Home » » "Kumpulan Hadi "

"Kumpulan Hadi "

Oleh Fathi Aris Omar

Kemenangan kumpulan pemimpin PAS semalam memberi isyarat "sudah berakhir episod Reformasi 1998", kata rakan-rakan saya.

Kemenangan itu pula diumumkan di Kuala Selangor, hanya beberapa kilometer dari penjara Sungai Buloh, tempat DS Anwar Ibrahim dikurung.

Isyarat terawalnya, seperti saya sebut dulu, ditandakan oleh transformasi DS Abdul Hadi Awang -- yang menulis buku 'qazaf' (tuduhan tanpa saksi kukuh) pada episod Reformasi, sewaktu Anwar dipenjara -- kepada penolakan beliau terhadap mantan timbalan perdana menteri itu. 

Bukan sewaktu krisis MB Selangor tahun lalu bermula krisis Anwar-Hadi. Malah sejak projek 16 September yang dipelopori Anwar sehingga pemilihan calon lain PM (bagi Pakatan) yang digerakkan oleh Hadi menjelang pilihan raya umum 2013.

Mulai semalam, kita dapat melihat "roh baru" PAS yang dikuasai oleh pemimpin satu aliran yang berpaksikan mazhab Hadi.

Saya rasa lebih tepat jika kita letakkan kumpulan ini "mazhab Hadi" atau "geng Hadi". Istilah "kumpulan ulama" atau "geng ulama" rasanya tidak tepat untuk pertarungan sebuah parti fundamentalis Islam.

Semua mereka yang kalah (semuanya!) yakin dan mahukan "Islam tulen" (retorik PAS tahun 1980-an); dan sebenarnya tidak ada golongan "progresif" dalam parti ini. Pergaduhan ini bukan soal ideologi tetapi pendekatan dan pembawaan kepemimpinan.

Mazhab Hadi dapat dipasakkan selepas TG Nik Abdul Aziz Nik Mat (dan juga ustaz Fadzil Noor) meninggal dunia. PAS dengan "roh baru" ini mazhab Hadi dan naik turun parti itu boleh diserahkan sepenuhnya pada aliran ini.

Sejak tiada Yusuf Rawa dalam saf kepemimpinan, PAS ditandakan oleh tiga tok guru: Nik Abdul Aziz, Fadzil dan Hadi.

Poster-poster, kain rentang dan backdrop pentas PAS dipenuhi tiga simbol ini, khususnya pada 1990-an sewaktu ia berdepan satu simbol besar Dr Mahathir Mohamad.

Jadi, kemenangan yang diumumkan malam tadi boleh disimpulkan sebagai "transformasi 1Hadi", seorang tokoh besar yang berbaki selepas Nik Abdul Aziz dan Fadzil.

"Kumpulan Hadi" ini dinamikanya lebih luas dan dalam. Saya ulas di kesempatan lain.
Tetapi mulai hari ini kita harus berikan perhatian khusus pada "roh baru" PAS ini. Roh itu "transformasi 1Hadi".

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.