Home » » Bagaimana PAS pulihkan identitinya?

Bagaimana PAS pulihkan identitinya?

Oleh Abdullah Iskandar 


Penulisan ini tidak berasaskan kepada kajian terperinci. Hanya sebuah persepsi dan pemerhatian di pelbagai peringkat yang tidak boleh wewenang dinafikan. Hanya dakwaan saya.

Orang bijak pandai ada memadahkan, persepsi itu punya saham besar dalam membentuk blok undi, baik kepada sokong mahupun tolak.

Justeru, saya kira apa sahaja persepsi, walaupun tidak benar, tidak wajar dibiarkan secara total.

Apatah lagi jika terbukti benar? Ambil kira sedikit sahaja pun memadai. Undi bukan hanya gambaran kepada menang dan kalah dalam pilihan raya. Ia juga menjadi ukuran sejauh mana penerimaan rakyat, orang ramai yang merupakan sasaran dakwah dan tarbiah terhadap parti Islam ini.

Golongan cerdik pandai agamawan dalam PAS terdiri daripada beberapa jenis kumpulan. Itu pemerhatian saya dari jauh. Tetapi yang mendominasi idea agama lantas menguasai puncak kuasa syura dan pusat ialah kumpulan yang tegar dengan kepercayaan sendiri, istiqamah dalam memberi respons yang sama terhadap isu yang berbeza-beza dan tegas dalam semua keadaan.

Saya simpulkan dengan 3 ciri. Pertama, berhujah untuk menangkis kritikan. Kedua, berhujah untuk menang dalam perdebatan. Ketiga, membalas keburukan lawan atau rakan politik berlainan grup dengan kekerasan.

Mereka percaya, dengan ketiga-tiga ciri ini, PAS akan terus kekal di persada tarbiah dan politik, istiqamah dalam memperjuangkan perundangan Islam, berada atas landasan benar demi Islam dan diredai Allah Taala. Jika keredaan itu bermakna menggadaikan undi, mereka rela hilang undi tanpa hilang reda.

Mungkin benar. Mungkin tidak. Benar kerana itulah zahir kepada matlamat yang jelas. Tidak kerana mereka terkeliru dalam membandingkan antara reda dan istiqamah dengan kejayaan mendekati pengundi serta meraih sokongan rakyat.

Tidak bolehkah ia diselaraskan, disatukan, diambil serentak dan diadun dalam formasi Al-Fateh sebagai contoh. Badan Syura PAS wajar mendalami lagi.

Persepsi dan apa yang dibimbangi saya dan teman-teman ialah PAS sebenarnya sedang merosakkan identitinya dengan ciri-ciri tadi.

Sekurangnya-kurangnya, saya senaraikan empat perkara di sini sebagai natijah kepada ciri-ciri kurang enak tadi;

1. PAS merosakkan hubungan dengan sebahagian masyarakat, pengundi dan ahli.

2. PAS menimbulkan keraguan sebahagian ahli kepada konsep wala’ kepada parti.

3. Membantutkan pengembangan ahli dan parti. Hilangnya gah nama parti sehingga tiada lagi kempen mulut “Jom sertai PAS” di kalangan ahli.

4. Memusnahkan kesetiaan dan harapan pengundi, khususnya mereka yang bukan ahli parti tetapi member kesan besar kepada kejayaan meraih “kuasa”.

Jika hal ini berlaku, PAS sebenarnya sedang merosakkan dirinya. Siapa yang mampu menyelamatkan PAS? Bagaimana PAS memulihkan dirinya sendiri? Saya melontarkan pertanyaan agar muhasabah dimulakan segera. Bagaimana? - themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.