Home » » Pakatan Rakyat bakal berkubur selepas muktamar?

Pakatan Rakyat bakal berkubur selepas muktamar?

Oleh Dr Abdul Latiff Mohd Ibrahim

Pakatan Rakyat lahir selepas pilihanraya umum ke 12 pada tahun 2008. Kelahirannya terjadi secara
kebetulan kerana parti-parti Pembangkang berjaya untuk kali pertamanya menembusi “Tembok BN” yang sudah terbina sekian lama.

 Parti-parti Pambangkang pada pilihanraya tersebut walaupun bertanding secara bersendirian berhasil memenangi kerusi Parlimen yang mencukupi untuk menafikan penguasaan dua pertiga kerusi bagi BN di Parlimen.


Sekaligus keadaan ini mendesak ketiga-tiga parti terbesar di pihak Pembangkang – Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjalin kerjasama politik yang membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat.

Di pihak rakyat, perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana kini mula wujud dua parti besar mewakili aspirasi mereka sama ada gabungan asal, Barisan Nasional (BN) mahupun gabungan baru, Pakatan Rakyat (PR). Malaysia mula memasuki era politik demokratik yang lebih bermakna dengan kehadiran PR.

Bukan sahaja pilihanraya umum ke 12 itu membuka peluang kepada terbentuknya gabungan parti politik Pembangkang, ia turut membolehkan penubuhan kerajaan di peringkat negeri yang tidak mungkin terjadi sekiranya parti-parti Pembangkang tidak sepakat atas gagasan baru itu.

Aspirasi masyarakat sivil nampaknya semakin tercapai dengan perkembangan terbaru ini di samping menyumbang kepada sedikit pengukuhan kepada amalan demokrasi dalam Negara.

Hasil penggabungan dalam PR juga membuka jalan kepada terbentuknya kerajaan Selangor di samping kerajaan Perak.

Walaupun kerajaan PR Perak hanya bertahan setahun akibat gerakan politik licik BN yang berjaya menarik tiga wakil rakyat PR kepadanya sekali gus memindahkan kuasa kembali kepada BN, PR masih menjadi “force” yang kuat yang berkuasa di empat negeri yang dimenanginya – Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah di samping menafikan penguasaan dua pertiga dalam dewan perundangan Negeri Sembilan dan juga Perak.

PR dilihat sebagai satu keperluan politik bagi ketiga-tiga komponennya dan dengan berketuakan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengharungi pelbagai tekanan dan masalah untuk terus maju ke hadapan.

Muafakat yang sering diuji

Kerjasama politik antara ketiga-tiga parti dalam PR terus bertahan tetapi kerana perbezaan ideology yang agak ketara antara dua parti – PAS dan DAP – bibit-bibit krisis mula kelihatan sejak awal lagi.

Krisis antara PAS dan DAP terjadi secara bermusim, biasanya apabila isu kaum atau agama diungkitkan. Pemuafakatan PR lebih berfokus kepada kerjasama politik dalam menghadapi musuh politik yang sama iaitu BN.

Ia bukan suatu gagasan kerjasama yang benar-benar mantap berasaskan pendirian bersama yang diterima oleh ketiga-tiga parti yang mana ini dapat diterjemahkan dalam pembentukan sebuah kerajaan yang mantap dan adil sekiranya PR berjaya mengambil alih Putrajaya.

Jurang antara PAS dan DAP agak ketara manakala antara DAP dan PKR tidaklah begitu menonjol.
Usaha merapatkan ketiga-tiga parti sering dilakukan terutama di peringkat awal penubuhan sehingga melahirkan prinsip-prinsip kerjasama yang memungkinkan gabungan ini terus menjalankan kegiatan-kegiatannya terutama apabila menghadapi pilihanraya.

Prinsip yang dipersetujui ini menekankan bahawa perjalanan PR dan aktivitinya berbeza daripada perjalanan parti-parti komponennya; asas kefahaman ialah ketiga-tiga parti mempunyai dasar atau ideology yang berbeza dan berhak untuk memperjuangkannya.

Parti-parti ini juga menerima prinsip-prinsip bersama untuk menuju kepada sebuah kerajaan yang adil dan pemerintahan yang baik (practicing good governance).

Namun persetujuan bersama seperti ini tidak menjadi kekuatan sebenar PR dan seperti mana dilihat dalam perkembangan-perkembangan seterusnya prinsip ‘setiap parti setuju untuk berbeza dari segi asas perjuangannya’ walaupun sepatutnya menjadikan keterikatan dalam PR mengatasi prinsip tersebut namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ketiga-tiga parti sukar untuk mencapai kata sepakat dalam isu-isu besar yang sering diungkitkan kerana prinsip ‘bebas untuk berbeza’ ini.

Isu MB Selangor dan kemelut berpanjangan

Walaupun PR berjaya meraih sokongan yang lebih tinggi dalam pilihanraya berikutnya pada Mei 2013, isu-isu prinsip antara parti komponennya terus menghantui gabungan parti politik ini.
‘Perbalahan’ terbuka antara PAS dan DAP semakin menjadi tetapi isu yang benar-benar menggoncang PR ialah isu pertukaran Menteri Besar Selangor pada 2014.

Bermula daripada “Kajang Move” (Langkah Kajang) kepada siri tindakan yang membawa kepada ‘penyingkiran’ Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar pada Ogos 2014 telah mempamerkan kerapuhan prinsip untuk bekerja menjatuhkan BN itu.

Sepanjang krisis itu yang memuncak pada bulan Ogos – September 2014, PAS telah dilihat oleh masyarakat sivil sebagai parti yang tidak bersedia untuk mendokong cita-cita besar menggantikan kerajaan BN sedia ada.

Malah presiden PAS telah dipersalahkan oleh kalangan pemerhati termasuk anggota masyarakat sivil dan NGO sebagai punca kepada kemelut yang menyusul ekoran keputusan PR menggantikan Tan Sri Khalid.

Andaikata dua orang ahli PAS yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Selangor tidak memihak kepada keputusan PR yang mahu Khalid diganti dengan calon lain yang telah dipersetujui besar kemungkinan kerajaan PR Selangor tumbang dan kuasa akan kembali kepada BN.

Mereka berdua telah mengingkari ‘arahan’ parti mereka untuk tidak mengundi calon baru yang dicadangkan.

Kemelut berpanjangan antara PAS dan dua lagi rakan pakatannya dalam PR bukan sahaja berkisar kepada soal-soal politik dan kuasa tetapi yang lebih parah lagi melibatkan isu agama.
PAS bertegas hendak bertindak bersendirian apabila sesuatu perkara berkait dengan agama ditimbulkan. Ini dibuat atas dasar ‘berhak untuk membawa prinsip perjuangan masing-masing’ dalam PR.

Akhirnya, terdengar suara-suara di kedua-dua belah pihak agar PAS disingkir/keluar daripada PR.
Di pihak pendokong tegar PR dan juga penyokong PKR dan DAP, mereka mahu PAS dibuang daripada PR kerana gagal menghayati prinsip bersama yang utama dalam PR.

Di pihak PAS pula sebahagian kepimpinan dan ahli yang dikenali sebagai golongan konservatif mula mendesak supaya PAS keluar daripada PR kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR dan DAP yang dikatakan sering menghalang cita-cita parti itu untuk melaksanakan undang-undang syariah dalam Negara ini.

Makalah ini tidak bertujuan untuk membincangkan pro dan kontra isu pelaksanaan undang-undang syariah di sini.

Memadai untuk dikatakan bahawa isu yang sebesar ini dan yang mengandungi sensitiviti yang begitu tinggi sepatutnya dibincangkan dan dihalusi dengan teliti dalam PR terutama dalam kalangan kepimpinan dan ahli strategisnya supaya ia tidak menjadi masalah kepada kelangsungan pakatan tersebut.

Malangnya kerana ini tidak dilakukan isu tersebut kini menjadi bakal penyebab kepada pecahnya PR yang memungkinkan tertubuhnya satu gagasan parti baru menggantikan PR dan yang tidak menerima golongan konservatif PAS sebagai sebahagian komponennya .

Di sebalik perkembangan mutakhir ini terdapat banyak pengajaran bagi semua parti politik di Malaysia lebih-lebih lagi di pihak Pembangkang.

Aspirasi rakyat yang semakin celik politik hasil peranan media sosial dan media baru secara umumnya semestinya ditangani dengan betul oleh pihak yang mahukan sokongan politik untuk menuju ke Putrajaya.

Sebuah parti politik dalam sistem demokrasi semestinya menerima sepenuhnya bahawa kewujudannya adalah untuk mendapatkan kuasa melalui pilihanraya walaupun mempunyai agenda ideologinya.

Ideologi adalah garis panduan umum dalam konteks politik pilihanraya (electoral politics), bukan menjadi fakta yang mesti dipertahankan dalm semua keadaan sehingga membawa kepada terputusnya kerjasama politik yang dijalin sebelum itu dengan pihak-pihak lain.


Tidak salah bagi sebuah parti yang mempunyai ideologi yang masih belum diterima oleh majoriti pengundi/rakyat untuk menjadikan ideologi tersebut sebagai landasan utama meraih sokongan politik.
Namun ini seharusnya dibuat secara bersendirian tanpa membabitkan rakan politik daripada kumpulan atau parti lain yang berbeza ideologi dengannya atau dengan kata lain parti ini memasuki pilihanraya tanpa kerjasama atau berpakat dengan parti-parti lain.

Apabila wujud sekumpulan parti yang mahu mmbentuk satu pakatan atau gabungan, ideologi setiap parti tidak boleh dijadikan dasar atau pegangan (kerana ia juga mustahil); yang harus diarusperdanakan ialah ‘ideologi’ baru parti gabungan/pakatan tersebut yang diterima oleh semua anggotanya.

Perlu ada sifat ‘berkorban’ untuk matlamat yang lebih besar. Dan ini pun kerana mengambil pendekatan untuk menyertai politik pilihanraya.

Oleh itu timbul beberapa persoalan di sini.

Apakah gagasan politik yang dikenali sebagai PR dapat bertahan sehingga pilihanraya umum akan datang?

Apakah sekiranya PR yang kini berada dalam keadaan kurang stabil ekoran kemelut PAS dengan ‘rakan-rakan’ pakatannya mampu kembali kepada kedudukan asal malah lebih hebat daripada sebelumnya?

Mungkinkah fasa yang sedang dilalui oleh PR sebenarnya satu rahmat yang mematangkannya lagi dalam mengharungi politik negara yang semakin bergolak kini dengan persaingan antara politik lama dan politik baru?

Dan apakah masih ada harapan untuk PAS terus berada di dalam PR andaikata dalam pemilihan kepimpinan tertinggi parti yang akan datang golongan konservatif dapat menewaskan golongan progresifnya?

Ini akan dilihat dalam perbincangan seterusnya.
-------------------
(Penulis adalah seorang Profesor Madya di UTM Perdana School for STI Policy, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur)
Sumber: Artikel asal dari http://Kejar.Org.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.