Home » » Konsep ‘taat pemimpin’ bakal selamatkan Hadi

Konsep ‘taat pemimpin’ bakal selamatkan Hadi

OLEH MOHD FARHAN DARWIS 


Dua parti politik utama Melayu di negara ini, PAS dan Umno kini menghadapi situasi getir apabila pimpinan tertinggi kedua-dua parti itu berdepan ‘dugaan’ besar.

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diserang bertubi-tubi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditekan dari dalam dan luar susulan beberapa isu membabitkan keputusannya yang tidak disenangi rakan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Dr Mahathir yang tidak putus-putus mengkritik pentadbiran Najib pernah dengan lantang berkata, Umno yang pernah diterajuinya selama 22 tahun itu kini dilihat lebih mengutamakan duit untuk "kesetiaan" berbanding semangat tinggi dalam perjuangan.

Berbeza dengan PAS, konsep ‘walak’ atau taat setia kepada pemimpin, menurut penganalisis, dijangka mampu menyelamatkan Hadi, meskipun bibit penolakan mula timbul.

Ini dapat dilihat apabila terdapat beberapa cawangan parti Islam itu yang mencadangkan nama selain Hadi untuk mengisi jawatan presiden dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada muktamar Jun ini.

"Dalam PAS, konsep kepimpinan ulama yang dibawa parti itu kini sudah 'diimani' ramai pengikut mereka.

"Sejak kebelakangan ini, kumpulan ulama berjaya melakukan transformasi. Konsep sokongan ulama itu ialah tanda sokongan kepada Hadi. Dan ia perlu dipertahankan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan.

"Budaya PAS ialah mempertahankan kepimpinan ulama, dan presiden perlu dilihat mewakili ulama, atau kelihatan seperti ulama," katanya kepada The Malaysian Insider.

Wan Saiful berkata, PAS juga belum sampai ke tahap mengamalkan budaya mencabar jawatan presiden.

"Jika penyandang umum bertanding, sudah pasti dia akan menang," katanya membuat ramalan.
Bagi parti pemerintah peringkat persekutuan itu pula, Umno dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) itu secara terbuka menyatakan sokongan kepada Najib, walaupun Dr Mahathir terus mengkritik corak pentadbirannya tanpa henti.

Dibandingkan dengan PAS, kata Wan Saiful:"Untuk menjadikan PAS lebih baik, Hadi perlu umumkan beliau tidak akan bertanding."

Katanya, hanya dengan cara itu parti Islam berkenaan akan mendapat presiden baharu.
"Selagi Hadi bertanding, sudah pasti beliau akan menang,” katanya.

Beliau berkata, akar umbi PAS tidak mementingkan pemimpin yang mampu membawa mereka ke Putrajaya.

"Sama ada presiden mampu bawa PAS ke Putrajaya atau tidak, itu bukan faktor utama," katanya.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian pula berpendapat, rasa 'hormat pemimpin' oleh akar umbi PAS membolehkan kumpulan ulama terus menerajui parti tersebut.

"Sokongan untuk pimpinan PAS masih bergantung kepada karisma dan hubungan pemimpin bersama akar umbi.

"Ia juga bersangkutan dengan rasa hormat ahli PAS kepada para ulama yang menerajui parti tersebut," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, wujudnya pencalonan bagi individu lain mengisi kerusi presiden selain Hadi, mungkin berpunca daripada sikap kepimpinan parti itu yang dilihat lebih "cenderung" kepada Umno berbanding sekutu dalam PR.

"Mungkin kerana ada sebahagian kawasan melihat PAS semakin tidak menentu dalam hala tuju, dengan menjadi lebih rapat dengan Umno dan menyisihkan rakan sekutu.

"Hal ini memberi kesan negatif kepada PAS kawasan di negeri dengan etnik campuran, kerana untuk menang, PAS di tempat tersebut memerlukan sokongan rakyat pelbagai agama dan kaum," katanya.

Keretakan dalam PAS timbul bermula dengan tindakan Hadi yang mengambil pendirian berbeza dalam isu penggantian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor apabila PAS bertindak tidak menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, seperti dipersetujui DAP dan PKR.

Ia kemudiannya berlanjutan dengan beberapa isu lain sehingga mengakibatkan tertubuhnya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan parti itu dalam PR.

Melihat penubuhannya sebagai ancaman, Majlis Syura Ulama PAS melarang mana-mana ahli parti daripada terlibat dengan kegiatan pertubuhan bukan kerajaan itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat, PAS dan Umno kini berada dalam situasi getir dan kemelut rumit dan memerlukan sentuhan atau formula kepimpinan parti yang membawa pembaharuan menyegarkan.

"Isu yang menerjah sangat serius. Pada saya, ia bergantung kepada kebijaksanaan pimpinan dan ahli parti mendepani isu ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, ketika presiden Umno diasak beberapa veteran yang masih berpengaruh - Dr Mahathir, Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah - kepimpinan PAS kini berdepan dengan cabaran daripada kelompok pimpinan dan ahli yang mahu menyelamatkan parti daripada berpatah balik ke belakang atau retrogression.

"Ini krisis kepercayaan dan tuntutan kelompok," katanya.

Katanya, tindakan seperti yang dilakukan Kelab Penyokong BN, Pemuda Umno, Puteri Umno sebelum ini, serta beberapa pihak lain yang menyatakan sokongan, tidak akan dapat menyelesaikan krisis dalam parti itu.

"Respons mereka tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Malah ada yang dilihat mengugut mereka yang mempertikaikan Najib dengan menggunakan undang-undang seperti Akta Hasutan.

"Secara peribadi, saya mengingatkan PAS untuk tidak mengambil langkah seperti Umno. Ia tidak membawa nilai tambah kepada parti.

"Jika Umno guna Akta Hasutan, PAS pula gunakan tidak walak, tidak taat... tidak tepat macam itu," katanya.

Beliau berkata, Hadi seharusnya mengeluarkan pendirian yang tegas dan mengarahkan supaya dihentikan segala pertelingkahan dan label-melabel di dalam parti Islam itu.

"Kalau Umno berjaya keluar daripada kemelut itu, mereka akan lebih kuat daripada PAS. "Dan sesiapa yang berjaya keluar daripada kemelut ini, mereka akan lebih bersedia berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," kata Dzulkefly. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.