Home » » Pengarah pilihan raya PAS Sarawak keluar parti ?

Pengarah pilihan raya PAS Sarawak keluar parti ?

OLEH ZULKIFLI SULONG

PAS menerima tamparan hebat selepas muktamar ke-61 baru-baru ini apabila Pengarah Pilihan Raya
Sarawak Mohd Fidzuan Zaidi mengambil tindakan keluar daripada parti itu menjelang pilihan raya negeri tidak berapa lama lagi.

Fidzuan keluar PAS beberapa hari selepas kumpulan profesional dibersihkan daripada parti Islam dalam muktamar paling sengit itu.

"Saya juga mendengar mengenainya tetapi saya akan semak perkara ini dengan pesuruhjaya PAS negeri sebelum dapat mengesahkannya," kata Setiausaha Perhubungan PAS Sarawak Abang Ahmad Kerdi Abang Masagus .

Abang Ahmad sebelum ini dalam tulisannya juga menolak sebarang pelantikan dalam PAS di peringkat pusat dan negeri selepas ditewaskan secara "block" oleh kumpulan pro Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lalu.

Difahamkan, Fidzuan sudah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada setiausaha agung PAS secara pos selain menghantar salinannya melalui faksimile Isnin lepas.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi berkata, tidak tahu mengenainya kerana tidak masuk ke pejabat selepas muktamar kerana jawatan beliau sekarang masih tergantung.

PAS hanya akan melantik setiausaha agung baharu dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat malam ini.

Sebuah blog daripada Sarawak juga melaporkan perkara ini dalam posting terbarunya semalam.
Menurut blog itu, orang kanan PAS Sarawak itu bukan calang-calang kerana sudah belasan tahun menganggotai parti Islam itu dan mempunyai rekod kerja yang baik.

"Pertembungan dalaman PAS Sarawak semakin rancak sejak baru-baru ini apabila pesuruhjaya PAS Sarawak itu bertindak menjadi juru kempen atau kepala pengedar “cai” kepada kumpulan ulama di Semenanjung," tulis blog itu merujuk kepada Pesuruhjaya PAS Sarawak Adam Ahid.

Usaha untuk menghubungi Fidzuan sehingga kini masih gagal kerana beliau dipercayai menutup telefon bimbitnya selepas usaha pujuk memujuk cuba dilakukan.- M/Insider

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.