Di kesempatan ini, ingin saya cadangkan beberapa perkara yang difikirkan sebagai lontaran idea pandang kepada Sekretariat Penubuhan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Harapan Baru.
1. Nama Parti
Saya mencadangkan nama parti yang hendak diberikan nanti hendaklah TIDAK meletakkan perkataan "Islam" dalam nama parti tersebut. Hal ini kerana, ke arah pendidikan rakyat yang lebih sejahtera dan membuang dogma-dogma negatif kepada Islam itu sendiri.
Islam itu indah, tetapi ianya dicemari dan dijajahi oleh individu-individu yang menjualnya untuk kepentingan tertentu menyebabkan nama Islam itu dipandang sampah oleh masyarakat.
Bawalah Politik Islam dalam pengurusan dan perlaksanaan Parti Baru itu. Dalam politik Islam, ada politik nilai, ada politik kenegaraan dan pemerintahan, ada politik sosial dan banyak lagi yang mana merangkumi seluruh aspek kehidupan.
Saya mengharapkan Parti Baru ini dapat membawakan Politik Islam yang lebih ideal dan menarik mengikut konteks negara Malaysia supaya dapat menjadi contoh dan model kepada parti-parti lain dalam gelanggang politik.
2. Dasar Parti
Dasar parti ini adalah ISLAM.
Berpandukan:
a. Al-Quran
b. Al-Hadith
c. Ijmak
d. Qiyas
3. Keahlian Parti
Saya mencadangkan kepada Parti Baru ini membuka keahlian kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Hal ini bagi melihat parti baru ini sebagai sebuah parti demokratik yang tidak meletakkan keahliannya hanya untuk orang-orang tertentu sahaja. Keahlian terbuka ini juga sebagai satu ruang dakwah yang begitu luas kepada parti baru ini, dan ianya juga sebagai satu model parti yang berteraskan Islam sebagai Dasar Parti, membuka keahlian kepada semua kaum dan agama. Ahli parti samada Muslim ataupun Non-Muslim(tiada perbezaan) berhak mencadang, mengkritik, menambahbaik dan sebagainya demi kebaikan dan kemajuan parti ini.
4. Majlis Penasihat
Saya mencadangkan agar diwujudkan satu badan bebas dalam parti baru ini. Badan bebas ini sebagai Majlis Penasihat kepada parti baru ini. Dalam Majlis Penasihat itu mestilah dianggotai oleh ahli yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti ini seperti Pakar, Agamawan, Anak Muda dan Mahasiswa. Majlis Penasihat ini berperanan sebagai tempat rujuk, atau dengan lebih mudah difahami sebagai mentor dalam parti baru ini.
Berikut adalah 4 perkara yang saya lontarkan sebagai cadangan dan idea pandang kepada penubuhan parti baru yang dikatakan akan muncul selepas Aidilfitri ini.
Saya sebagai golongan anak muda berharap parti politik baru yang berteraskan Islam ini dapat membuka satu lembaran landskap politik baru dalam negara ini.
Saya juga mengharapkan parti baru ini sebagai wadah untuk mendidik masyarakat ke arah yang lebih efektif dan progresif dalam pembentukan sebuah negara yang mengamalkan "Pemusatan Ummah".
Diharapkan parti ini tidak mendidik masyarakat supaya taksub kepada parti dan individu serta membenarkan yang salah hanya kerana kehebatan dan ketokohan individu.
Akhirnya, parti ini juga sebagai satu wadah terbaik untuk rakyat mengidamkan sebuah negara yang lebih demokratik, inklusif, dan segar. Seterusnya membawa harapan dan keperluan rakyat yang menjadi keutamaan. InshaAllah.
Khairol Najib Hashim
Mahasiswa Tahun 3,
Sains Politik Islam,
Universiti Malaya.
3Julai 2015
6.45 Pagi.
Nilam Puri, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment