Home » » Pergi sekarang PAS, atau jangan bising-bising lagi

Pergi sekarang PAS, atau jangan bising-bising lagi

Oleh Hazlan Zakaria

Cakap sekarang atau diam selama-lamanya," adalah ungkapan terkenal yang diucapkan oleh paderi
sebelum menjalankan upacara perkahwinan.

Dalam majlis-majlis perkahwinan, pegawai agama atau kerajaan akan bertanya jika ada sesiapa yang merasakan bahawa pasangan itu tidak sepatutnya berkahwin dan jika ya, nyatakan sebab-sebabnya.

Seperti yang saya diberitahu, ia adalah sama dalam kebanyakan agama dan budaya. Frasa atau sesuatu seperti ini akan diucapkan, yang bertindak sebagai perlindungan untuk memastikan bahawa perkahwinan itu dilakukan secara rela dan tidak melibatkan isu-isu rumit.

Walau apa pun, ia juga bertujuan untuk mengelakkan apa-apa pertikaian atau rasa tidak puas hati yang mungkin timbul lama selepas perkahwinan itu dilangsungkan. Kerana setelah perkahwinan itu disempurnakan, ia perlu dihormati dan diterima oleh semua pihak.

Begitu juga, ia mungkin juga apa yang ditanya sebelum prosiding perceraian, sebelum pegawai agama atau negeri mengesahkan perkara itu, jadi peguam perceraian dipanggil untuk membantu mempercepatkan proses itu.

Sudah pasti, keputusan untuk berkahwin, dan juga untuk berpisah, adalah keputusan penting yang tidak boleh dipandang ringan. Setelah diambil, keputusan ini mesti dilakukan dengan penuh kesungguhan. 

Sehinggakan dalam kebanyakan budaya dan agama, proses kaunseling dan perbincangan akan dijalankan, biasanya untuk melihat jika perkahwinan itu dapat diselamatkan, kerana ia dilihat sebagai satu ikatan yang suci.

Tetapi apabila keputusan itu dibuat, adalah lebih baik untuk menghabiskannya dan tidak teragak-agak, kerana ia boleh membawa kepada isu-isu lanjut. Isu-isu seperti 'cina buta' dan 'gila talak' dalam budaya Melayu Islam. 

Sama juga dalam landskap politik Malaysia, apabila PAS telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP, ia perlu malaksanakan keputusannya dengan bermaruah dan tidak berlengah-lengah dalam perkara itu.

"Pergi sekarang, atau diam selama-lamanya," – ini adalah apa yang perlu diberitahu kepada PAS dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor, selepas muktamar ke-61 parti Islam itu meluluskan resolusi untuk 'bercerai' dengan DAP.

Sebab jika ia gagal melaksanakan keputusannya sendiri, yang telah diluluskan tanpa perbahasan, PAS akan kehilangan apa sahaja kredibilitinya yang masih bersisa.


Apa yang perlu dilakukan adalah supaya ahli-ahli PAS meninggalkan jawatan mereka di Pulau Pinang, kerana DAP sudah menguasai dan memerintah negeri ini, dan juga di Selangor atas dasar prinsip. PAS mesti memutuskan semua hubungan yang menghendaki apa-apa kerjasama dengan DAP yang merupakan sebuah parti demokrasi sosialis.

Tindakan memungkiri janji dan kekal di dalam kerajaan negeri-negeri di mana DAP ada adalah seperti menjilat ludah sendiri, atau membuktikan yang mereka banyak bercakap tetapi takut untuk melakukannya.

Ia juga bermakna mereka perlu mengelak dari mengkritik DAP dan Pakatan di masa-masa akan datang, kerana mereka akan menjadi seperti MCA dan MIC, dengan telatah yang seolah-olah sama terhadap Umno pimpinan BN.

MCA dan MIC akan membuat bising mengenai Umno dan dasar-dasar yang memimpin BN, tetapi kedua-duanya akan secara senyap-senyap menerima apa juga ganjaran yang dilemparkan ke arah mereka.

Apakah PAS akan menjadi sebuah parti komponen tempang, seperti MCA dan MIC dalam BN? Ataupun parti-parti nyamuk yang menantikan satu atau dua jawatan menteri.

Jika PAS berani untuk membuat pengumuman dan menghentam DAP tanpa henti dalam muktamar ini, PAS perlu menjauhkan dirinya daripada mana-mana bentuk kerjasama dengan DAP tanpa berlengah-lengah.

Atau adakah benar laporan-laporan bahawa ahli-ahli PAS takut untuk melepaskan jawatan mereka dalam negeri industri yang kaya, Selangor?

Ia mungkin seolah-olah sejajar dengan apa yang diberitahu beberapa ahli teratas PAS kepada pemimpin-pemimpin di Pulau Pinang dan Selangor, yang meminta mereka kekal dalam jawatan negeri mereka sementara menunggu keputusan majlis syura parti Islam itu, sama ada mahu menyokong resolusi muktamar itu.

Lebih buruk lagi, seperti yang dikatakan oleh pemerhati-pemerhati politik, adakah PAS 'gila talak' dan majlis syura kemudiannya bermain 'cina buta' untuk membolehkan PAS dan DAP berkahwin semula selepas 'perceraian' mereka yang dicanangkan kepada orang ramai dan caca-marba?

Sudah tentu, semua ini adalah spekulasi sahaja, tetapi PAS seolah-olah tidak membantu dengan sikap berdolak-dalihnya mengenai perkara ini, yang menyimbah minyak ke api.

Pengulas-pengulas media sosial turut membuat kenyataan pedas bahawa keputusan PAS untuk bercerai dari DAP tetapi masih mahu kekal dengan Pakatan adalah seperti menceraikan pasangan tetapi masih tinggal dalam rumah yang sama, atau lebih teruk lagi, bercerai tetapi masih tidur sekatil.
PAS tidak boleh mahukan kesemuanya. Sebaik sahaja keputusan itu dibuat, setidak-tidaknya punyailah maruah untuk melaksanakannya dan peliharalah harga diri.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.