Oleh Khalid Samad
Polemik
semasa adalah samada Pakatan Rakyat masih wujud atau sebaliknya. DAP
dengan tegas menyatakan Pakatan Rakyat sudah terkubur. PKR melalui
kenyataan Presidennya, DSWA, telah menyatakan kekecewaannya terhadap
usul muktamar PAS dan kenyataan DAP sambil menyebut bahawa “Pakatan
Rakyat tidak lagi berfungsi secara formalnya”.
PAS melalui kenyataan
yang dibuat oleh Datuk Mustapha Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang
baharu, menyatakan bahawa Pakatan Rakyat masih wujud tetapi ‘pengsan’.
Pada pagi semalam, 20 Jun 2015, TGHH pula menyebut bahawa Pakatan itu
tetap wujud selagimana ada dua parti yang terlibat.
Kesemua kenyataan yang ini, walaupun dilihat bercanggah, ada
kebenarannya dan oleh itu tidak hairanlah apabila sebahagian besar
masyarakat menganggap ianya mengelirukan. Ia menyebabkan persoalan asal,
samada Pakatan Rakyat masih wujud kelihatan seolah-olah masih tidak
dijawab!
KOPI SUSU
Untuk menjelaskan keadaan yang sedang wujud, biar saya berikan contoh yang mudah difahamai semua, iaitu contoh ‘Kopi Susu’.
Kopi susu adalah ‘Kopi susu’, selagimana campuran bahannya adalah kopi,
susu dan gula. Apabila dikeluarkan susu, maka ianya menjadi Kopi ‘O’.
Kalau dikeluarkan gula selepas itu, maka ia menjadi Kopi ‘O’ kosong.
Walaupun ianya masih Kopi, tetapi 3 jenis Kopi itu tidak sama malah jauh
berbeza. Hanya yang tidak berapa 'betul' akan cuba mengatakan bahawa
‘Kopi susu’ adalah sama sahaja dengan Kopi ‘O’!
Maka begitu jugalah dengan Pakatan Rakyat. Ianya gabungan 3 parti iaitu
PAS, PKR dan DAP. Apabila salah satu parti dari tiga parti itu keluar,
maka walaupun ianya masih lagi ‘Pakatan’, sepertimana yang ditegaskan
oleh TGHH, pokoknya ianya bukan lagi ‘Pakatan Rakyat’. Sekiranya ianya
di antara PAS dan PKR sahaja, ianya sudah menjadi satu Pakatan Baharu
yang boleh dinamakan sebagai Pakatan PKR-PAS. Boleh juga diwujudkan
Pakatan lain sekiranya PKR ‘menduakan’ PAS dengan mewujudkan ‘Pakatan
PKR-DAP’.
PAKATAN RAKYAT SUDAH TIADA
Pokoknya, setiap parti sudah bebas dari ikatan Pakatan Rakyat apabila
salah satu parti komponen mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi
wujud. Dengan erti kata lain, parti tersebut telah keluar dan dengan itu
yang tinggal tidak lagi dinamakan sebagai Pakatan Rakyat. Maka dalam
suasana itu, setiap parti bebas bergerak mengikut kehedaknya sendiri.
Tiada lagi sebarang ikatan antara mereka kerana Pakatan Rakyat sudah tiada.
Dalam kenyataan Presiden PKR, beliau telah menyatakan bahawa PKR
menyokong kerajaan Kelantan yang dipimpini PAS dan menyokong juga
kerajaan Penang yang diketuai DAP. Ini merupakan pendirian PKR terhadap
kerajaan PAS di Kelantan dan terhadap kerajaan Penang di bawah
kepimpinan DAP.
Kenyataan ini perlu dibuat kerana pendirian DAP terhadap kerajaan
Kelantan dan PAS terhadap kerajaan Penang adalah berbeza. DAP sudah
tidak bersama PAS dan dengan itu tidak menyokong kerajaan Kelantan di
bawah PAS. PAS pula, kecuali ingin melakukan U-turn, telah memutuskan hubungan dengan DAP dan dengan itu tidak lagi menyokong kerajaan Penang di bawah DAP.
Saya rasa tidak mungkin PAS melakukan U-turn dan kenyataan TGHH
yang menyebut bahawa “dua parti memadai untuk mewujudkan Pakatan” adalah
konsisten dengan keyakinan saya ini.
PAKATAN DI SELANGOR
Presiden PKR turut menyebut harapan beliau bahawa PAS dan DAP akan terus
menyokong kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Azmin Ali. Walau
apa sekalipun yang diputuskan oleh PAS dan DAP berhubung Selangor, yang
nyata adalah Pakatan Rakyat sepertimana kita kenali selama ini sudah
tidak wujud.
Yang boleh diwujudkan sekarang di Selangor adalah samada ‘Pakatan
PKR-PAS’ dan ‘Pakatan PKR-DAP’ atau kedua-duanya secara serentak.
Pakatan PKR-PAS boleh diwujudkan di Kelantan, atau sebaliknya PAS boleh
bersendirian di situ. Pakatan PKR-DAP pula boleh diwujudkan untuk Pulau
Pinang. Pakatan PKR-PAS dan Pakatan PKR-DAP boleh pula diwujudkan secara
serentak di Selangor.
Mungkin untuk Selangor kewujudan Pakatan antara PAS, PKR dan DAP boleh
dirundingkan kembali. Namun ianya merupakan sesuatu yang sukar apabila
hubungan dan kerjasama antara PAS dan DAP diputuskan sepertimana yang
dituntut dan didesak melalui usul DUPP. Oleh itu pendekatan dua Pakatan
serentak untuk Selangor kelihatan sebagai satu-satunya pendekatan yang
boleh diguna-pakai. Asas kedua-dua Pakatan perlu dirundingkan antara PKR
dan PAS dan juga PKR dan DAP.
Namun bagaimana masalah ini ingin diurus perlu diserahkan kepada saff
pimpinan untuk menyelesaikannya. Mereka telah berkerja keras untuk
menjadi pimpinan, maka adalah diharapkan bahawa mereka akan mampu
menanganinya dengan baik.
SIFAT PAKATAN RAKYAT
Pakatan Rakyat turut mempunyai sifatnya tersendiri dengan dasar ‘common policy framework’ atau ‘kerangka dasar bersama’ yang bertujuan untuk menyelaras ketiga-tiga parti apabila mereka bergerak sebagai satu Pakatan.
Ia mempunyai mekanisme penggubalan dasar tersendiri iaitu ‘government by consensus’ atau ‘mentadbir berdasarkan persetujuan bersama’ yang telah turut merupakan salah satu ciri utama Pakatan Rakyat.
Ia turut mempunyai kaedah untuk menangani perbezaan yang disedari kewujudannya dari sejak asal, iaitu kaedah ‘agree to disagree’ atau ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.
Samada dasar-dasar itu akan terus dipegang oleh ketiga-tiga parti yang
terlibat dan samada ianya akan diserapkan di dalam Pakatan PKR-PAS atau
Pakatan PKR-DAP terpulang kepada perundingan yang bakal dilakukan. Sudah
pasti Pakatan PKR-PAS tanpa adanya DAP akan berbeza berbanding Pakatan
PKR-DAP tanpa PAS.
Dikhuatiri akhirnya akan didapati sama sahaja.
KESIMPULAN
Bagi saya kedudukan Pakatan Rakyat adalah jelas dan nyata. Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.
Istilah ‘pengsan’ atau komatose, tidak berfungsi secara formal atau
sebagainya adalah hanya istilah-istilah yang mengaburi hakikat sebenar.
Lebih awal diakui keadaan yang sebenar, maka adalah lebih mudah untuk
mengusahakan pembaik-pulihan dan pembetulan sekiranya perlu. Tiada
manafaat menipu diri dengan mengatakan kesemuanya baik dan OK sedangkan
pada hakikatnya ianya sebaliknya.
Ada yang berkata bahawa seseorang itu hanya akan menghargai sesuatu
apabila sudah kehilangannya. Mana tahu secara tiba-tiba selepas tiadanya
Pakatan Rakyat, yang kuat menghentam Pakatan Rakyat siang malam
tiba-tiba berubah dan mula menghargainya! Mungkin tiba-tiba akan disebut
bahawa diperlukan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan BN yang sedang
tenat.
Sekiranya itu berlaku; persoalannya, adakah ianya boleh dipercayai?
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
4 years ago
0 comments:
Post a Comment