahli kerana menunjukkan akhlak yang baik, bukannya disebabkan latar dan kelulusan pengajian agama yang pernah diikuti.

Merujuk kepada dua nama pemimpin tertinggi PAS iaitu allahyarham Yusof Rawa, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Fadzil Noor (kanan), Mohamad berkata "tidak kena" jika ada anggota parti menilai seseorang ulama dalam parti berkenaan berdasarkan latar belakang pengajian agama semata-mata.

Bagi Mohamad, status ulama seseorang itu terhasil daripada ilmu, amal dan akhlaknya.

"Kenapa Nik Aziz dihormati? Kerana akhlaknya. Antara akhlaknya yang disegani, apabila mendapat kuasa, beliau kekal hidup amat sederhana bahkan dia menolak hak-hak yang sepatutnya diterima.

"Ertinya beliau buat apa yang beliau cakap. Maka timbulah penghormatan kepada beliau. begitu (juga) orang bukan Islam menghormati Nik Aziz," katanya.

Balik 'mengaji' mahu diiktiraf

Mengenai Fadzil, Mohamad berkata, sehingga akhir hayat ahli politik kelahiran Kedah itu, beliau gigih berjuang menegakkan kebenaran, hak asasi manusia dan menentang akta polis yang mengharam rapat umum.

"Dan penghormatan kepadanya begitu tinggi. Inilah kita minta, siapa nak jadi ulama (dalam PAS) mesti berakhlak begitu, bukan berdasarkan kelulusan. Kamu balik dari pengajian agama, maka hendak diiktiraf ulama? Tak kena," katanya kepada Malaysiakini.

PAS akan mengadakan muktamar tahunannya di Kuala Selangor pada bulan depan.

Muktamar kali ini memperlihatkan perpecahan ketara sesama ahli PAS apabila berlaku pertembungan dua kumpulan - proulama dan profesional - membabitkan semua peringkat.

Jawatan presiden sendiri menampakkan pertandingan apabila bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Ahmad Awang mengesahkan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad pula bakal berdepan sekurang-kurangnya seorang pencabar untuk jawatan timbalan presiden, iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad berkata beliau mahu ulama seumpama seperti Fadzil dan Nik Aziz ditonjolkan dalam PAS walaupun wujud kecenderungan anggota PAS menilai ulama dalam parti itu berdasarkan latar belakang pengajian mereka semata-mata.

Ulama PAS berakhir dalam Umno

Menurut beliau yang mesra dengan panggilan Abang Mat itu, pujian terhadap tokoh PAS yang telah meninggal dunia dibuat kerana "orang yang hidup kita tak tahu berakhirnya di mana."

Malah, katanya, ramai ulama dalam PAS berakhir dalam Umno.

"Mereka keras melawan Umno dan meletakkan mereka diri seolah-oleh ulama tapi akhirnya menjadi penentang kepada PAS dan menjadi petugas-petugas Umno," katanya.

Enggan meramalkan sama ada kumpulan proulama atau profesional bakal menguasai PAS dalam pemilihan parti bulan depan, Mohamad yakin PAS memerlukan gabungan kedua-dua kumpulan ini yang dianggapnya sebagai pendokong dasar Islam.

Katanya, perkara itu bukan satu perkara baru memandangkan sebelum ini kedua-dua kumpulan berkenaan pernah bergandingan sewaktu pentadbiran beberapa orang presiden PAS yang berkelulusan profesional.

"Saya yakin PAS sentiasa ada gabungan ini, dari penubuhan sampai sekarang. Gabungan ini tetap ada, dan diperlukan untuk masa akan datang," katanya.

Menurutnya lagi, isu pertembungan antara kumpulan proulama dan profesional juga disebabkan mainan media yang mempunyai kaitan dengan Umno untuk memecah-belahkan perpaduan dalam parti.

"Sebab mereka tahu bahawa kalau PAS terus kuat dan bersama Pakatan Rakyat. Umno akan tumbang pilihan raya akan datang. Kalau nak menang, pecahkan Pakatan dan salah satunya (caranya ialah) pecahkan ulama dengan profesional dalam PAS.

"Dalam hal pemilihan PAS, mereka cenderung puak mana menang? Saya yakin Umno bukan sokong ulama pun, tapi mereka nak memecah-belah perpaduan supaya BN kekal menang. Cuma ada di kalangan kita terperangkap dengan permainan musuh ini," katanya.

Mohamad juga optimis kemelut dalam PAS termasuk isu pertembungan ulama dan profesional bakal selesai dalam muktamar nanti.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.