Oleh Ahmad Awang
Saya
bukanlah orang paling lama yang berjuang dalam jemaah ini. Boleh jadi
Pak Amjal – atau sesiapa sahaja orang-orang lama – mungkin lebih lama
daripada saya bergelut dengan susah-payah dan perit-jerih dalam usaha
memartabatkan obor Islam yang menyeluruh sifatnya. Dalam perjalanan yang
panjang ini, PAS sentiasa didokong amilin yang setia dan faham serta
para pemimpin yang ahli lagi bijaksana.
Sekelumit pun pasti kita tidak pernah menyangka, jutaan jiwa-jiwa yang
ditarbiyah ini akhirnya berantakan dengan hamburan-hamburan kotor yang
selayaknya tidak ditujukan sesama kita. UG, Anwarinas, pilihan DAP,
liberal, Syiah, jebon, anti ulama, serta pelbagai lagi istilah-istilah
jijik kini menjadi basahan mulut yang meluncur mudah.
Seakan-akan
"wirid" yang diratib dengan perasaan benci sesama saudara yang pernah
berjanji setia untuk hidup dan mati dalam perjuangan.
Persoalan yang harus kita jawab dengan jujur, sampai bilakah keadaan
kita terus-terusan begini? Ada yang berpendapat, jika disingkirkan
mana-mana "puak" atau "kem" dalam muktamar pemilihan nanti, maka
tamatlah segala pertembungan.
Benarkah begitu? Setelah selesai
disingkirkan mana-mana "kem" – peluru yang terbiasa dan "sedap" dihala
sebelumnya kepada sahabat seperjuangan – ada jaminankah tidak akan
dihambur kepada sahabat satu "kem" yang tidak sealiran?
Realitinya keadaan jemaah kita sudah sangat berbeza dengan dahulu.
Dengan kewujudan media-media sosial yang tidak kita lihat wajah, bahasa
tubuh dan air muka sahabat-sahabat di sekeliling, ghibah atau mengumpat
sudah semacam tidak rasa berdosa. Memfitnah seakan-akan beroleh
"pahala" yang diburu ganjarannya sehari-hari.
Tekun dan begitu
istiqamah, tanpa menyedari itulah yang digemari nafsu dan pemain di
belakang amarah.
Kesemua ahli PAS ketika melalui usrah, tamrin, qiyamullail, jaulah,
multaqa', ijtimak dan seluruh marhalah tarbiyah pastinya mengakui
keikhlasan hati setiap antara kita bukanlah sesuatu yang wajar untuk
dipertikaikan. Dipenjara, disakiti, dibuang kerja, ditukar-tukar tempat
perkhidmatan ke hulu yang terpencil, serta bermacam-macam lagi dugaan
menjadi bukti kita tidak bermain-main untuk berpencak dalam jemaah ini.
Pengorbanan wang ringgit, harta-benda, tanah pusaka, keluarga dan
kesemuanya menjadi saksi kesanggupan kita demi mendaulatkan intipati
perjuangan. Maka, apa perasaan kita jika ada manusia lain tampil
mempersoalkan keikhlasan intima' yang kita berikan?
Sebagaimana kita tidak mahu orang lain mempertikai diri dan sikap juang
kita, begitulah juga kita wajar bertindak untuk tidak mempertikai,
apatah lagi mengadu domba sesama kita. Mulakan pertemuan dan renung mata
sahabat tatkala berbicara. Bercakaplah dari lubuk hati paling dalam.
Luahkanlah apa sahaja yang ingin diluahkan. Berdepan, jujur dan
berterus-terang itu ibarat embun pagi yang dingin dan mendamaikan.
Insya-Allah, Whatsapp dan Facebook hanya menjadi medan maklumat luar,
bukan penentu baik buruk hubungan kekeluargaan jemaah besar ini.
Akhirnya, saya ingin sebut, saya bukanlah yang terbaik untuk memimpin
jemaah ini. Namun jika diberi kepercayaan seluruh anggota, akan saya
serahkan jiwa dan raga saya untuk melihat PAS kembali bersatu dan kukuh.
Lebih jauh, saya mahu melihat PAS menjadi entiti siyasah yang mampu
menerbitkan kepercayaan rakyat untuk diberikan amanah ke Putrajaya
.
Lebih penting, saya mengimpikan setiap anggota PAS mampu menjadi qudwah
terbaik untuk dicontohi peribadinya rakyat berbilang kaum di negara ini.
Firman Allah dalam al-Baqarah, ayat 207 yang bermaksud:
"Antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhoan
Allah semata-mata dan Allah pula Maha Penyantun kepada hamba-hambanya.."
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment