Home » » Ahmad Awang menarik perhatian

Ahmad Awang menarik perhatian

Oleh Abdul Shukur Harun

Nama bekas Naib Presiden PAS dan Ahli Majlis Syura Ulama, Ahmad Awang muncul kembali dan s
emakin menarik perhatian ramai akhir-akhir ini sejak ia mendapat beberapa pencalonan daripada pelbagai kawasan untuk bertanding sebagai calon presiden di Muktamar Tahunan PAS pada Jun depan.

Beliau menjadi berita dan fokus utama media sejak akhir-akhir ini, sementara tulisan beliau di pelbagai media menjadi perhatian bahkan diperkatakan oleh pelbagai pihak pada ketika PAS menghadapi krisis berat sekarang ini.

Pandangan dan wawasannya dilihat sangat menarik, terbuka dan memandang jauh ke depan. Yang juga sangat penting diperhatikan di sini, ialah beliau dilihat sebagai tokoh yang sangat dihormati oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) dan mampu memperbaiki kedudukan PAS dalam pakatan yang kini semakin renggang.

Semuanya memberikan gambaran tokoh ulama yang sangat pro PR ini mempunyai kemampuan untuk menangani dan menyelesaikan krisis yang dihadapi PAS sekarang ini.Bagi pemerhati politik di luar, malah di dalam PAS sendiri, Ahmad dengan ilmu dan pengalamannya yang panjang di dalam PAS, wajar diberikan peluang untuk memimpin PAS bagi memulihkan kembali imej PAS, iaitu menepati slogan “PAS For All”, serta membaiki hubungan PAS dengan parti komponen PR.

Bukan itu saja, kata mereka, bahkan boleh memimpin PAS menghadapi cabaran masa depan, di samping membawa PAS berperanan kembali dengan berkesan dalam PR. Ini kerana pemimpin komponen PR sangat menghormati pandangan tokoh ulama itu.

Yang Dipertua PAS Bukit Gelugor Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga AJK PAS Pusat, mengingat kembali ketegasan Ahmad ketika memulakan inisiatif membentuk kerajaan PR di Perak pada 2008, walaupun pada masa itu Umno mengajak PAS membentuk kerajaan perpaduan dengan PAS.

Atas ketokohan Ahmad dan jasanya maka tokoh ini dinamakan sebagai calon residen dalam Muktamar PAS akan datang, kata Mujahid.

Mujahid berkata, sikap Ahmad yang tegas untuk memenuhi aspirasi rakyat yang menolak Barisan Nasional (BN) amat dihargai oleh ahli PAS.

PAS Bukit Gelugor menjadi kawasan ketiga selepas Parit Sulong dan Jelebu di Negeri Sembilan mencalonkan Ahmad sebagai presiden. Mungkin juga selepas ini Ahmad akan menerima lagi pencalonan sebagai presiden dalam mesyuarat agung kawasan yang sedang rancak diadakan di seluruh negara sekarang ini.

Menurut Mujahid, Ahmad juga terkenal di peringkat antarabangsa di mana beliau sering kali menyertai seminar peringkat antara bangsa dan dihormati kerana ilmunya. Katanya, tokoh ulama ini boleh menjadi aspirasi PR lebih mendalam dan mampu menjalin hubungan yang baik dan berprinsip dengan PKR dan DAP.

Katanya, tokoh ini pernah menyandang jawatan naib presiden dan ahli Majlis Syura PAS, serta pernah mentadbir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Mujahid, dengan ilmu dan pengalaman luas Ahmad dalam pentadbiran maka tokoh ini mempunyai kemampuan membawa pencalonan kami diharapkan dapat melonjakkan PAS ke hadapan,” Bukit Gelugor juga mencalonkan Mohamad Sabu bagi mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden, manakala Mujahid sendiri bersama Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub dicalonkan untuk naib presiden, dalam mesyuarat dalam mesyuarat kawasan PAS Bukit Gelugor minggu lalu.

Sementara itu, wujud kebimbangan di kalangan pendukung PAS mengenai proses pemilihan parti menjelang Muktamar PAS Jun ini yang kini diketahui dicemari kempen kotor dan gejala tidak sihat, malah ia didakwa bukanlah perkara baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS,Asmuni Awi sendiri berkata, kempen kotor dalam pemilihan parti itu bukan lagi rahsia, namun di sebalik pengakuan itu beliau tidak menolak kemungkinan ia didalangi pihak luar yang ingin mengambil kesempatan.

Kata Asmuni, label melabel sesama ahli PAS memang sudah lama berlaku, bukan ketika pemilihan kali ini saja, malah sebelum pemilihan pun ini sudah berlaku.

“Ada individu dan kumpulan dilabel liberal, menolak hudud dan pelbagai lagi.

Kelmarin, Ahmad mengakui sukar untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden walaupun beliau mendapat pencalonan minimum seperti disyaratkan perlembagaan parti itu.

Pagi tiga hari yang lalu, ketika menjengah keluar dari kediamannya di sebuah kondominium di Gombak beliau melihat beberapa kain rentang diletakkan di tepi pagar kediamannya itu yang berbunyi, ‘Ahmad Awang, tolong jaga akhlak’. Beliau menggelengkan kepala, tetapi dengan tenang berkata, “Saya maafkan mereka.”

Ahmad yang pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah Pusat Islam dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia antara 1981 hingga 1999 berkata, pemilihan jawatan dalam PAS kali ini dicemari kempen kotor dan amalan berat sebelah.

Antara tokoh yang dikaitkan sebagai mangsa kempen kotor sebelum ini ialah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Ir. Nizar Jamaluddin, yang kalah dalam perebutan jawatan Yang Dipertua Kawasan Kampar.

Dalam hal ini, Asmuni yang juga seorang peguam berkata, apa yang didedahkan Ahmad itu memang ada kebenarannya.

Katanya, antara tokoh dalam PAS yang menjadi mangsa kempen kotor itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang pernah dituduh mahu menjatuhkan kepimpinan ulama dua tahun lalu. Tidak ketinggalan, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dan Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli.

Asmuni menambah, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengatasi amalan kempen kotor itu dan berjanji akan mengambil tindakan tegas jika ada bukti kukuh mengenainya.

“Kalau melibatkan ahli, tindakan yang boleh diambil ialah membawa mereka ke lembaga disiplin parti. Jika calon sendiri terbabit, mereka mungkin boleh digugurkan daripada bertanding,” katanya.

Mengenai risalah memburuk-burukkan Nizar yang beredar di Kampar dan tempat lain, kononnya Nizar sebagai “tali barut DAP”, Asmuni berkata, hal itu tidak patut berlaku di dalam PAS kerana perbuatan itu bukan akhlak Islam.

Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati, katanya, mereka boleh berdebat atau memberi penerangan, bukannya menyebarkan risalah seolah-olah membaling batu sembunyi tangan.

Minggu lalu, Ahmad menegaskan krisis yang berlaku di dalam PAS adalah besar, bukan krisis kecil saja. Oleh itu, katanya, pimpinan PAS perlu segera berbincang dan bertindak pantas untuk mengatasi krisis berat ini.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.