Oleh Dinsman
Seolah-olah ia berlaku dalam sekelip mata. Sungguh memeranjatkan. Suatu perancangan
yang rapi
dan sangat efisien. Sesuatu yang tidak pernah diasosiasikan
dengan gerakan Islam yang didominasi oleh golongan ulama dan diketuai
juga oleh tokoh ulama.
Seolah-olah dalam sekelip mata
cepatnya, tetapi tidaklah sekelip mata begitu - hanya untuk
menggambarkan betapa cepatnya perubahan itu berlaku. Tiba-tiba saja,
dan ia sudah merebak ke seluruhnya. Menunjukkan sebenarnya ia bukanlah
satu perubahan yang baru terjadi secara tiba-tiba. Ia sebenarnya
terjadi dengan cukup terancang. Belum pernah ia terjadi demikian dalam
sejarah gerakan Islam yang kita kenal di negara ini.
Dan mereka
mulai menyingkirkan golongan yang bukan ulama. Secara terang-terangan,
secara agresif, melalui kempen yang diperhebat di seluruh negara. Tiga
tahun lalu golongan ulama dan bukan ulama itu saling bergandingan
bantu-membantu dalam satu sinergi yang sangat harmoni, dan serentak itu
juga menarik golongan bukan Islam untuk turut serta membantu ke arah
kemenangan tokoh-tokoh pimpinan Islam - ulama mahupun bukan ulama.
Kini segala-galanya sudah berubah. Tepatnya setelah
berpindahnya Tok Guru Nik Aziz ke alam baqa, 12 Februari yang lalu.
Rupa-rupanya mereka memang menunggu-nunggu saat itu, kerana selama ini
adanya Nik Aziz itulah yang menghalang mereka daripada menzahirkan
perancangan mereka itu.
Rupa-rupanya mereka memang sudah lama
bergerak ke arah itu. Kalau kita masih ingat lagi langkah-langkah
sumbang yang diusahakan oleh Hassan Ali dan Nasharuddin Md Isa itu.
Kalau kita masih ingat lagi muktamar khas yang dipanggil Nik Aziz bagi
membincangkan khusus isu tersebut.
Tentunya kita masih ingat
episod sumbang dalam sejarah gerakan Islam di negara kita itu. Dan Nik
Azizlah yang menjadi benteng mempertahankan kesucian Islam di dalam
parti yang dikatakan dan dikenali sebagai parti Islam di negara kita
itu.
Kini, ketiadaan Nik Aziz seorang - menyebabkan
segala-galanya dalam pertubuhan "gerakan dakwah dan siasah" yang
bernama PAS itu berubah, dan berubah dengan begitu drastik dan agresif
sekali.
Belum pernah ada hal yang demikian itu dalam sejarah agama
mahupun politik di negara kita.
Saya katakan "segala-galanya"
dalam gerakan yang bernama PAS itu berubah. Maksudnya ialah teras
perjuangannya yang sangat penting, yang juga menjadi daya tarik utama
mengapa golongan profesional dan bukan ulama serta bukan Islam, menjadi
tertarik untuk menyertai atau menyokong PAS.
Soalnya ialah
mengapa? Maksudnya mengapa golongan ulama itu tiba-tiba menjadi benci
sangat kepada mereka yang bukan ulama, yang menjadi pemimpin peringkat
pertengahan dan malah pemimpin nombor dua dan nombor tiga di dalam
parti itu? Apakah kesalahan besar yang dilakukan tokoh pimpinan bukan
ulama (tetapi) yang menerima kepemimpinan ulama dalam parti itu, hingga
mereka perlu dan mesti disingkirkan?
Tidak pernah ada
peristiwa yang menunjukkan tokoh pimpinan bukan ulama, ataupun
mana-mana golongan bukan ulama dalam parti itu, menentang atau menolak
dasar dan prinsip "kepemimpinan ulama". Tidak pernah ada. Jadi apakah
masalahnya? Dan apakah salahnya mereka?
Nampaknya tidak ada
apa-apa salah mereka dan tidak ada apa-apa masalah pun. Kecuali satu!
Ya, kecuali tokoh pimpinan golongan ulama itu hendak memilih untuk
berpakat dengan Umno, dan berpisah dengan rakan dalam Pakatan Rakyat
(PR), iaitu PKR dan DAP. Itu sajalah sebabnya.
Sudah beberapa
kali mereka berusaha ke arah melaksanakan apa yang dipanggil Unity
Government atau dikenali dengan sebutan UG itu. Sudah lama, dan sudah
melalui 2 atau 3 muktamar tahunan yang menegaskan PAS tetap akan
bersama dengan PR, dan jangan ada lagi cakap-cakap mengenai Unity
Government.
Tetapi sekejap saja. Mereka hanya bersandiwara.
Secara diam-diam, "di belakang tabir", mereka terus menjalankan kempen
mereka itu, tanpa mempedulikan keputusan dan arahan daripada muktamar
tahunan berkenaan.
Dan secara diam-diam juga berlaku usaha
memperkukuhkan hubungan mereka sesama golongan ulama, dan mereka yang
taksub (walak) dengan pimpinan ulama. Tak mengapa walaupun mereka
sendiri bukan ulama, asalkan walak'. Maka terdapatlah pemimpin
peringkat pertengahan yang tiba-tiba sahaja bertukar uniform bertukar
wajah menjadi ulama, sedangkan sebelumnya dia bukan ulama pun, dan tak
ada latar belakang pendidikan agama yang melayakkan dia jadi ulama.
Yang penting ialah walak.
Istilah walak pun - sebelum ini tidak
pernah ia dijaja seperti sekarang dan setahun dua ini. Sekarang walak
selalu benar disebut - seperti suatu istilah yang menjadi ciri utama
yang ditekankan Islam dalam adab berjemaah.
Memang walak
penting dalam adab berjemaah. Tetapi ia bukanlah sampai menjadi alat
untuk mengekang jemaah daripada bersuara atau menyuarakan pandangan
yang berbeza, hingga menimbulkan suasana kediktatoran dalam kepimpinan.
Ada semacam 'ancaman' dan 'ugutan' kepada ahli supaya memberikan taat
setia yang tak berbelah bagi walau apa pun. Sampai ke peringkat mereka
sanggup menganjurkan demonstrasi bagi menyatakan sokongan tak berbelah
bagi itu, sambil membuat pelbagai tuduhan jahat bagi menjahatkan pihak
dan individu pemimpin tertentu, yang dikatakan tidak walak kepada
presiden.
Mengapa hal walak ini tidak pernah menjadi isu pada
zaman kepemimpinan Ustaz Fadzil Nor Nik Aziz? Mengapa pada zaman Datuk
Seri Abdul Hadi Awang walak menjadi isu penting? Ini perlu difikirkan!
Dan sehubungan dengan itu juga, hasil wujudnya golongan ulama dan
bukan ulama itu, yang ditimbulkan golongan ulama (bukan ditimbulkan
golongan bukan ulama), maka tersebarlah pula dengan meluasnya fenomena
kata-mengata, umpat-mengumpat, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah secara
berleluasa, di kalangan ahli parti. Dan ini sesuatu yang sangat pelik,
kerana ia sangat bertentangan dengan asas dan dasar perjuangan Pas
sendiri.
Kempen inisiatif golongan ulama muda di dalam parti
itu menjadi suatu proses yang mahu mengeluarkan sebahagian daripada
ahli partinya, termasuk beberapa pemimpin penting yang banyak berjasa
kepada jemaah. Apakah tujuannya itu? Yang saya nampak tujuannya ialah
supaya hanya orang golongan mereka saja yang berpeluang menjadi
pemimpin, dan seterusnya berpeluang menikmati kuasa dan pelbagai nikmat
kuasa itu, apabila menang nanti.
Apakah pandangan dan rumusan
saya ini salah? Saya harap begitulah. Biarlah pandangan saya ini
salah. Agar parti Islam yang pernah menjadi harapan saya dan ramai
kawan saya itu masih mempunyai masa depannya yang cerah.
Namun, buat saat ini, hanya fikiran seperti di atas itulah yang dapat
saya fikirkan. Ini adalah satu fenomena yang pelik, yang barangkali ia
bukan inisiatif dalaman parti Islam itu sendiri. Ya, melihat pada cara
dan proses ia berlaku, dengan begitu rapi terancang dan efisien, saya
tidak percaya ia hanya kisah dan urusan dalaman saja.
Saya fikir ada cerita lain lagi di sebalik fenomena yang sangat pelik ini.
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment