Jadi, Pakatan Rakyat sudah berkubur. PKR akhirnya mengakui apa yang memang sudah menjadi
kebimbangan ramai.
Masa depan Pakatan boleh dikatakan
sudah berkecai selepas DAP mengumumkan pengakhiran gabungan itu.
Pengumuman – yang dikatakan sesetengah pihak sebagai terlalu awal –
dibuat selepas Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP menerima usul muktamar
PAS untuk memutuskan hubungan dengan mereka.
Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik
Aziz sejak itu berkata, Pakatan tidak mati, kerana ia hanya memerlukan
sekurang-kurangnya dua parti, dan keadaan kini bergantung kepada PKR dan
PAS.
Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang
pula berkata, suda tiba masanya rakyat Malaysia melangkah ke hadapan dan
ada keperluan untuk gabungan politik baru yang berasaskan prinsip.
Katanya lagi, kini amat penting
untuk mengatur semula pihak dan kuasa politik di negara ini, selain
terus menghidupkan harapan rakyat Malaysia yang ingin melihat perubahan
berdasarkan ideal Pakatan iaitu perpaduan negara, keadilan, kebebasan
dan maruah rakyat.
Sementara itu, bekas ahli
jawatankuasa PAS Pusat Dr Mujahid Rawa berkata, Pakatan akan lahir
kembali dan menjadi sesuatu yang lebih baik.
Katanya lagi, Pakatan tidak boleh
wujud tanpa salah satu parti yang mengasasnya, dan mana-mana parti baru
yang mahu mengisi ‘vakum’ yang wujud kini perlu berpegang kepada nilai
yang sama.
Dengan pengakuan DAP dan PKR sendiri, Pakatan sudah mati.
Apa seterusnya untuk DAP, PKR dan PAS?
PAS nampaknya tidak akan berpatah
balik daripada agenda Islamisnya, sementara DAP dan PKR kemungkinan
besar akan terus bekerjasama.
Adakah kita akan lihat bangkitnya Phoenix daripada abu Pakatan Rakyat?
Ahli Sains Politik Universiti
Malaysia Sarawak Andrew Aeria berpandangan, politik Malaysia secara
keseluruhannya memerlukan nafas baru.
“Realitiya politik di Malaysia memang bermasalah. Kedua-dua pihak memerlukan pembaharuan.”
Andrew berkata bahawa masalah yang dihadapi Pakatan turut dihadapi Barisan Nasional.
“BN juga memang bermasalah seperti yang dapat dilihat dalam perbalahan
dalaman parti komponennya termasuk Umno, MIC dan parti komponen di
Sarawak.
“Justeru, mana-mana parti politik di negara ini perlu berubah demi negara ini sendiri.”
Katanya lagi, sudah tiba masanya
untuk meninggalkan politik kaum, agama dan wilayah setempat yang tidak
membantu kepada kemajuan negara.
“Parti sepatutnya dibentuk
berdasarkan visi yang dikongsi untuk Malaysia, dan berdasarkan ideologi
sosio-ekonomi. Ini mesti dipersetujui dengan jelas,” katanya dan
menambah, gabungan politik pada masa ini sepatutnya bergabung sahaja
menjadi satu parti.
Katanya lagi, sama juga dengan BN yang sepatutnya meninggalkan gaya politiknya hari ini dan menjadi satu parti.
“Politik Malaysia juga perlukan muka-muka baru. Kedua-dua pihak perlukan pimpinan baru.”
Satu lagi aspek penting “nafas
baru” ini adalah untuk parti Sabah dan Sarawak turut menyumbang kepada
pembentukan parti di peringkat nasional.
“Parti politik di Malaysia Timur
tidak boleh mengulangi kesalahan masa lalu, dengan agenda “Sabah untuk
orang Sabah” dan “Sarawak untuk orang Sarawak”. Apa yang telah dilakukan
parti Sabah dan Sarawak untuk negeri mereka?” soalnya sambil menambah,
parti tempatan yang menjadi komponen BN tidak mempunyai pencapaian hebat
sejak Sabah dan Sarawak bersama menubuhkan Malaysia.
Katanya lagi, dua negeri tersebut
perlu melihat gambaran yang lebih besar. Parti di semenanjung pula perlu
lebih sensitif dan bersifat memahami terhadap masalah dan isu tempatan
yang dihadapi penduduk Malaysia Timur, katanya lagi.
“Tubuhkan satu parti dan bukannya
gabungan, dan jalankan pemilihan satu parti ini. Dengan cara ini, lebih
mudah untuk menguruskannya, menubuhkan kabinet bayangan dan berjuang
untuk isu-isu yang dekat dengan rakyat.”
Katanya lagi, inilah yang perlu difahami politikus di kedua-dua pihak, demi masa depan negara.
Beliau ternyata membangkitkan idea dan hujah yang menarik.
Memang ideal untuk merasakan yang kita mampu melangkaui politik agama, kaum dan setempat. Tetapi adakah ia mampu dicapai?
Saya sendiri sudah banyak juga
mendengar ucapan oleh pemimpin-pemimpin, tentang apa yang telah mereka
lakukan untuk kaum, agama dan halaman mereka.
Ia seperti menganggap dirinya sahaja yang betul, dan berulang-ulang. Memang membosankan.
Persoalannya, afakah kita mampu
melangkah melangkauinya? Adakah orang ramai akan menyokong parti yang
melangkaui kaum, agama dan wilayah setempat?
Memang ada parti yang mendakwa sedemikian, tetapi bolehkah mereka dengan yakin berkata mereka berkata benar?
Kebenaran yang menyedihkan adalah
politik kaum dan agama akan terus berkekalan, selagi rakyat Malaysia
masih berpegang kepada idea politik seperti itu. Kaum masih lagi menjadi
persoalan dalam kehidupan seharian kita.
Mungkin ia akan menjadi kenyataan pada beberapa generasi akan datang.
Ramai yang berharap Pakatan Rakyat
mampu mencapai reformasi yang sebenar. Tetapi malang, barangkali kita
meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Saya sendiri teruja untuk melihat
jika “kelahiran semula” Pakatan Rakyat nanti adalah sebuah parti baru
dengan prinsip bersama dan asas yang kuat, atau hanya satu lagi gabungan
longgar yang bertujuan menewaskan BN.
0 comments:
Post a Comment