Home » » Profesional dan ulama tidak 'berperang', hanya berbeza pendapat

Profesional dan ulama tidak 'berperang', hanya berbeza pendapat

KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan serta pendapat yang berlaku dalam PAS tidak harus
dianggap kedua-dua aliran dalam parti itu iaitu ulama dan profesional sedang 'berperang', kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan ini berkata perbezaan pandangan yang timbul walaupun kadang-kadang kelihatan 'tegang' namun kedua-dua aliran itu terbuka menerima teguran dan kritikan.
"Pada pandangan saya ia bukan soal ulama dan profesional tapi lebih kepada perbezaan pandangan.
"Soal perbezaan pandangan sebab kalau nak kata profesional lawan ulama, Ahmad Awang itu bukan profesional," katanya kepada Antarapos.
Beliau menambah pandangan yang berbeza itu tidak menimbulkan konflik dalaman parti sehingga boleh memberikan salah faham dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
"Cuma pandangan saya jawatan nombor satu dan nombor dua ini sepatutnya kena ulamalah.
"Sebab ia jawatan tertinggi parti, ada pun jawatan-jawatan lain itu boleh campurlah daripada pelbagai latar belakang," katanya.
Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 awal bulan depan dijangka bakal menyaksikan pertembungan menarik golongan ulama dan profesional susulan pelbagai pergolakan yang berlaku dalam parti itu.
Pemilihan PAS kali ini semakin hangat kerana jawatan Presiden bakal menyaksikan pertandingan buat
pertama kali dalam sejarah parti Islam itu.
Antara isu yang dijangka akan dibangkitkan oleh para perwakilan termasuklah isu hudud, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat dan juga kerjasama dengan DAP.
Selain itu, isu Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang menjadi duri dalam daging juga bakal menjadi isu panas yang akan hangat diperdebatkan.
Semua ahli PAS adalah ulama
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Pasir Puteh Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata tiada istilah ulama atau profesional sambil menganggap semua ahli dan pimpinan parti itu merupakan ulama.
"Saya rasa semua ulama, tidak ada perlawanan di antara mana-mana golongan.
"Semua ulama kerana kalau bukan ulama dia tak layak untuk bertanding dan kalau dia bertanding pun dia kalah awal-awal lagilah," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Puteh ini turut berharap pemilihan kali ini berlangsung dengan baik tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.
"Saya harap pertandingan sihatlah, persaingan persahabatan seperti adik-beradik dan menerimalah keputusan majoriti nanti," katanya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.