Home » » Politik PAS tampak kian sumbang

Politik PAS tampak kian sumbang

Oleh Syukri Razab

Tulisan ini dibuat dalam keadaan saya amat menghormati presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai seorang tokoh ulama yang sangat besar jasanya kepada perkembangan Islam di Malaysia. Apa juga yang dicetuskan dalam tulisan ini hanyalah sebagai ikhtisar atau idea ringkas yang terbuka untuk dikritik balas.

PAS selalu hadir sebagai talian hayat kepada kekecewaan rakyat. Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim disumbat ke dalam penjara dalam kes Liwat I, PAS  dikemudi presidennya yang luar biasa sewaktu itu menjadi nahkoda memikul kemarahan rakyat. Kemarahan rakyat terhadap rejim Tun Dr Mahathir Mohamad dilorongkan dalam bentuk perjuangan yang tersusun.

Malah bukan lagi rahsia kewujudan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini adalah hasil kerja tangan Almarhum Tuan Guru Fadzil Noor yang menjadi presiden PAS ketika itu. Di waktu ramai kalut mencari haluan baru selepas hilang percaya terhadap Barisan Nasional khususnya Umno, maka beliau mengolah Keadilan sebagai platform baru bagi menghimpunkan rasa tidak puas hati terhadap rejim zalim.

Ritma semakin sumbang

Namun sejak akhir-akhir ini ritma politik PAS tampak sumbang. PAS yang suatu ketika dahulu menjadi sandaran perubahan, tak lagi membangkitkan keghairahan rakyat dalam perlawanan menentang rejim BN. Tamsilannya, dalam isu seperti krisis politik Selangor dan Hudud, PAS dilihat mengasing diri bahkan semakin merapat dengan Umno.

Bagi saya, krisis yang berlaku dalam PAS hari ini bukan sekadar tergantung kepada kegagalan PAS mengurus isu, tetapi persoalan lebih besar yang perlu ditekuni ialah mengapa kegagalan itu berlaku. Mengapa PAS yang suatu ketika dahulu menjadi jalan keluar kepada kebuntuan politik, tapi hari ini sering menjadi faktor yang menyulitkan keadaan. PAS seperti hilang perpektif menyebabkan berlakunya masalah-masalah internal dan eksternal yang gagal diurus.

PAS seperti hilang perspektif

Samaada isu hudud, krisis politik Selangor atau isu-isu lain saya kira hanyalah ranting kepada punca kelemahan yang tidak diubat dalam PAS. PAS seperti, samada lupa, atau kehilangan perspektif.

Bagaimana saya boleh katakan sedemikian?. Lihat sahaja bagaimana kepimpinan PAS tidak lagi tampil dengan idea-idea baru seperti yang pernah berlaku dahulu. Dokumen Negara Berkebajikan kini senyap, hilang entah ke mana.

Saya kira, tema Negara Berkebajikan itu merupakan terjemahan bagi memudahkan masyarakat memahami paradigma Islamisasi yang tersisip kemas dalam agenda perjuangan PAS. Inilah gagasan besar yang mendorong terbentuknya kerjasama-kerjasama politik. Gagasan yang seterusnya menyonsong tema PAS for All, lahirnya Dewan Himpunan Penyokong PAS, dan wujudnya Dokumen Negara Berkebajikan. Gagasan ini menuntut PAS menggarap segenap sinergi untuk membersihkan politik negara daripada terus dikotorkan rejim BN.

PAS dengan tema PAS For All berjaya memimpin gagasan ini sehingga seluruh masyarakat berkongsi paradigma yang sama. Sehinggakan mana-mana perhimpunan aman akan terasa lesu tanpa kehadiran tokoh-tokoh PAS, bersama mobilisasi ahli PAS yang ramai.

Maka seperti sudah tradisi, presiden PAS semestinya dilihat sebagai seorang tokoh yang hebat, dan dianggap presiden kepada semua. Mungkin atas dasar inilah semua orang sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap presiden PAS.

Tetapi hari ini ceriteranya berbeza. Sebenarnya ramai mengharapkan suara presiden PAS lebih garang berbanding pemimpin lain dalam menentang undang-undang zalim yang diluluskan kerajaan BN.

Banyak juga pihak yang mengharapkan presiden PAS memimpin protes besar-besaran menentang cukai zalim GST, seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor memimpin kebangkitan rakyat dalam arus reformasi. Tetapi presiden PAS seolah-olah terkepung dalam kumpulan tertentu dan tidak lagi menjadi presiden untuk semua.

Keretakan ukhwah dibiar berlarutan

Lihat juga bagaimana pergeseran ukhuwah yang berlaku dalam kalangan kepimpinan dan ahli PAS sehingga jelas kelihatan blok-blok perpecahan. Sangat menghairankan bagaimana keretakan ini boleh dibiar berlarutan tanpa ada langkah penyelesaian yang konklusif. Saya tidak bercakap soal khilaf yang biasa-biasa, yang semestinya menjadi lumrah mana-mana organisasi.

Tetapi perbezaan yang diakibatkan dikotomi "ulama vs bukan ulama' yang seterusnya menatijahkan wujudnya laman-laman sosial pengadu domba, sikap label-melabel sesama pimpinan, bahkan sehingga berlaku kejadian yang tidak terjangkau dek akal walaupun ada pihak yang menganggapnya provokasi pihak ke tiga.

Saya mencari-cari juga jika ada seruan atau nasihat presiden PAS kepada semua ahli PAS agar kembali merapatkan saf perjuangan berikutan silaturrahim yang semakin terungkai dewasa ini. Jika ada pun, bukan daripada presiden PAS. Tetapi daripada Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang menasihatkan agar semua ahli PAS tidak percaya kepada laman sosial pengadu domba.

Apa juga matlamat yang ingin dicapai suatu organisasi mestilah bermula dengan kesatuan seluruh organisasi. Apatah lagi PAS merupakan gerakan yang meletakkan Islam sebagai matlamat, maka "wahdah" atau kesatuan ahli gerakan merupakan perkara fundamental yang tidak boleh diabaikan. Memetik pesan Ibnu Taimiyyah “Berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak berpecah adalah salah satu perkara yang paling penting dalam Islam”.

Saya sering terfikir, apakah yang menghalang untuk presiden PAS menjadi orang tengah dan membuat pertemuan mahabbah bagi menyatukan semula perbezaan yang wujud?. Apakah yang menyebabkan terlalu susah untuk presiden PAS menjadi orang tengah dan membuat ijtimak (perhimpunan) bagi menyelesaikan kekeliruan dalam semangat kekeluargaan?.

Cukuplah perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan blok tertentu yang dijadikan medan untuk menghentam blok lain. Jika dahulu, Ijtimak dan Usrah akan menjadi medan pertemuan ahli PAS dalam semangat kekeluargaan. Tetapi hari ini Ijtimak dan Usrah menjadi prakarsa untuk satu kelompok men"syaitan’kan kelompok yang lain.

Krisis ukhwah yang berlaku dalam PAS ini perlukan penyelesaian tuntas, bukannya langkah-langkah picisan yang hanya mengheret masalah menjadi lebih parah.

Tahalluf siyasi tidak bernilai lagi untuk PAS

Jika dahulu, di celah persepsi kurang enak ahli PAS terhadap DAP yang dianggap menentang hukum Hudud, maka di celah itu jugalah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunjungi Mendiang Karpal Singh dan menyambut hari lahir Pengerusi DAP Kebangsaan itu di rumah beliau di Jelutong, Pulau Penang. Lantas mendiamkan mulut-mulut yang cuba menggugat kesatuan Pakatan Rakyat. Sedangkan umum mengetahui betapa konsistennya pendirian kedua-dua tokoh ini yang berbeza dalam isu hudud.

Terus terang saya katakan, terkadang kita juga jelek melihat sikap DAP yang sangat keras terhadap PAS. Dengan meminjam istilah yang digunakan Setiausaha Agung PAS, ramai juga pemimpin DAP yang mulutnya "ceret beret". Tetapi saya tidak berminat langsung untuk menghujahkan bagaimana sepatutnya DAP.

Tetapi saya sebagai anak muda yang mengikuti dengan rapat perkembangan PAS, lebih berminat untuk berbincang mengenai bagaimana sepatutnya PAS?. Seperti kata ahli falsafah barat Alexander Meiklejohn, “Kita tidak boleh menentukan apa yang orang lain akan cakap, tapi kita sangat boleh menentukan apa yang ingin kita cakapkan”.

Silakan untuk berbeza pandangan. Bahkan perbezaan itu menampakkan betapa suburkan ruang demokrasi dalam PR. Tetapi yang lebih penting ialah, apa tindakan selepas perbezaan?. Saya yakin, inilah perspektif Nik Aziz yang membuatkan beliau mempamerkan uslub yang sangat lunak sesama rakan PR. Bak kata seorang penulis Indonesia, "kita bukan kalah, tetapi mengakomodasi pihak lain untuk sebuah kejayaan yang paripurna”.

Saya ternanti-nanti pertemuan mahabbah antara presiden PAS dengan pemimpin komponen PR yang lain. Tidak apalah kalau presiden PAS tidak dapat memberi komitmen terhadap mesyuarat pimpinan PR atas faktor masa dan kesihatan, tetapi saya pasti ada masa-masa lain yang boleh digunakan untuk presiden PAS mendampingi rakan-rakan pimpinan PKR dan DAP. Pertemuan yang akan memperlihatkan perspektif presiden PAS yang mahu melaksanakan cita-cita perubahan, disamping konsisten dengan cita-cita hudud.

Tetapi, pertemuan untuk mendamaikan PR juga masih tidak berlaku. Mungkin kali ini, Lim Kit Siang yang perlu menziarahi presiden PAS, dan menyambut hari lahir presiden PAS di Pondok beliau di Rusila, Terengganu.

Ber’muktamar’lah untuk seluruh rakyat Malaysia

Apa juga yang terhasil daripada Muktamar PAS kali ini diharap akan membawa kesan yang positif khususnya kepada PAS dan seluruh rakyat Malaysia. Terpikul di atas jemala kepimpinan PAS bukan sekadar harapan ahli PAS, tetapi harapan seluruh rakyat Malaysia yang mengimpikan perubahan berlaku di Malaysia.

Sekiranya PAS kuat, itu bermakna PR akan terus kuat. Rakyat hampir hilang semangat untuk meneruskan agenda reformasi politik Malaysia apabila melihat PR terus tenggelam dalam kemelut. Moga Muktamar PAS ke 61 ini akan menjadi wasilah untuk memulihkan semula semangat rakyat yang kian hilang ini. Sekian, terima kasih - .themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.