Home » » Masa depan PAS yang tidak menentu

Masa depan PAS yang tidak menentu

Oleh A Shukur Harun

Golongan sederhana dalam PAS sekarang sangat bimbang dengan krisis berat yang melanda parti itu. Mereka sangat prihatin dengan keadaan PAS yang menyebabkan masa depannya dalam keadaan yang tidak menentu.

Dua tokoh pemikir PAS  – Dulkifly Ahmad dan Datuk Mujahid Yusuf Rawa – sentiasa memberikan pandangan mengenai masa depan PAS yang sangat membimbangkan.

Krisis dalam PAS ini dilihat antara golongan konservatif dan golongan progresif, atau golongan sederhana dan ekstrem.


Dulkifly dan Mujahid serta tokoh golongan sederhana yang lain seperti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin, Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin merasakan kebimbangan yang amat sangat perkembangan di dalam PAS yang dilihat menuju ke arah parti yang tertutup, undur ke belakang 30 tahun.

 Sedangkan pemimpin PAS – sejak  zaman Allahyarham Yusuf Rawa, Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Noor membawa kepada Allahyarham Datuk Seri Nik Abd Aziz – berusaha sungguh-sungguh mengetengahkan PAS menjadi sebuah parti yang terbuka.

Mereka ini berusaha melakukan gabungan dengan pelbagai pihak di luar PAS. Hasilnya sungguh cemerlang di mana PAS diterima sebagai parti politik Islam kontemporari yang mampu berinteraksi dengan dunia di luar PAS.

Puncak kejayaan itu seperti yang dilihat di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013 di mana sokongan kalangan bukan Islam terhadap PAS sangat luar biasa.

Dalam PRU 2008 dan 2013, ramai orang Cina dan India mengibarkan bendera PAS, malah ada yang menyelimutkan badan mereka dengan bendera bulan, tanda sokongan mereka terhadap PAS.

Tetapi dalam keadaan sekarang ini, saya fikir, situasi yang begitu sukar berulang kembali, kecuali jika berlaku perubahan pimpinan yang bersikap terbuka dan dapat diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan agama.

Oleh itu, adalah wajar diberi perhatian akan kebimbangan tokoh progresif seperti Dulkifly dan Mujahid serta para tokoh golongan prograsif yang lain itu.

Krisis dalaman PAS ini bukan krisis biasa dan tidak boleh dinafikan atau dipandang remeh. Tidak boleh disamakan dengan krisis PAS pada masa lalu. Ini kerana krisis yang berlaku sekarang ini menikam jantung hati dan uraf saraf parti yang boleh melumpuhkan seluruh kekuatan parti.

PAS hanya boleh survive, jika ia kembali sebagai parti yang terbuka, meneruskan hubungan dengan pelbagai pihak di luar PAS.

Benar, PAS bukan sekadar parti politik, tetapi juga sebagai gerakan Islam dengan segala ciri dakwahnya wajar berinteraksi dengan pelbagai pihak. Ini sudah difahami oleh pendukung PAS sejak puluhan tahun yang lalu.

Krisis ini, kata Dr. Mujahid, tidak meninggalkan kita banyak pilihan iaitu hanya dua iaitu antara PAS undur ke belakang atau PAS maju ke depan.

Pencapaian PAS dalam memecahkan tembok perkauman dipermudahkan dengan adanya Pakatan Rakyat (PR) di mana terbukti di tempat yang kerusi campuran PAS berjaya menembusi dengan sokongan pengundi Cina dan India, kata Mujahid.

Menurutnya, sentimen pengundi Cina dan India banyak dipengaruhi oleh asakan Pakatan dan manisfesto yang dibawa. PAS berjaya memanfaatkan sokongan ini apabila ia bersama PR dan berjaya mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Adakah kecemerlangan ini akan berulang lagi dalam PRU akan datang? Ini menjadi tanda tanya besar.

Di sini Mujahid menyeru secara ikhlas serta dengan mendapat petunjuk Allah untuk berfikir sejenak, kegilaan apakah yang menimpa PAS hari ini.

“Ulama, wala’ dan dasar parti cuba dipertaruhkan bagi tujuan kelompok kecil yang bekerja untuk tuan-tuan besar di luar PAS yang mahu melihat PAS lemah dan kemuncaknya hancur,’’ katanya.

Ketahuilah, kata Mujahid, bahawa ia bukan soal ada “Anwarinas”, “liberal”, “anti hudud”, “broker dan barua” dalam PAS seperti yang cuba dimomok-momokkan, tetapi ia adalah mengenai satu konspirasi jahat dan para konspirator ada di kalangan ahli PAS dan pimpinan PAS sendiri di semua sektor parti.

Beliau memberi contoh, cadangan untuk bersedia bertanding bersendirian atau keluar daripada Pakatan atau menyuruh sesetengah ahli dan kepimpinan untuk keluar parti, adalah tidak perlu dilayani atau disokong.

Pimpinan yang matang dan tidak gelojoh serta ‘ekstrem’ tahu akan erti ‘mengurus ikhtilaf’ atau perbezaan dan kepelbagaian, dalam sebuah organisasi dan koalisi yang semakin kompleks.

Sementara itu, Dzulkifly pula berkata, dalam mengurus isu hudud pula, seteru tradisi PAS sedang menggoda dengan pelbagai cara. Musuh tetap musuh, meskipun tampak ‘ikhlas’.

Perlu diingatkan, katanya, tuntutan Allah supaya kita berwaspada dan pesanan Nabi bagi mengelak dipatuk ular dua kali dari lubang yang sama. Nik Aziz dan Fadzil Noor acap kali mengingatkan kita.

Menurut Dzulkifly, seandainya PAS terus terjerumus akibat kehilangan jalan ceritanya atau “losing the plot again” sekali lagi, maka kita akan bakal mengulangi nasib yang sama seperti pengalaman PRU ke-11 pada 2004.

PAS dikhuatiri akan kehilangan sokongan barunya di kalangan Melayu-Islam di bandar dan pinggir bandar, dan tentunya tidak dapat bertahan mengekalkan kepercayaan pengundi bukan Melayu dan bukan Islamnya. Seteru PAS sangat mahukan natijah ini bagi menggagalkan PAS.

“Setiap kali PAS berasakan parti dan jenteranya ‘kuat’, Allah mengajar kita dengan keputusan yang menginsafkan kita. Di samping pengalaman 2004, pengalaman PRU ke-7 (1986) juga menyedarkan kita.

“PAS hanya tinggal kerusi tunggalnya, Pengkalan Chepa, di parlimen dalam pilihan raya yang menyaksikan PAS meletakkan seramai 98 calon, paling tinggi dalam sejarahnya (jumlah kerusi di parlimen 177),” kata Dzulkifly lagi.

Beliau bertanya, apakah kepimpinan PAS di peringkat Pusat serta di peringkat akar-umbi, khasnya di ambang Muktamar ke-61 ini, akan mengizinkan PAS mengundang nasib buruk ini sekali lagi?

Mampukah PAS kini, mengelakkan kesilapan lamanya? Berjayakah PAS mengawal suara emosi (‘atifi) supaya jangan mengatasi suara ilmu, kekuatan informasi dan paduan pengalaman (tajribah)?

Semua yang berlaku di dalam PAS ini sangat absud menyebabkan ramai bertanya apa yang telah terjadi kepada PAS?

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.