Home » » Mujahid: Selesai kemelut demi kepercayaan rakyat

Mujahid: Selesai kemelut demi kepercayaan rakyat

PAS perlu menyelesaikan kemelut khususnya melibat rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat jika ingin mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti Islam itu, kata anggota parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan AJK PAS Pusat pada pemilihan bulan depan turut menggesa anggota parti supaya berhenti label melabel sekaligus menyelesaikan masalah disiplin parti dengan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya.

"(Saya harap) PAS tidak undur ke belakang dan memperluaskan kefahaman siyasah syariyah serta kembali tautkan kesatuan dengan pandangan hadapan yang jelas serta menghapuskan unsur ekstremism dan perkauman dalam PAS," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menjawab soalan berhubung langkah penyelesaian yang perlu diutamakan kepimpinan parti dalam tempoh terdekat khususnya dalam Muktamar PAS di Kuala Selangor awal bulan depan.

Mengulas lanjut, MP Parit Buntar itu mahu PAS memacu politik baru dengan mengetepikan fahaman agama sempit dan perkauman termasuk mengelak daripada menterjemahkan Islam dari sudut yang sempit.

Bekas pensyarah itu berkata, PAS juga perlu kembali pada semangat dan ruh niat asal pendirinya yang termaktub dalam perlembagaan parti walaupun beliau mengakui terdapat masalah kejelasan hala tuju parti yang perlu ditangani.

"Kekuatan (PAS) ialah Islam, (mempunyai) ahli yang siap berkorban, (penuh dengan) aset pengalaman, (mendapat) rakan kolusi dan (kekukuhan) institusi yang dimiliki," katanya.

"(Oleh itu, PAS perlu) memastikan langkah politik dengan tahap pencapaiannya dikekalkan untuk melonjak lebih jauh ke hadapan tanpa menggadaikan prinsip parti," katanya.

Dr Mujahid juga berharap agar PAS segera menyatakan ketegasan dalam mendepani isu asas berkaitan hak asasi manusia, masalah perundangan, isu kemajmukan rakyat dan kesatuan ahli.

Selain itu, beliau turut menggesa supaya diatasi kelemahan menguruskan konflik dengan baik, tanggapan takut membuat perubahan dan sukar berkawan dengan rakan dalam Pakatan Rakyat.
 

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.