Home » » Tukar Presiden agar menyelesaikan masalah ini?

Tukar Presiden agar menyelesaikan masalah ini?

1. Saya tidak percaya dengan dakwaan bahawa Presiden PAS TG Hj Abdul Hadi (TGHH) mahu membawa PAS untuk bersama dengan Umno. Itu dakwaan karut, dan itu bukan sikap TGHH yang saya tahu.

2. Saya percaya Umno juga tidak mahu PAS bersamanya. Pemimpin Umno yang cerdik tidak akan menerima PAS untuk bersamanya. Ia akan menyusahkan Umno dan akan lebih membawa masalah kepada Umno. Dua parti Melayu yang telah bertembung begitu lama dan punya sejarah lampau yang pahit tidak mampu untuk bersatu. Kalaupun bersatu, tempohnya tidak lama, pasti akan berseteru semula. Ini telah dibuktikan dengan hubungan Pas dan S46. Hayatnya tidak sampaipun dua penggal pilihanraya.

3. Retorik penyatuan PAS dan Umno atas premis "Melayu-Islam" adalah retorik kosong yang tidak berdiri di atas realiti politik yang sebenar. Ianya cuma mitos sekadar untuk menjadi halwa telinga.
4. Tetapi, realiti politik negara juga telah acapkali membuktikan bahawa tidak ada parti politik yang boleh menguasai lanskap politik negara secara bersendirian. Tidak Umno. Tidak MCA. Tidak MIC.

Apatah lagi PAS, atau PKR, atau DAP. Ini adalah satu kebenaran. Menolak kebenaran yang nyata adalah sikap tolol. Maka itu, semua parti perlu berkoalisi. Perikatan / BN adalah koalisi politik yang telah menguasai politik negara begiti lama, dan telah membina hegemoni politik yang sukar dirobek.

5. Banyak masalah yang berlaku dalam pentadbiran negara hari ini adalah disebabkan hegemoni ini.

6. Bagi mencabar hegemoni inilah, maka parti-parti pembangkang membentuk koalisi politik dan ternyata ianya sudah ada tanda-tanda kejayaan. Ini pastinya membimbangkan BN.

7. Kebimbangan BN bukan kepada kekuatan PAS, atau pengaruh PKR, atau penguasaan DAP.

Kebimbangan BN ialah kepada koalisi politik yang berupaya mencabar hegemoni politik yang begitu lama telah dibina. Tanpa koalisi ini, sekuat manapun PAS, sehebat manapun PKR, sebisa manapun DAP, hegemoni politik BN akan tetap utuh dan tidak boleh digugat.

8. Koalisi politik penting. Tetapi ia tidak mudah diurus.

9. Mengurus koalisi politik memerlukan kemahiran dan keupayaan komunikasi yang baik. Ianya tidak sama dengan mengurus komunikasi dalaman parti. Apapun, kegagalan mengurus koalisi dengan baik, akan juga menjejas keutuhan dalaman parti, dan kegagalan mengurus komunikasi dalaman parti dengan baik, boleh juga menjejaskan hubungan dalam koalisi politik.

10. Kelemahan besar TGHH adalah berkenaan keupayaan komunikasinya. Beliau tidak begitu berjaya untuk berkomunikasi dengan baik dan berkesan dalam banyak isu, samada yang melibatkan isu dalam parti, isu yang melibatkan koalisi politik, mahupun isu politik nasional.

11. Kelemahan ini, walaupun kritikal sepatutnya mudah diatasi sekiranya pegawai-pegawai yang beliau lantik bagi membantu dan menasihatinya dapat memainkan peranan yang baik. Tetapi, itu juga tidak berlaku. Ini amat malang.

12. Kelemahan komunikasi akan menyebabkan mesej yang dibawa bercelaru, halatuju menjadi kabur, dan organisasi jadi hilang fokus. Inilah yang sedang berlaku di dalam PAS.

13. Mungkin ada yang berhujah, apakah dengan menukar Presiden agar menyelesaikan masalah ini? Jawabnya mungkin ya dan mungkin tidak. Tetapi, mencuba adalah lebih baik dari membiarkan keadaan menjadi lebih buruk.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.