Home » » Pertama kali Umno seronok keputusan muktamar

Pertama kali Umno seronok keputusan muktamar

Oleh Mohamad Sabu

Pada tahun 1981, saya dilantik menjadi exco Dewan Pemuda PAS pusat setelah tiga tahun menjadi ahli PAS.

Ia hasil cadangan Subky Latif yang menjadi setiausaha Pemuda pada waktu itu dan Mustafa Ali sebagai ketuanya.

Pada tahun 1983, saya dilantik menjadi ketua Pemuda Pulau Pinang dan terus menjadi AJK Pemuda PAS Pusat.

Dan pada 1983 juga saya menjawat jawatan sebagai Setiausaha Pemuda PAS Pusat.

Setelah beberapa penggal sebagai exco pemuda, saya dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda PAS Pusat (waktu itu tiada timbalan) di bawah Abu Bakar Chik.

Wan Ismail (sekarang YDP Ketereh) mencabar saya jawatan Naib - saya terus dipilih sebagai Naib.

Hubungan saya dengan Wan Ismail berjalan baik bahkan selalu berceramah di pentas yang sama, sama ada di Kelantan mahupun di luar Kelantan.

Menjelang tahun 1990, saya pula mencabar Abu Bakar Chik untuk jawatan ketua Pemuda PAS Pusat. Saya tewas, saya terus bersama dengan Abu Bakar Chik dalam berbagai program sama ada ceramah, demonstrasi atau program dalaman parti.

Pada tahun 1993, saya dipilih melalui muktamar sebagai AJK Pusat setelah gagal percubaan kali pertama.

Pada tahun 1995, saya diminta oleh PAS Pusat di bawah pimpinan Ustaz Fadzil - melalui perutusan Halim Arsyad dan Datuk Hisyamuddin Yahya supaya saya melepaskan jawatan sebagai AJK Pusat kerana terlibat dalam tuduhan khalwat.

Saya akur dan melepaskan semua jawatan dalam parti.

Selepas selesai proses mahkamah, saya bertanding semula AJK Pusat dan dipilih oleh perwakilan muktamar.

Kehadiran Hassan Ali memeriahkan lagi politik PAS. Beliau bertanding naib presiden dan terus menang. Saya terima dengan hati terbuka - muktamar perlukan pemimpin popular seperti Hassan Ali.

Saya mengalami kekalahan dua kali untuk menduduki jawatan naib presiden.

Setelah menjadi naib presiden selama dua penggal sejak tahun 2003, saya cuba menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden.

Nasaruddin Mat Isa tetap dipilih sebagai timbalan presiden PAS.

Walaupun saya kurang gemar cara kepimpinan Nasaruddin, tapi beliau dipilih secara sah dan bersih melalui muktamar.

Sekali lagi saya cuba menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden dalam muktamar pada 2011 dan disahkan menang oleh perwakilan menjadi timbalan presiden PAS. Muktamar pada tahun 2013 mengekalkan saya sebagai timbalan presiden PAS.

Sama ada Wan Ismail, Abu Bakar Chik, Nik Amar atau siapa yang biasa bertanding atau berlawan dalam muktamar, lumrah dan biasa - hubungan tetap terjalin terutamanya dalam melaksanakan keputusan dan program parti.

Perkara pelik berlaku menjelang Muktamar 2015. Hampir seluruh alat propaganda Umno/BN campur tangan dalam urusan pemilihan PAS. TV3, Utusan Malaysia, Sinar Harian boleh dibaca dan difahami mereka mahu "golongan ulama" menang.

Bahkan seminggu sebelum pemilihan, Bernama cuba memainkan peranan dan dilihat cuba memihak kepada golongan yang dikatakan "proulama".

Muktamar PAS 2015 amat pelik. Bukan soal kalah menang tetapi kepelikannya dapat dilihat. Para pemimpin tertinggi PAS sendiri memegang kertas putih (mungkin chai) semasa mengundi.

Pertama kali Umno dilihat gembira dengan keputusan muktamar.

Saya orang lama dalam parti rasa pelik bin pelik bin pelik.

Ada sesuatu akan berlaku......



MOHAMAD SABU bekas timbalan presiden PAS.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.