Home » » Suburkan demokrasi dalam PAS

Suburkan demokrasi dalam PAS

Oleh Abd Shukur Harun 


MESYUARAT Agung PAS peringkat kawasan kini sudah bermula, apabila PAS Kawasan Kota Bharu memulakan mesyuaratnya minggu lalu.

Setelah selesai mesyuarat peringkat kawasan nanti, maka puncaknya Muktamar Tahunan PAS ke-61 Jun nanti di mana ada pemilihan untuk jawatankuasa tertinggi PAS Pusat.

Keputusan parti telah membenarkan berkempen secara sihat dalam batas-batas Islam, dengan melarang sama sekali memburuk-burukkan tokoh lain yang akan bertanding sama.

Apapun keputusan yang diambil dalam semua mesyuarat kawasan dan seterusnya pemilihan peringkat tinggi nanti perlulah dihormati kerana ia adalah keindahan demokrasi di dalam PAS.Baik Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, mahupun Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat menafikan dakwaan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki bahawa PAS mengalami perpecahan selepas ini.

Menurut Suhaizan, sejak PAS ditubuhkan parti tidak pernah berpecah dua, tidak seperti apa yang telah digambarkan oleh Dr Zuhdi.

“Kewujudan badan bukan kerajaan (NGO) seperti PasMa tidak mungkin memecah-belahkan PAS kerana parti PAS sudah kuat,” kata Suhaizan lagi kepada media.

Dengan demokrasi yang sewajarnya berkembang subur di dalam PAS, saya kira perwakilan dalam pemilihan peringkat kawasan dan seterusnya pemilihan di muktamar nanti, sepatutnya menikmati hak demokrasi mereka untuk memilih mereka yang paling terbaik atau terbaik di dalam parti untuk mentadbir parti dimasa akan datang.

Di dalam PAS kini hadir ramai tokoh bakal pemimpin masa kini dan masa depan PAS dari pelbagai golongan. Mereka bukan saja telah mendapat pendidikan yang baik dari dalam dan luar negeri, bahkan ramai yang telah terdedah dan berinteraksi dengan pihak di luar PAS.

Oleh itu, tidak ada masalah memilih pemimpin di peringkat kawasan mahupun di peringkat pusat.
Kini, perhatian umum kini tertumpu kepada pemilihan jawatan di peringkat kawasan sebelum ke muktamar. Tentunya mereka ingin menyaksikan kesuburan demokrasi dalam parti yang kini sudah berumur 63 tahun.

Mereka sedang memerhatikan ke arah mana dan bagaimana masa depan PAS di bawah kepimpinan yang sedang dipilih di peringkat kawasan dan seterusnya di peringkat muktamar nanti.

Sudah diberi jaminan oleh pelbagai pihak di dalam PAS bahawa PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat. Penegasan yang sama diputuskan dalam empat kali muktamar PAS baik di Ipoh, di Kota Bharu dan di Shah Alam.

Dalam situasi yang ada sekarang, warga PAS sewajarnya memperlihatkan keunikan demokrasi di dalam parti sendiri di mana ia mempraktikkan politik muwjahah silmiah, iaitu politik damai atau politik santun ataupun “politik budiman” seperti yang digelar oleh Suhaizan.

Dalam muktamar Pemuda yang lalu di Kota Tinggi, Johor, Suhaizan telah mengemukakan gagasan politik budiman yang menggariskan hampir sama dengan konsep politik muwajahah silmiyah yang digariskan oleh pemimpin PAS masa lalu, iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Yusuf Rawa dan Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor dan diteruskan hingga kini.

Di dalam PAS kini sudah wujud kombinasi antara ulama dan profesional, veteran dan lain-lain, sebuah keunikan yang luar biasa dalam sebuah parti Islam moden yang sedang berinteraksi dengan suasana kontemporari.

Bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah menyatakan gembiranya kerana wujudnya kombinasi ini di dalam PAS.

Almarhum sangat gembira dengan bertambahnya ahli baru dari pelbagai latar belakan pendidikan, kemahiran dan sebagainya. Saya masih ingat ucapan Almarhum di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-45 di Taman Melewar pada Mei 1999 apabila Almarhum mengumumkan di dalam ucapan dasarnya bahawa, hasil dari gelombang perubahan yang berlaku di dalam negara beberapa bulan sebelum itu maka ahli PAS telah bertambah.

“Alhamdulillah rancangan kita telah pun berjaya. Hari ini bilangan ahli PAS telah melebihi setengah juta (waktu itu). Saya terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah lebih 100,000 orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini,” katanya.

Dengan sukacitanya Almarhum Ustaz Fadzil menyebut, “Kita seringkali mendengar rungutan dan kritikan bahawa PAS begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia terutama dari golongan profesional. Bagaimana mungkin untuk PAS mentadbir negara sedangkan mereka tidak mempunyai tenaga profesional?

Sekarang kita mempunyai ribuan ahli di kalangan profesional.

Apakah kita masih tidak mampu mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?” tanyanya.
Di bawah kepimpinan ulama, maka kombinasi ini sewajarnya berjalan secara harmonis dan tidak diganggu oleh sesiapa justeru masing-masing mempunyai peranan untuk sama-sama membangunkan parti.

Tentu saja tidak semua perwakilian setuju dengan keputusan pemilihan baik peringkat kawasan mahupun peringkat negeri. Namun oleh kerana pemilihan itu berdasarkan demokrasi maka keputusan itu mestilah diterima dengan baik dan lapang ada oleh semua perwakilan.

Sementara itu, para perwakilan yang bermesyuarat di peringkat kawasan tentu saja sedang menyusun dan membahaskan pelbagai usul untuk di bawa ke muktamar.

Sewajarnyalah usul itu menjurus ke pelbagi aspek dan mengmabarkan bagaimana PAS mampu berinteraksi dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk samasama meneruskan perjuangan mendapatkan kemenangan hingga ke Putrajaya.

Juga jangan dilupakan mengenai masalah perkauman yang terus membara di negara ini. Maka itu isu perkauman yang ditentang oleh Islam patutlah disegarkan kembali ketika menyusun usul untuk di bawa ke peringkat muktamar.

Usul menentang assobiyah (perkauman) ini jangan sekalikali dilupakan kerana PAS sejak zaman berzaman telah menentang assobiyah, bahkan telah menjadi tema Ucapan Dasar yang disampaikan oleh Yang Dipertua PAS (Presiden), Tuan Guru Haji Yusuf Rawa di Muktamar PAS di Alor Setar 32 tahun lalu.

Kita berharap mesyuarat agung PAS yang sedang berlansung sekarang di seluruh negara dalam keadaan aman dan harmonis, dikawal oleh akhlak Islam.

Selamat bermesyuarat agung. Suburkan demokrasi di dalam PAS.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.