Home » » Meraikan Kepelbagaian Pendapat

Meraikan Kepelbagaian Pendapat

Oleh
Manusia di jadikan berbeza-beza bentuk rupa fizikalnya mahupun bangsa dan keturunannya. Sudah sunnatullah asal kejadian manusia diciptakan berbeza-beza segalanya. Ini mampu dikuatkan lagi kalam Allah:


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Dan Allah juga menekan agar manusia saling kenal mengenal yakni taaruf antara satu sama lain. Taaruf yang dituntut disini luas ruang lingkupnya tidak hanya pada namanya, asalnya dan sebagainya lagi. Di sini jelas kita akan melihat suatu perkara yang agak sinonim dengan segala macam perbezaan ini, iaitu perbezaan pendapat dan kefahaman ataupun ideologi.

Apabila menyentuh isu perbezaan pendapat, saya dapati kebanyakan orang, termasuk para ilmuan, agamawan dan ahli fikir, mengaitkannya kepada isu persatuan umat Islam. Ringkasnya, mereka cuba menyelesaikan cabaran perbezaan pendapat dengan menyeru umat Islam agar meninggalkan perbezaan tersebut dan memberi tumpuan kepada persatuan umat Islam. Persatuan umat Islam memang penting, namun saya melihat ada beberapa kelemahan apabila dikaitkan dengan isu perbezaan pendapat, iaitu:

Pertama:

Apabila diseru kepada persatuan umat dengan cara menghindari perbezaan pendapat, seolah-olah diseru kepada umat Islam agar jangan berbeza pendapat.

Ini adalah cara yang salah kerana berbeza pendapat adalah fitrah manusia dan kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana yang dijelaskan pada awal penulisan ini. Maka cara yang benar bukan menyeru umat untuk menghindari perbezaan pendapat tetapi mengajar umat cara berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat.

Kedua:

Kepelbagaian pendapat itu sendiri terbahagi kepada dua kategori, pertama yang dibenarkan dan kedua yang dilarang. Kedua-dua jenis kepelbagaian ini memerlukan cara yang berbeza untuk berinteraksi dengannya. Setakat pengamatan saya, seruan ke arah persatuan umat Islam di sebalik kepelbagaian pendapat jarang-jarang membahagikan kepelbagaian tersebut kepada yang dibenarkan dan yang dilarang.

Sebetulnya, kedua-dua jenis kepelbagaian memiliki cara yang berbeza untuk berinteraksi dengannya apabila dikaitkan kepada persatuan umat. Ia seperti berikut:

  • Persatuan umat diunggulkan apabila berhadapan dengan kepelbagaian kategori pertama. Ini kerana persatuan umat melibatkan isu pokok (ushul) agama manakala kepelbagaian kategori pertama melibatkan isu cabang (furu’) agama, maka tidak boleh isu cabang diunggulkan di atas isu pokok.
  • Perbincangan bagi menyelesaikan kepelbagaian kategori kedua diunggulkan berbanding persatuan umat Islam. Ini kerana kepelbagaian kategori kedua melibatkan isu pokok (ushul) agama yang jika tidak ditangani dengan bijak, akan merosakkan pokok yang lain, iaitu persatuan umat Islam.

Sebagai contoh, fahaman anti hadis, aliran Syi‘ah, pemikiran Islam Liberal dan amalan bid’ah tidak boleh didiamkan demi menjaga persatuan umat Islam. Jika didiamkan atau dibiarkan, ia akan menyelinap masuk bertahap-tahap sehingga apa yang batil akan dianggap benar oleh umat Islam. “Persatuan” mungkin terpelihara tetapi apakah erti persatuan jika ia bercampur aduk antara kebenaran dan kebatilan?

Oleh itu kajian, penulisan, penyebaran maklumat dan dialog perlu diusahakan dengan aktif apabila berinteraksi dengan kepelbagaian kategori kedua agar persatuan umat Islam sentiasa terpelihara di atas kebenaran.

Ketiga:

Terdapat segelintir pihak yang cuba menjustifikasikan kepelbagaian pendapat yang dilarang (Kategori Kedua) di atas slogan “Demi persatuan umat Islam”. Ini sekali lagi adalah sikap yang salah. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai. [1]

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa berpecah-belah, yakni bercerai-berai sesama umat Islam, adalah sesuatu yang dilarang. Oleh itu hendaklah kita semua umat Islam bersatu padu. Namun bersatu di atas apa?

Jawapannya terdapat dalam ayat tersebut, iaitu bersatu dengan berpegang teguh kepada “tali Allah”, iaitu agama Islam yang diasaskan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan kefahaman para sahabat dan kaedah-kaedah yang digariskan oleh para ilmuan. Kita tidak boleh bersatu di atas “tali masyarakat”, “tali pendapat tokoh sekian-sekian”, “tali kemodenan”, “tali pemikiran baru” atau apa jua “tali” selain daripada “tali Allah”.

Keempat:

Menyampaikan kebenaran demi membetulkan amalan masyarakat tidak boleh dihalangi atas alasan ia akan merosakkan persatuan umat Islam (baca: masyarakat). Ini adalah sesuatu yang lazim berlaku, dimana apabila seseorang itu ingin membetulkan amalan masyarakat dengan menyampaikan ayat al-Qur’an atau sabda Rasulullah, akan ada pihak yang berkata seumpama:

“Kami tahu apa yang kamu katakan adalah benar, akan tetapi menyampaikannya kepada masyarakat akan menyebabkan perpecahan. Maka ketepikanlah persoalan ini demi persatuan umat Islam”.

Seandainya benar menyampaikan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasul-Nya akan menyebabkan perpecahan masyarakat, maka faktor perpecahan tidak boleh ditujukan kepada usaha menyampaikan. Sebaliknya hendaklah ditujukan kepada “masyarakat” yang enggan menerimanya. Ini kerana jika faktor perpecahan ditujukan kepada usaha menyampaikan, kita secara tidak langsung menyalahkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamkerana usaha baginda menyampaikan risalah Islam telah juga menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat Arab saat itu.


Berbeza bukan Bermusuh

Kita sebagai manusia biasa sewajibnya memahami bahawa perbezaan pandangan atau buah fikiran bukanlah dicipta untuk mencetuskan satu permusuhan dan sentimen pertelagahan sesama manusia. Sebaliknya, ia hanyalah merupakan sebahagian daripada wadah atau medium untuk mencipta satu persefahaman yang mantap dan semangat toleransi yang jitu dan akhirnya akan menjalin satu ikatan persaudaraan dan kesatuan ummah yang mapan sama ada sesama Islam mahupun sesama bukan Islam.

Contoh paling mudah dalam Islam berkenaan persoalan perbezaan pendapat ini timbulnya pelbagai mazhab. Kita harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeza-beza. Kerana itulah wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi.

Teladani Rasulullah SAW

Mari kita perhatikan beberapa contoh yang dipetik daripada sirah agung Rasulullah SAW dalam persoalan menangani perbezaan pendapat ini.

1. Sejurus perang Ahzab atau perang Khandak, Rasulullah s.a.w. memerintahkan sebahagian para sahabat ke perkampungan Bani Quraizhah untuk mengambil tindakan ke atas pengkhianatan semasa peperangan. Sebelum bertolak Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia solat asar melainkan di Bani Quraizhah.”

Para sahabat dari madrasah az-Zawahir menafsir hadis itu secara literal sehingga menyebabkan mereka melewatkan solat asar sehinggalah mereka tiba di perkampungan Bani Quraizhah walaupun telah masuk waktu maghrib. Para sahabat dari madrasah al-Maqasid melakukan solat asar ketika di perjalanan kerana berpandangan bahawa tujuan Rasulullah s.a.w. berkata begitu ialah supaya para sahabat bersegera ke sana.

Ketika disampaikan hal itu kepada Rasulullah, Baginda tidak menyalahkan mana-mana golongan. Inilah antara bukti bahawa Rasulullah s.a.w. sangat meraikan perbezaan pendapat di kalangan para sahabat malah Baginda membiarkan mereka beramal mengikut ijtihad masing-masing.

2. Musyawarah yang diperintahkan Allah kepadaNya telah dipraktikkan oleh Rasulullah dalam banyak peristiwa terutamanya dalam soal-soal yang berkaitan dengan strategi perang.

Contohnya dalam perang Badar. Rasulullah telah bermusyawarah dengan para sahabat dengan menawarkan ideanya untuk menghalang khafilah musyrikin Quraisy yang kembali dari Syam. Idea tersebut diterima dan disepakati oleh para sahabat dengan kata-kata yang menyakinkan:

”Ya Rasulullah, sekiranya engkau mengajak kami berjalan menyeberangi lautan yang luas ini, tentu akan kami lakukannya dean sekali-kali tidaklah kami akan bersikap seperti kaum Musa yang berkata kepada nabinya: Pergilah engkau bersama Tuhanmu berperang, sedang kami akan tetap tinggal di sini.”

Perbezaan pendapat dalam muyawarah sebegini mampu dimurnikan dengan baik hingga menimbulkan penyelesaian terbaik yang diterima semua.

Diriwayatkan Ibnu Majah bahawa Rasulullah bersabda:

“Jika seorang di antara kamu dimesyuarahi saudaranya, maka hendaklah ia memberikan petunjuknya”
Perbincangan sebelum pembentangan kepada Bumi Armada

Pendapat Ulama’-ulama’ Besar

Begitulah serba sedikit petikan sirah Rasulullah. Lalu bagaimana pula pendapat ulama’?

1. Imam Syafie’

Kata Imam Syafie’ :

“ra’yuna shawab yahtamilu khata’ wa ra’yu ghairina khata’ yahtamilu shawab (pendapat kami benar tetapi ada kemungkinan salah dan pendapat selain kami salah tetapi ada kemungkinan benar).”

Para salafus soleh memang sering berbeza pendapat tetapi mereka tidak pernah keluar dari ruang lingkup yang tidak dibenarkan oleh syara’. Apapun perbezaan yang timbul, segala persoalan adalah berkisar tentang hukum-hukum syara semata-mata yang diistinbat dari sumber yang benar (Al-Quran, Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qiyas).

2. Hassan Al-Basri

Pernah ditanya kepada Hassan Al-Basri:

“Wahai Hassan Basri, bagaimana kedudukan peperangan di antara Saidina Ali dan Muawiyah dan peperangan antara Saidina Ali dan Saidatina Aisyah, Talhah dan Zubir?”

Hassan Al-Basri berkata

“Itu adalah peperangan yang disaksikan oleh sahabat Nabi SAW, mereka lebih mengetahui mengenai peperangan tersebut.Oleh itu kita mengambil masalah ini dan kita serahkan kepada Allah. Yang bersalah kita mohon supaya Allah mengampunkan dosa mereka, kerana kita tidak ada pada masa itu, mereka lebih mengetahui mengapa mereka berperang. Kalau mereka berijmak dan berijtihad dalam suatu perkara, maka kita mesti mengikut mereka. Tetapi kalau mereka bertelingkah sesama mereka, maka kita jangan berkata apa-apa.”

Menyedari akan kepelbagaian latar belakang pendidikan, kepelbagaian pengalaman dikampus masing-masing, juga kepelbagaian pengalaman, kita harus menginsafi bahawa perbezaan pendapat yang wujud itu adalah merupakan perkara lumrah kehidupan yang menghiasi kelangsungan kehidupan manusia sejagat. Apalah lebihnya kita jika bandingkan dengan Rasulullah SAW. Baginda menguruskannya dengan penuh tertib.

Kesimpulan

Justeru, sewajarnya wujud perasaan saling hormat menghormati dan harga menghargai antara satu sama lain kerana kita semuanya diciptakan Allah bersama-sama dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing biarpun kita adalah sebaik-baik makhluk di bumi Allah ini.pendapat atau pandangan boleh saja diterima dan boleh juga ditolak, kerana ia hanyalah pandangan, ia bukan satu keputusan, bukan satu resolusi, bukan juga satu arahan malah bukan dalil mutlak! Maka perbincangan secara ilmiah wajiblah diadakan. Tidaklah menjadikan seseorang itu rendah martabat atau menjadi hina jika pendapatnya ditolak.

Walau bagaimanapun, harus ditekankan di sini perbezaan pendapat sebegini hanya dibenarkan di sekitar isu-isu yang bersifat furu’ . Perkara yang bersifat Qat’ie atau prinsip serta mempunyai nas-nas syariat secara jelas dan terang tidak perlulah diperdebatkan lagi. Paling penting, Islam menganjurkan umatnya agar kembali merujuk kepada al-Quran dan juga Sunnah sebagai rujukan utama dalam menyelesaikan segala kemelut dan kecelaruan yang timbul. Janganlah pula terbawa-bawa menurut runtunan hawa nafsu dan sifat ego yang hanya membawa padah yang buruk kemudian nanti.

Oleh itu hendaklah kita semua membetulkan arah pandang dalam persoalan ini. Para penyampai kebenaran tidak boleh dituduh sebagai pemecah belah persatuan masyarakat. Sebaliknya masyarakatlah yang patut dididik agar bersikap terbuka dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat. Jika sesuatu amalan mereka termasuk dalam kepelbagaian yang dilarang, masyarakat perlu bersikap terbuka untuk berbincang dan menerima teguran daripada pihak lain, tanpa mengira siapa atau apa kedudukan pihak tersebut. Masyarakat perlu dididik agar tidak membela atau berkeras dengan kepelbagaian yang dilarang kerana sikap tersebut adalah faktor sebenar yang menyebabkan perpecahan masyarakat dan sekali gus umat Islam keseluruhannya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.