Home » » Penganalisis bimbang bulan mula gerhana

Penganalisis bimbang bulan mula gerhana

Oleh Malaysiakini

Seminggu sebelum muktamar mendebarkan PAS minggu depan, penganalisis menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju PAS yang dilihat berpotensi semakin 'gerhana'.

Penyelidik kanan di Pusat Kajian Demokrasi Asia Timur di Universiti Kebangsaan Taiwan Dr Bridget Welsh melihat gejala nepotisme kini mula berkembang dalam PAS.

Ini susulan trend pencalonan yang memperlihatkan calon-calon dicadangkan berdasarkan kedudukan bapa mereka dalam parti Islam itu.

Pengamat yang meneliti politik PAS daripada dekat itu bagaimanapun tidak menolak bahawa golongan itu mungkin mempunyai pandangan berbeza dengan anggota keluarga masing-masing.

"Pada muktamar kali ini, calon-calon dalam pemilihan bergerak berdasarkan kedudukan bapa mereka.

"Dalam beberapa kes, anak lelaki mereka ini juga bergerak dalam platform yang melanggar prinsip-prinsip yang bapa mereka tegakkan," tulis Welsh dalam ulasannya di Malaysiakini hari ini.

Welsh juga menyebut nama Nik Abduh yang dilihat mempunyai prinsip berbeza dengan bapanya allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Pada pemilihan kali ini, Nik Abduh menentang penyandang Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dalam pertembungan satu lawan satu.

Selain itu, Welsh turut membangkitkan bagaimana pertikaian antara individu tidak sependapat berlangsung.

"Dalam kempen pilihan raya parti ini, ramai pihak yang mempertikaikan tentang individu yang dilihat berhak dengan jawatan tersebut hanya kerana mereka duduk bersama mereka berbanding bagaimana mereka menjalankan tugas mereka.

"Tidak ada keinginan untuk mengadakan debat yang membawa makna, perbincangan atau resolusi tentang kontroversi yang telah memberi tekanan dan ketegangan dalam parti serta dalam pembangkang secara keseluruhannya," kata Welsh.

Beliau turut melihat PAS kini telah membawa budaya Umno ke dalam parti dengan menggunakan serangan peribadi pada pemilihan kali ini.

"Terdapat usaha yang terancang untuk membawa budaya Umno di dalam PAS. Perkara ini telah dibawa Umno melalui pemimpin PAS yang mengamalkan cara berpolitik Umno.

"Dengan menggunakan serangan peribadi, perkara ini membentuk satu peningkatan terhadap sikap yang mementingkan kebendaan terhadap beberapa pemimpin PAS dan ahli-ahlinya,” katanya.

Muktamar PAS kali ke-61 yang akan diadakan di Kuala Selangor pada 4 hingga 6 Jun depan menyaksikan perlawanan satu lawan satu bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Calon jawatan bagi presiden PAS melibatkan menyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas naib presiden Ahmad Awang, yang pertama kali berlaku sejak beberapa puluh tahun.

Manakala calon jawatan bagi timbalan presiden PAS melibatkan menyandangnya Mohamad Sabu dan ulama terkenal parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Trend sama berlaku di peringkat sayap Pemuda dan Muslimat parti itu, yang menggambarkan kecenderungan ke arah pertembungan jelas dua aliran dalam PAS.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.