Home » » Biar pasukan Hadi kemudi PAS

Biar pasukan Hadi kemudi PAS

OLEH ZULKIFLI SULONG

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mendapat pasukan beliau sepenuhnya dalam pemilihan PAS

malam tadi dan pihak yang kalah dicadangkan supaya menolak tawaran jawatan lantikan, kata seorang perwakilan.

Shazni Munir Mohd Ithnin, perwakilan dari Sekijang berkata ini untuk memberikan peluang kepada Hadi dan pasukannya untuk menentukan hala tuju PAS.

"Kita berharap pemimpin yang kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima sebarang pelantikan," kata Shazni yang juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Sekijang.


Bekas pemimpin mahasiswa itu berkata, barisan pimpinan yang terpilih membayangkan semua yang tidak senang dengan cara Hadi memimpin PAS disingkirkan. Apa yang berlaku dalam pemilihan semalam seperti disebut Hadi ketika memberikan ucapan penutup Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat tahun lalu.

"Jika nak jadi imam juga, cari tanah sendiri, buat masjid sendiri dan jadi iman sendiri," kata Hadi ketika memberikan amaran kepada pengkritiknya.

Kini, apa yang dikehendaki presiden PAS itu menjadi realiti. Mereka yang dilihat tidak bersamanya disingkirkan malam tadi.

Hanya seorang saja daripada senarai pasukan profesional progresif kekal dalam pemilihan kali ini iaitu Mazlan Aliman.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof yang turut kalah dalam pemilihan semalam berkata beliau masih belum pasti akan menerima atau tidak jika ada ditawarkan untuk apa-apa jawatan.

"Saya bimbang kalau-kalau ada tawaran, itu hanya amalan PR saja. Saya nampak besar kemungkinan tidak akan ada tawaran untuk saya.

"Jika ditawarkan jawatan, saya akan berfikir sama ada untuk menerima atau tidak kerana yang menang hari ini adalah atas kehendak pihak tertentu.

"Ini kerana, ketika saya dan kawan-kawan difitnah, apa yang dikesali adalah, pemimpin tertinggi hanya diam seolah-olah mengiakannya," kata Mujahid kepada The Malaysian Insider ketika ditanya apakah beliau akan menyertai semula pasukan pimpinan PAS jika mendapat tawaran.

Mengimbas kembali cara pemilihan yang dibuat malam tadi, Mujahid berkata, para perwakilan mengadu kepadanya mereka diberikan senarai calon yang perlu diundi ketika berbaris untuk mengundi semalam.

"Ada perwakilan mengadu, semasa mereka berbaris, mereka diberikan 'cai' calon yang perlu diundi. Mereka pula memangkahnya di luar kawasan mengundi sambil berbincang sesama mereka," kata Mujahid ketika dihubungi.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.