Home » » Agenda Bertindak Pemuda PAS (6-10)

Agenda Bertindak Pemuda PAS (6-10)

Oleh Suhaizan Kaiat
(Halatuju Siri 4 - 28hb Mei 2015)

6. PROJEK RUMAH BUDIMAN (PRB)

Mengikut maklumat sehingga 14 Mei 2015 terdapat 1,821 unit rumah yang musnah dalam banjir besar di Kelantan pada Disember 2014. Kawasan yang terlibat adalah Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Tumpat, Kota Baharu dan Pasir Mas.

Tanggungawab Kerajaan Negeri adalah membina 600 unit dan telah menyiapkan 48 buah rumah. Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah membina 1,221 buah rumah. Malangnya setakat ini hanya berjaya menyiapkan 6 buah rumah sahaja iaitu 0.5% sahaja.

Pemuda PAS telah menyiapkan 5 buah Rumah Budiman yang telah didiami di Manik Urai. Jika perbandingan dibuat di antara prestasi sebuah kerajaan dan sebuah sayap parti maka prestasi pemuda PAS lebih baik daripada Kerajaan Persekutuan.

Rakyat yang kehilangan rumah sebahagian besarnya adalah masyarakat yang berpendapatan rendah. Tanpa rumah kekal, mereka berada di khemah-khemah sementara, menyewa dan menumpang di rumah saudara mara.

Jika mangsa banjir tidak mendapat rumah sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 maka isu rumah boleh menggugat Kerajaan Negeri Kelantan.

UMNO dan Barisan Nasional akan melambat-lambatkan pembinaan rumah mangsa dan akan menggunakan isu kegagalan Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan rumah magsa banjir. Justeru Pemuda PAS mestilah terus berusaha mendapatkan dana bagi membina Rumah Budiman sebagai usaha membantu meringankan beban Kerajaan Negeri Kelantan.

7. MENGARUS-PERDANAKAN PENYELIDIKAN DALAM GERAK KERJA PEMUDA

Untuk menjadi satu sayap parti yang berkesan, Pemuda mestilah menerapkan budaya kerja berkualiti dalam setiap program yang kita laksanakan. Kita tidak mahu hanya berbangga dengan kuantiti tetapi soal kualiti terabai. Kita tidak mahu apa juga program yang dilakukan, ia dibuat secara adhoc semata-mata. Perancangan mestilah dibuat setiap awal sesi agar perancangan yang lebih rapi dapat dilakukan.

Kita akui bahawa kajian lapangan memerlukan kos yang tinggi. Untuk berbelanja sekitar ratusan ribu ringgit untuk sesuatu kajian yang terperinci dan tepat bukan dalam keupayaan kita pada masa ini.
Apa yang boleh dilakukan oleh Pemuda pada masa ini adalah mengambil manfaat daripada kajian-kajian ilmiah dari menara gading dan pelbagai badan pemikir luar dan diwacanakan di peringkat akar umbi baik di peringkat pusat, negeri, kawasan mahupun cawangan.

Untuk pembudayaan penyelidikan yang tidak memerlukan kos yang tinggi, saya menyarakan agar organisasi Pemuda di peringkat negeri dan kawasan agar mula menggiatkan usaha penyelidikan dan penerbitan buku agar ia dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli Pemuda yang lain.

Misalnya Pemuda PAS Selangor boleh menerbitkan 5 buah buku setahun mengenai analisis politik dan ekonomi di Selangor atau apa jua isu yang melingkari masyarakat khususnya anak muda Melayu agar mereka lebih memahami isu-isu sekitar mereka dengan kaca mata yang lebih luas dan matang. Pemuda adakan menganjurkan beberapa bengkel penulisan agar penulis-penulis muda dapat dilahirkan oleh Pemuda PAS Malaysia.

8. KOPERASI PEMUDA PAS MALAYSIA (KOMUDA)

Penubuhan Jabatan Pembangunan Usahawan atau Usahawan IMPAK adalah suatu yang sangat membanggakan Pemuda. Ini kerana, sambutan yang diberikan oleh anak muda untuk setiap program IMPAK adalah cukup baik. Tetapi kita perlu akui bahawa ia masih di peringkat permulaan untuk suatu agenda yang lebih besar.

Kita harus mengakui bahawa sebagai sebuah sayap penting parti politik, Pemuda PAS perlu mempunyai dana dan aset yang teguh dan kukuh. Kita perlu berusaha untuk menubuhkan sebuah koperasi atau konsortium perniagaan yang mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun.

Walaupun PAS pernah dilihat kurang berjaya dengan beberapa projek ekonomi terdahulu, tetapi kita perlu belajar dari sejarah dan bersedia untuk memperbaikinya semula. Justeru, Pemuda PAS Malaysia perlu memulakan langkah ke arah menubuhkan sebuah koperasi yang melibatkan Pemuda PAS seluruh negara iaitu Koperasi Pemuda PAS Malaysia (KOMUDA).

Dengan modal saham serendah RM50.00 seumur hidup, KOMUDA dijangka mampu mengumpulkan sejumlah RM500,000.00 sebagai dana permulaan. Kita akan memulakan perniagaan dalam beberapa bidang perniagaan yang strategik dan tidak melibatkan risiko yang tinggi.

9. MENYEGARKAN SEMULA WACANA NEGARA BERKEBAJIKAN

Sebagaimana yang kita tahu, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12 iaitu pada tahun 2008 yang lalu, PAS dengan beraninya telah menggagaskan agenda Negara Berkebajikan sebagai suatu penjenamaan baru terhadap agenda negara Islam yang kita laungkan sejak dahulu lagi.

Prinsip-prinsip dalam Negara Berkebajikan telah didokumenkan dalam Buku Hijau Negara Berkebajikan PAS. Walau bagaimanapun, usaha memperjuangkan Negara Berkebajikan seakan-akan terhenti dan senyap tanpa ada usaha yang bersepadu untuk meneruskannya.

Justeru, Pemuda akan meneruskan langkah Negara Berkebajikan PAS dengan memperincikan setiap perkara yang telah digariskan dalam dokumen tersebut dengan mengambil-kira aspirasi masyarakat khususnya anak muda. Adalah penting untuk kita mendagingkan setiap rangka yang telah diwujudkan agar rakyat lebih jelas agenda yang kita ingin perjuangkan.

Institut Kajian Polisi (IKP), Jabatan Pendidikan Politik dan beberapa lagi jabatan berkaitan akan ditugaskan untuk tujuan tersebut. Hasilnya, kita mahu satu dokumen yang lebih lengkap dan menyeluruh dapat diterbitkan sebagai rujukan utama pada masa akan datang.

10. PENDIDIKAN ISLAM YANG MENYELURUH

Sebagai kesinambungan pendidikan awal kanak-kanak yang telah digerakkan oleh PASTI jayanya, Pemuda berpendapat bahawa penubuhan sekolah rendah kendalian Pemuda hendaklah digerakkan secara bersungguh-sungguh di kawasan masing-masing menjelang 2016.

Pemuda melalui Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah (JPSR) telah menyediakan kurikulum sekolah rendah yang bersifat islamik untuk digunakan oleh semua sekolah rendah kendalian Pemuda. Pada masa ini sebanyak 7 buah sekolah telah menggunakan kurikulum JPSR. Kita yakin, sekolah-sekolah rendah milik Pemuda ini akan berkembang dan berjaya sebagaimana PASTI pada hari ini.
www.suhaizan.net

1.Mempersiap Generasi Kemenangan

2.Membina Generasi Al-Helmy

3Agenda Bertindak Pemuda PAS Malaysia (1-5)

 

 

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.