Home » » Jangan takut debat kepimpinan PAS

Jangan takut debat kepimpinan PAS

Oleh A Shukur Harun 


Sudah banyak kali disyorkan akan kewajaran mengadakan debat kepimpinan PAS, terutamanya di peringkat calon presiden dan timbalan presiden, menjelang Muktamar Tahunan PAS Jun nanti.

Apabila seorang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin baru-baru ini, menyuarakan perlunya supaya diadakan debat kepimpinan PAS menjelang muktamar, idea ini segar kembali dan semakin ramai menyokong.

Kini sudah bermunculan calon presiden, timbalan, naib dan AJK PAS Pusat. Lebih menarik dalam pertandingan kali ini ialah ada lebih satu calon presiden dan timbalan presiden, malah lebih ramai lagi calon naib presiden.

Siapa pun yang menjadi ahli PAS, menurut perlembagaan parti, tidak ada halangan untuk menerima pencalonan dan bertanding apa-apa jawatan pun.

Dari itu jangan ada sesiapapun dan mana-mana pihak untuk membuat kenyataan mengelirukan mengenai pencalonan dan pemilihan ini. Jangan ada pandangan negatif dan penuh emosi berdasarkan kelompok atau golongan untuk tidak menerima hakikat perlunya debat menjelang pemilihan ini secara demokratik.

Persoalannya, seperti kata Hanipa, bagaimanakah calon yang akan bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden itu dapat dinilai dengan adil, telus dan saksama jika tiada satu proses secara terbuka bagi calon itu diberi peluang membentangkan idea dan wawasan mereka masing-masing.

Bagi membawa PAS dengan lebih yakin di tengah-tengah masyarakat pelbagai agama, kaum itu maka medan dan wadah yang paling mudah dan berkesan bagi mencapai hasrat tersebut, bagi saya, adalah diprogramkan satu debat terbuka antara calon yang bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden PAS.

Melalui debat ini beliau percaya para perwakilan dan ahli dapat menilai dan muhasabah tahap pencapaian, disiplin kerja, sikap pertanggungjawaban, amanah dan keupayaan para calon tersebut.

Keupayaan itu termasuklah kemampuan menguasai dengan baik isu-isu negara dan antarabangsa dan keupayaan untuk meyakinkan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini untuk menerima PAS sebagai parti politik yang wajar diberi peluang bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menerajui negara ini.

Saya bersetuju apabila Hanipa berkata, tidak salah PAS mengambil roh dan model pemilihan kepimpinan negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang sudah lama membudayakan trend debat terbuka antara calon presiden negara.

Bahkan Indonesia juga telah mula menjejaki tradisi negara maju tersebut.

Memang sistem yang baik, daripada mana pun sumbernya, boleh diambil untuk kebaikan PAS sebagaimana sebuah hadis yang menyatakan "hikmah itu barang tercicir orang Islam, dan jika mereka menjumpainya mereka layak memiliki barang tercicir itu."

Maka dalam soal kepimpinan, sudah tentu debat wajar diserapkan dalam PAS. Sudah tentu debat itu sendiri harus dikawal dengan etika dan adab Islam yang tinggi, kata Hanipa.

Saya memang khuatir, tanpa debat terbuka atau apa-apa program seumpama itu, maka dikhuatiri penilaian yang adil, telus dan saksama tidak lagi dapat dilakukan dalam memilih kepimpinan tertinggi PAS.

Yang lebih membimbangkan tidak mustahil faktor dan kriteria yang tidak wajar dijadikan sandaran utama pemilihan akan lebih dominan dan dikedepankan. Jika ini berlaku, bagi saya, ia tidak membawa apa apa kebaikan dalam PAS.

Dari itu, menurut pendapat saya, terimalah debat ini secara terbuka, kerana ia akan dikawal dengan akhlak Islam. Yang akan didebatkan oleh tokoh yang bertanding ialah idea, gagasan, bacaan polotik mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pandangan mereka mengenai demokrasi di Malaysia, iaitu sebuah masyarakat majmuk yang sangat luar biasa.

Di dalam debat itu nanti akan terserlah segala kebijaksanaan politik sang pemimpin yang berdebat. Darinya kita boleh menilai akan kemampuan seseorang pemimpin sama ada kepimpinannya hanya bertaraf kampungan atau dapat diterima di peringkat nasional, malah antarabangsa.

Tidak boleh lagi dipakai hujah mengatakan debat ini tidak ada dalam sejarah Islam, maka itu PAS tidak wajar menyertai sebarang debat. Pandangan ini sangat naif dan ketinggalan zaman.

Justeru PAS kini bukan lagi sekadar sebuah gerakan Islam, tetapi juga sebagai sebuah parti politik kontemporari dengan segala ciri kemodenan yang sewajarnya diterima PAS.

Jika enggan menerima hakikat ini dan hanya mahu bergerak sekitar kampung halamannya saja, maka PAS bukan lagi sebagai parti politik moden.

Oleh itu, debat yang menjadi salah satu elemen demokrasi, secara rasional perlulah diterima.
Ada hujah mengatakan bahawa memilih pemimpin mestilah dinilai menerusi suatu pekej – kemampuan di samping kelemahan – bukan melalui debat.

Pada pendapat saya, debat ini juga menjadi ruang penting menilai pemimpin – kekuatan dan kelemahan – dari segi idea, wawasannya, bacaan politiknya, jumud dan tidak jumudnya dia. Di samping itu dinilai pula prestasinya sebagai pemimpin yang telah dilakukannya selama ini. Ertinya, akhirnya, kita dapat menilai semuanya sebagai suatu pakej.

PAS Johor menerusi wakilnya, Zul Hilmei Mohamad Rohani pernah mengesyorkan di muktamar PAS di Batu Pahat tahun lalu mengenai kewajaran debat seumpama ini.

Menurutnya, jika ini dapat dilakukan terutamanya bagi jawatan penting parti, maka PAS akan mempunyai satu set kepimpinan yang lebih dinamik untuk masa depan, selain dari kita akan menjadi pemimpin kepada demokrasi di Malaysia, yang memilih kepimpinan melalui perbahasan intelektual.

Menurut Zul Hilmei, jika ini dapat dilaksanakan, maka PAS akhirnya boleh menerima kewujudan perbezaan pendapat di kalangan ahlinya dengan penuh harmoni dan seterusnya dapat mengurus perbezaan ini dengan baik-baiknya.

Saya juga merasakan bahawa dengan wujudnya debat terbuka ini ia akan menghindarkan pelbagai tuduhan seperti munafik haraki, akidah songsang, Islam tanpa syariat, barua dan
Ia boleh digantikan dengan hujah ilmiah dan perbahasan pelbagai isu kebangsaan dan antarabangsa yang bermanfaat kepada gerakan jemaah.

Dari itu, janganlah ada sebarang ketakutan akan debat pemimpin ini.

Yang kita perlu tolak ialah bersemaraknya fitnah dan tuduhan liar, melabel terhadap seseorang atau golongan kerana semuanya ini akan merosakkan PAS - themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.